Modal lebih RM30,000 lesap, 'over confident' pengasas kosmetik bangkit lepas sambung ijazah sarjana


  • Sukses
  • Rabu, 21 Jan 2026

Adibah Mazlan berkongsi pahit getir dan usahanya dalam membangunkan jenama kosmetik The Raw.

SEORANG pengasas produk kosmetik tempatan membuktikan kegagalan bukan penamat segalanya apabila berjaya bangkit dan membina jenama tersohor tanah air.

Pengasas jenama The Raw, Adibah Mazlan, berkongsi perjalanan jatuh bangun membina jenamanya menerusi satu perkongsian di laman Threads yang meraih perhatian ramai, khususnya dalam kalangan usahawan muda.

Menurutnya, membina jenama bukan sekadar mencipta produk dan memasarkan di media sosial, sebaliknya memerlukan kefahaman mendalam tentang perniagaan, strategi dan keputusan bijak untuk memastikan sesebuah produk mampu bertahan lama.

BACA LAGI: 'Jangan buang masa bergaduh dengan penjaja luar sekolah', didik anak-anak jauhi makanan tak berkhasiat

BACA LAGI: 'Perlu lebih banyak masa untuk diterima', kanak-kanak perempuan hidap sindrom Werewolf masuk prasekolah di Sarawak

"November 2019 aku start The Raw, aku dalam fasa syok dah ada brand sendiri tapi dalam tempoh tiga bulan, aku FAILED untuk jual 1 biji serum Niacinamide 5 peratus.

"Aku ingat formulation aku power orang terus nak beli, hakikatnya aku try hook pelanggan, tak ada siapa percayakan aku.

"Ketika itu aku dah lima tahun practicing pharmacist itu pun orang tak percaya aku jujur aku kecewa kerana aku over confident dengan diri sendiri," ujarnya di laman Threads.

Kekecewaan itu membuka mata Adibah untuk menerima hakikat bahawa beliau sebenarnya tidak mempunyai pengetahuan mencukupi dalam membina perniagaan.

Keputusan besar kemudian dibuat apabila beliau memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (MBA) di United Kingdom dengan menggunakan simpanan KWSP.

Menurutnya, pengajian ijazah sarjana banyak membantu dalam memahami asas pemasaran, analisis pelanggan, pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan serta perspektif perniagaan antarabangsa.

Perjalanan tersebut turut melengkapkan Adibah dengan tiga pencapaian akademik diperoleh iaitu Ijazah Sarjana Muda Farmasi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari United Kingdom, serta pengiktirafan Cosmetic Industry Excellency daripada IUC pada 2025.

Hasil usaha berterusan, The Raw kini mencatatkan kejayaan apabila memiliki lebih 950 titik jualan di seluruh Malaysia serta 27 titik jualan di Brunei, selepas lima tahun berada dalam industri.

Adibah turut mengakui perjalanan tersebut bukanlah mudah, malah sarat dengan tekanan emosi termasuk perasaan cemas, hilang arah dan kemurungan.

"Apa yang orang nampak hari ini bukan hasil setahun, ia adalah hasil bertahun-tahun jatuh bangun," katanya.

Kejayaan terbaharu apabila dinobatkan sebagai Industry Excellency oleh IUC pada konvokesyen ke-11 institusi itu menjadi pengiktirafan bermakna buat Adibah, sekali gus membuktikan bahawa kegagalan bukan penghalang untuk mencipta kejayaan besar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram