'Rezeki tak berkat', Ustazah Asma' Harun tegur peniaga wanita promosi minyak wangi sampai menggoda lelaki ajnabi undang dosa


  • Maya
  • Sabtu, 28 Jun 2025

Haram hukumnya bagi wanita yang memakai wangi-wangian untuk menarik perhatian lelaki ajnabi. — Gambar hiasan

KAEDAH mempromosi produk kosmetik khususnya minyak wangi sehingga menggoda menimbulkan kebimbangan ramai.

Seperti video tular di media sosial memaparkan beberapa wanita yang memakai minyak wangi dan berjalan di sebuah pusat beli-belah untuk melihat reaksi pengunjung terutama kaum lelaki sebagai bukti keberkesanan produk mereka.

Bimbang melihat ia dinormalisasi dalam kalangan masyarakat beragama Islam, pendakwah terkenal Ustazah Asma' Harun tampil memberi teguran dan penjelasan tentang perkara tersebut.

BACA LAGI: Angkat martabat usahawan tempatan, bekas orang kuat politik cetus revolusi AI, naik taraf industri PMKS serantau

BACA LAGI: [VIDEO] Bangkit lepas koma 5 bulan, pengusaha sambal Dapur Pak Amir mula bermodal pertama RM500 gigih ubah nasib keluarga

Menurut beliau, cara promosi itu tidak seharusnya menjadi alasan kepada peniaga untuk mencari rezeki sehingga sanggup melakukan perbuatan yang haram.

"Rezeki yang diperoleh melalui cara seperti ini bukan lagi keberkatan, tetapi ia satu bentuk perniagaan yang mengundang dosa.

"Kononnya untuk buktikan keberkesanan produk, tapi sayangnya, dalam tidak sedar, tubuh dan bau diri dijadikan umpan dan ‘tarikan lelaki’ dan bahan promosi," katanya menerusi hantaran Facebook.

Katanya, hukum wanita yang memakai wangi-wangian sehingga menarik perhatian lelaki ajnabi adalah haram, sebagaimana yang disebut secara jelas dalam sabda Nabi SAW:

Daripada Abu Musa al-Asy`ari RA bahawa Nabi SAW telah bersabda:

أيُما امرأةٍ استعطرت فمرت على قومٍ لِيجِدُوا مِن رِيحِها فهِي زانِية

Maksudnya: "Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau darinya maka perempuan itu adalah penzina." (HR Abu Daud, hadis hasan).

Begitu juga hadis yang lain menyebut daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW:

إِن الله كتب على ابنِ آدم حظهُ مِن الزِنا, أدرك ذلِك لا محالة, فزِنا العينِ النظرُ, وزِنا اللِسانِ المنطِقُ, والقلب تمنى وتشتهِي, والفرجُ يُصدِقُ ذلِك كُلهُ ويُكذِبُهُ

Maksudnya: "Sesungguhnya ALLAH telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya." (Muttafaqun a’laih)

Hadis tersebut juga bermaksud wanita yang memakai minyak wangi terzahir dan kuat baunya kemudian keluar dari rumah lalu melewati satu kaum iaitu lelaki-lelaki ajnabi dan memang itu tujuannya, maka dia adalah penzina dari sudut mendapatkan dosanya. 

Ustazah Asma' berkata, kaedah promosi yang melanggar syarak sekali gus membuka ruang maksiat dan mengundang fitnah.

"Berniaga itu mulia dan ibadah, tetapi dengan cara ini ia bukan lagi ibadah, bahkan menjadi sebab kemurkaan ALLAH.

"Wahai wanita Muslimah yang berniaga, anda bukan sekadar penjual produk, anda sedang membawa nama Islam dan maruah wanita mukminah.

"Berniagalah dengan adab dan malu, bukan dengan cara menjadikan diri sebagai bahan tarikan," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram