Gigi dan gusi sihat rahsia senyuman awet muda


  • Gaya
  • Selasa, 20 Jan 2026

Kesihatan mulut kini menjadu asas penting pada kecantikan dan penampilan muda. 

APABILA berfikir tentang kecantikan awet muda, kebanyakan orang akan terbayang krim antipenuaan, serum dan pelbagai produk penjagaan kulit. 

Namun, satu perubahan yang lebih halus sebenarnya sedang berlaku di kerusi doktor gigi. 

Kesihatan mulut kini semakin dilihat bukan sekadar rutin penjagaan biasa, sebaliknya sebagai asas penting pada kecantikan dan penampilan muda. 

BACA LAGI: Bukan sekadar untuk cantik, kesihatan mulut wanita juga dikaitkan dengan menopaus, Alzheimer — Perunding ortodontis 

BACA LAGI: Tatu gigi trend kecantikan baharu di China, 1 kos 'crown' berukir boleh cecah hingga RM1,200

Pakar pergigian pencegahan dan pediatrik, Dr. Reshma Shah berkata, melangkaui amalan memberus dan menggunakan flos, penjagaan pergigian kini menjadi sebahagian daripada naratif antipenuaan dan seperti penjagaan kulit, ia bukan sekadar tabiat, tetapi satu niat.

“Gigi dan gusi secara senyap-senyap membentuk wajah jauh lebih besar daripada yang disedari ramai," katanya.

Pengecutan gusi

Dr. Reshma yang juga pengasas 32 Reasons Multispeciality Dental Centre berkata, faktor seperti hakisan enamel dan pengecutan gusi boleh mengubah rupa wajah dari semasa ke semasa, sekali gus menjadikannya kelihatan lebih berusia.

Menurutnya, hakisan enamel menyebabkan gigi kelihatan lebih nipis, kusam dan kekuningan apabila dentin di bahagian dalam mula terdedah. 

"Bahagian hujung gigi juga boleh kelihatan lutsinar atau tidak sekata, sekali gus mengurangkan kilauan semula jadi senyuman,” jelasnya. 

Dari sudut estetik, keadaan itu penting kerana gigi memainkan peranan besar dalam kecerahan wajah dan seri keseluruhan. 

Gigi dan gusi secara senyap membentuk wajah jauh lebih besar daripada yang disedari ramai.

Selain itu, gigi yang gelap atau terhakis boleh membuatkan wajah kelihatan letih atau lebih berusia. 

“Ringkasnya, gigi yang lebih cerah meningkatkan pencahayaan wajah, manakala gigi yang gelap mengurangkan seri dan kesegaran,” ujar beliau.

Selain kehilangan kilauan, kehausan enamel juga menyebabkan kehilangan ketinggian gigi. 

Akibatnya, gigi menjadi lebih pendek dan menghasilkan rupa gigitan yang ‘runtuh’. 

Menurut Dr. Reshma, keadaan itu menyebabkan rahang lebih rapat, sekali gus membuatkan wajah kelihatan lebih mampat dan sedikit tenggelam. 

Ia juga boleh menyebabkan garis senyuman menjadi lebih dalam serta bibir kelihatan lebih nipis walaupun keadaan kulit dan struktur tulang masih baik.

“Pengecutan gusi pula sering dipandang remeh, sedangkan ia mengubah keseimbangan wajah dan keharmonian senyuman secara halus,” tambahnya. 

"Apabila gusi mengecut, gigi kelihatan lebih panjang dan kasar, sekali gus mengganggu nisbah lembut pada wajah. 

"Ini menjadikan senyuman kelihatan lebih tajam berbanding lembut,” katanya.

close up young asian woman using toothbrush to brushing teeth at bathroom in the morning fro healthy and routine life concept

Penjagaan mulut merangkumi pelbagai langkah pencegahan untuk mengelakkan masalah pada masa hadapan. 

Apabila perubahan itu berterusan, perkadaran wajah mula kelihatan lebih kaku dan berusia. 

Kekasaran visual yang terhasil menghilangkan kelembutan semula jadi, menyebabkan wajah kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.

Walaupun rawatan seperti pemutihan gigi boleh menjadikan senyuman kelihatan lebih muda, Dr. Reshma memberi amaran bahawa melakukannya secara berlebihan boleh membawa kesan sebaliknya. 

Pemutihan berlebihan boleh membuatkan gigi kelihatan tidak semula jadi, rata atau seperti kapur, selain melemahkan enamel, menyebabkan sensitiviti dan menjadikan retakan kecil atau permukaan kasar lebih ketara.

Keadaan tersebut sekali gus menyumbang pada senyuman yang tampak berusia. 

Oleh itu, pemutihan seharusnya dilakukan hanya sekali setahun dan sentiasa di bawah pengawasan profesional pergigian, bukan menggunakan produk jualan bebas.

Peningkatan kolagen

Kolagen sering dikaitkan dengan penjagaan kulit, namun kesihatan mulut juga memainkan peranan besar dalam mengekalkannya. 

Tulang rahang dan gusi yang sihat membantu mengekalkan kolagen dalam tisu yang menyokong bibir, pipi dan bahagian bawah wajah. 

“Apabila gigi kuat dan tersusun dengan baik, ia bertindak seperti tiang yang menyokong struktur wajah. 

"Jika gigi hilang, haus atau terjejas akibat penyakit gusi, tulang rahang akan mengecut, seterusnya menyebabkan pemecahan kolagen,” maklum Dr. Reshma.

Oleh itu, gigi dan gusi yang sihat membantu mengekalkan tulang serta tisu sokongan yang kaya dengan kolagen, sekali gus mengekalkan isipadu rahang dan kontur wajah. 

Sebaliknya, penyakit mulut mempercepat kehilangan tulang dan keruntuhan wajah, yang menjadi isyarat penuaan.

Penjagaan pencegahan

Menurut Dr. Reshma, seperti penjagaan kulit, penjagaan mulut juga merangkumi pelbagai langkah pencegahan untuk mengelakkan masalah pada masa hadapan. 

Beliau menjelaskan, pergigian kini beralih kepada perlindungan awal, yang mana kehausan enamel, kesihatan gusi dan daya gigitan boleh dikawal sebelum kerosakan ketara berlaku.

Digital Smile Design membolehkan pesakit melihat hasil sebelum dan selepas rawatan.

"Jika sebelum ini pergigian lebih cenderung pada pembentukan semula agresif dan restorasi besar, pendekatan kini lebih menekankan pemeliharaan enamel semula jadi, struktur gigi dan kesihatan gusi. 

"Inovasi seperti thineers, venir ultra nipis, ikatan minimal invasif dan perancangan senyuman digital membolehkan penambahbaikan dilakukan tanpa pemotongan berlebihan," katanya.

Dr. Reshma menambah, alat digital seperti Digital Smile Design (DSD/DTS) membolehkan pesakit melihat hasil sebelum dan selepas rawatan, selain memahami bagaimana gigi boleh merosot dari semasa ke semasa. 

“Perancangan visual ini membantu individu bertindak sebelum kerosakan menjadi tidak dapat dipulihkan. 

"Estetik pencegahan kini bermaksud melindungi gigi lebih awal melalui terapi fluorida, pembetulan kehausan berpandu dan pemantauan digital berkala,” ujarnya lagi.

Selain itu, langkah pencegahan seperti aplikasi fluorida, sealant, pemeriksaan dan pembersihan berkala sama ada bulanan atau berkala, memberus gigi secara lembut, penggunaan flos setiap hari serta penggunaan pelindung gigi waktu malam bagi masalah gigi menggesel, dapat menguatkan gigi, melambatkan kehausan enamel dan pengecutan gusi, serta memulihkan estetik lebih awal.

“Pilih tabiat jangka panjang berbanding pembaikan kemudian,” pesan Dr. Reshma. 

Menurut beliau lagi, pencegahan sebaiknya bermula sejak lahir sebagai sebahagian daripada penuaan sihat. 

Jelasnya, gigi natal boleh menjejaskan penyusuan dan perkembangan awal, manakala langkah pencegahan pada zaman kanak-kanak membantu membimbing pertumbuhan rahang, penjajaran gigi dan kekuatan enamel. 

Pada usia dewasa, pemantauan berkala membantu mencegah kehausan, pengecutan dan penuaan estetik. 

"Menjelang usia pertengahan, tumpuan beralih kepada pemeliharaan struktur gigi, keseimbangan dan senyuman itu sendiri. 

"Penjagaan awal, secara ringkasnya, menyokong penuaan yang lebih sihat dari masa ke masa.

“Masa depan pergigian kosmetik pencegahan terletak pada ramalan awal, pengkhususan dan pemeliharaan dengan penggunaan imbasan dipacu AI (kecerdasan buatan), simulasi senyuman digital, bahan biomimetik dan rawatan boleh balik. 

"Matlamatnya bukan untuk mengubah senyuman secara drastik, tetapi membantu ia menua dengan cantik, semula jadi dan mampan dari semasa ke semasa,” jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram