
SEMANGAT perjuangan ekonomi komuniti tempatan yang tidak pernah luntur dalam diri Datuk Is Dr Abdul Aziz Abdul Majid, 53, menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan teknologi dalam kalangan usahawan Bumiputera.
Mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan sekali gus membuatkan bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kangar, Perlis itu nekad menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO), Kesatuan Organisasi Nasional Gabungan Saudagar Intelek SeMalaysia (KONSIM).
Penerima anugerah Industry Specialist (IS) Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia itu bagaimanapun tidak kedekut dalam memberi sumbangan dan kepakaran dalam industri.
Abdul Aziz juga pernah menyandang jawatan dalam bidang politik sekitar 2008. — Facebook/Abdul Aziz
Dari akar umbi ke peringkat global
Sentiasa merendah diri orangnya, Abdul Aziz melihat satu perubahan yang perlu dilakukan khusus dalam landskap digital dan keusahawanan rakyat tempatan.
"Saya juga rakyat biasa. Rasa tanggungjawab untuk bangkitkan orang-orang yang susah ini bermula sejak berkhidmat dalam Umno lagi sekitar 2000. Tetapi, penglibatan saya dalam bidang lebih profesional ini baru tiga tahun.
"Semangat juang itu juga saya teruskan sehingga sekarang dan sentiasa fikir apa yang perlu dilakukan supaya mereka terutama bangsa Melayu terus maju.
"Daripada itu, saya cabar diri untuk bawa perubahan iaitu dengan membangunkan satu sistem digital yang boleh digunakan untuk mengembangkan industri perniagaan di Malaysia," katanya kepada Majoriti.
Meskipun terpaksa menghadapi pelbagai halangan termasuk penolakan dan kecaman, namun usahanya tidak pernah berhenti.
"Sekarang bersama saya ada sekitar 28,000 ahli yang sah di bawah KONSIM.
"Kesemua mereka terdiri daripada peniaga-peniaga kecil, usahawan besar termasuk penganggur," katanya sambil menambah bahawa komuniti itu bertujuan bagi membantu memberi peluang kerjaya terutama kepada golongan kurang bernasib baik.
Memorandum Persefahaman (MoA) ke arah penubuhan Majlis Perundingan ASEAN ketika pelaksanaan Blueprint e-Niaga pada April lalu. — KLHype
Revolusi digital pemacu sektor perniagaan serantau
Seiring waktu berlalu, revolusi digital berasaska kecerdasan buatan (AI) kini dilihat menjadi medium efektif bagi industri.
"Sebelum ini, saya ambil langkah awal dengan laksanakan Blueprint e-Niaga Saudagar yang dirangka khusus untuk perkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Ia juga diperluaskan akses pasaran digital ASEAN sehingga ke peringkat global.
"Tetapi, sekarang kami ambil langkah ke hadapan dengan bangunkan teknologi cloud computing Bumiputera pertama," katanya sambil menambah bahawa ia merupakan sebuah sistem informasi yang memberikan kemudahan akses menerusi satu aplikasi melalui jaringan internet.
Katanya, usaha itu juga menelan belanja hampir RM100 juta yang dikeluarkan sepenuhnya oleh pihaknya.
Abdul Aziz berkata, bagi menjayakan projek tersebut, Saudagar World Bridge Holding Berhad (SWB) di bawah naungannya bekerjasasama dengan Finexus Pte Ltd (Finexus) dalam penyediaan platform dan modul teknologi berasaskan AI di Malaysia dan rantau ASEAN.
Di bawah kerjasama itu, Finexus memainkan peranan akan membekalkan platform perkhidmatan dan modul berasaskan AI untuk memperkukuh infrastruktur digital SWB, seterusnya meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan.
Abdul Aziz (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi Finexus, Jevon Hoh (dua dari kanan) ketika menandatangani MoA di Kuala Lumpur pada Khamis.
Menurutnya, klaborasi itu bertujuan untuk meletakkan kedua-dua syarikat sebagai peneraju dalam penggunaan AI dalam perkhidmatan kewangan, logistik, dan ekosistem digital rentas sempadan di ASEAN.
"Pihak Finexus akan berkongsi pandangan bagaimana platform AI mereka dapat menyokong hasrat Malaysia ke arah Industri 4.0, terutamanya dalam fintech, rantaian bekalan, dan e-dagang.
"Lebih istimewa tentang teknologi yang akan kami bangunkan ini apabila ia dapat digunakan dengan pelbagai bahasa termasuk dialek setiap negeri di Malaysia.
"Visi besar kami adalah untuk dapat cipta model pembelajaran yang besar untuk seluruh rakyat di negara ini," tambahnya.
Tambah Abdul Aziz, usahanya turut diharapkan dapat diterima dan disokong orang ramai termasuk pihak kerajaan untuk menaik taraf industri perniagaan tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram