PUSAT Pilihan Pengguna (CCC) membantah cadangan kerajaan mengenakan larangan menyeluruh terhadap penggunaan media sosial bagi individu di bawah umur 16 tahun bermula 2026.
Wakil CCC Malaysia, Tarmizi Anuwar menyifatkan dasar tersebut tidak realistik, sukar dikuatkuasakan dan berpotensi mewujudkan risiko lebih besar kepada pengguna muda.
Menurutnya, walaupun keperluan melindungi kanak-kanak dan remaja daripada bahaya dalam talian diakui, pendekatan berbentuk larangan bukanlah penyelesaian sesuai bagi isu dasar digital yang kompleks.
BACA LAGI: Platform media sosial gagal patuhi larangan sekatan usia bakal dikenakan tindakan — Fahmi Fadzil
BACA LAGI: Larangan media sosial bawah 16 tahun tak bina ketahanan digital, pendidikan digital lebih berkesan
Sebaliknya, langkah itu dikhuatiri akan mendorong remaja ke platform tidak selamat, ruang dalam talian anonim dan penggunaan alat pengelakan yang menjauhkan mereka daripada pengawasan ibu bapa dan perlindungan kawal selia.
"Cadangan tersebut lebih bersifat reaksi politik berbanding penggubalan dasar yang berasaskan keberkesanan jangka panjang.
“Melarang media sosial tidak menyelesaikan masalah asas. Ia hanya menyembunyikannya.
"Dasar ini menganggap akses sebagai punca masalah, sedangkan isu sebenar berkait dengan pendidikan, tingkah laku dan tanggungjawab yang dipandu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
CCC turut merujuk dapatan penyelidikan akademik yang menunjukkan larangan menyeluruh terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan remaja tidak semestinya membawa kepada peningkatan kesihatan mental atau keselamatan dalam talian.

Kerajaan mengenakan larangan menyeluruh terhadap penggunaan media sosial bagi individu di bawah umur 16 tahun bermula 2026.
Kajian pada 2024 yang diterbitkan dalam jurnal JMIR Mental Health mendapati bukti sedia ada tidak mencukupi untuk menyokong larangan menyeluruh sebagai respons berkesan terhadap isu kesihatan mental belia.
Kajian itu menegaskan bahawa kesejahteraan remaja lebih berkait rapat dengan kemahiran pengawalan emosi dan tingkah laku digital, bukannya sekadar akses pada platform.
Kajian berkenaan turut menyatakan, menghapuskan akses tidak membantu membina kawalan diri, daya tahan atau kemahiran digital kritikal yang diperlukan dalam dunia moden.
Pandangan sama turut disuarakan Profesor Madya Jennifer Alford dari Griffith University dan Australian Academy of the Humanities, yang memberi amaran bahawa larangan berasaskan umur merupakan alat dasar yang bersifat 'tumpul'.
"Pendekatan sedemikian berisiko melambatkan kematangan digital, mengehadkan penglibatan dalam talian yang sihat dan menutup akses golongan muda kepada rangkaian sokongan sosial," jelasnya.
Ujar Tarmizi pula, jika objektifnya adalah untuk melahirkan pengguna muda yang lebih selamat dan berdaya tahan, bukti jelas menunjukkan pendekatan selain larangan, iaitu pendidikan.
“Larangan mengajar ialah pengelakan, bukan tanggungjawab,” tegasnya.

Ibu bapa perlu menyokong pembangunan daya tahan emosi dan pemikiran kritikal remaja.
Kematangan digital
Beliau menambah, usaha melindungi remaja daripada platform digital sehingga umur 16 tahun tidak menyediakan mereka untuk realiti kehidupan dewasa yang semakin bergantung pada teknologi.
“Media sosial hari ini ialah infrastruktur komunikasi. Di situlah golongan muda belajar tentang batas sosial, penilaian maklumat dan kemahiran interpersonal.
“Menghapuskan akses tidak membina daya tahan, sebaliknya hanya menangguhkan proses tersebut,” ungkapnya lagi.
Menurut beliau, kematangan digital perlu dibangunkan melalui pendedahan berperingkat, bimbingan dan penetapan tanggungjawab, bukan pengasingan buatan daripada teknologi yang tidak dapat dielakkan dalam masyarakat moden.
Justeru, CCC menggesa kerajaan agar mempertimbangkan pendekatan dasar yang lebih menyeluruh dan berpandangan jauh, dengan memberi penekanan kepada pemerkasaan keluarga serta golongan muda, bukannya sekatan sejagat.
Antara cadangan utama diketengahkan termasuk:
1) Memperkukuh pendidikan digital dan literasi media di sekolah.
2) Meningkatkan penglibatan dan kesedaran ibu bapa.
3) Menyokong pembangunan daya tahan emosi dan pemikiran kritikal remaja.
4) Memelihara pilihan individu berdasarkan nilai keluarga dan tahap kematangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
