[VIDEO] Nikah usia 15 tahun, tiada kerja stabil, suami isteri tinggal di rumah tanpa elektrik, air paip


  • Cinta
  • Jumaat, 16 Jan 2026

Kisah Rizal dan Siti tular selepas kehidupan mereka dikongsi menerusi saluran YouTube Apt.Ego Adriano pada Selasa lalu.

MESKI hidup serba kekurangan, sepasang suami isteri muda berasal dari Medan, Sumatra Utara, Indonesia mengambil keputusan melangsungkan perkahwinan kira-kira tiga bulan lalu.

Pasangan berkenaan, Rizal dan Siti yang menikah pada usia 15 tahun tular selepas kisah mereka dikongsi menerusi saluran YouTube Apt.Ego Adriano pada Selasa lalu.

Mereka dilaporkan tinggal di sebuah rumah kosong tanpa bekalan elektrik dan air paip di kawasan Cimahi, Karawang, Jawa Barat.

BACA LAGI: 'Perlu lebih banyak masa untuk diterima', kanak-kanak perempuan hidap sindrom Werewolf masuk prasekolah di Sarawak

BACA LAGI: Sultan Pahang, Tunku Azizah lepas rindu jumpa anak angkat hidap sindrom Werewolf di Sarawak

Menurut pemilik akaun YouTube itu, pasangan tersebut menyara kehidupan dengan bekerja sebagai pengedar barang kitar semula.

Malah kedua-duanya hanya mempunyai modal sekitar 7,000 rupiah (RM1.70) untuk kelangsungan hidup harian.

Memetik laporan media tempatan, Rizal ketika ditemui dilihat berpakaian ringkas dengan hoodie dan seluar sukan, manakala Siti pula tunduk memendam perasaan.

Rizal mengakui jumlah wang yang dimiliki amat terhad, namun masih mencukupi sekadar untuk meneruskan hidup sehari ke sehari.

“Apa yang boleh saya buat dengan RM1.70? Itu untuk esok. Sekarang saya masih ada nasi dan mi,” katanya.

Rizal turut memaklumkan, mereka tinggal di rumah tanpa bekalan asas itu selama sebulan, yang menjadi satu-satunya tempat berlindung walaupun serba kekurangan.

Di sebalik kesusahan hidup, latar belakang keluarga Siti turut menambah beban emosi.

Ibu bapanya telah berpisah, dengan ibunya menetap di Medan dan bapanya tinggal di Karawang.

Siti mengakui berasa terpinggir dan tidak selesa tinggal bersama bapanya, selain kerap dimarahi sehingga membuatkan dia memilih untuk keluar dari rumah.

Pemilik akaun YouTube Apt.Ego Adriano bagaimanapun berjaya menghubungkan wanita itu dengan ibunya di Medan melalui panggilan video.

Ibunya dilihat menangis teresak-esak, merayu agar Siti pulang ke pangkuan keluarga.

Ibunya turut memaklumkan, adik Siti jatuh sakit akibat terlalu bimbang memikirkan keadaan kakaknya yang menghilang.

Walaupun pada awalnya Siti berasa tidak disayangi, rayuan dan permohonan maaf itu akhirnya melembutkan hatinya.

Namun, Siti meletakkan satu syarat tegas iaitu dia hanya akan pulang jika Rizal dibenarkan mengikutnya ke Medan.

Tanpa ragu, ibunya memberi restu dan berjanji menerima Rizal sebagai sebahagian daripada keluarga.

“Saya mahu pulang, tetapi bersama Rizal. Dialah yang menjaga saya ketika sakit, memberi makan dan sentiasa ada bersama,” kata Siti.

Ibunya menyambut permintaan itu dan menegaskan bahawa kebahagiaan anaknya adalah keutamaan, asalkan Siti pulang ke rumah.

Rizal pula menyatakan kesediaan untuk bekerja di Medan, termasuk di ladang kelapa sawit, demi membina kehidupan baharu yang lebih baik bersama isterinya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram