HANYA beberapa hari selepas sesi persekolahan bermula, gelagat mencuit hati murid mulai tular di media sosial.
Ada murid yang menangis tidak mahu berpisah dengan ibu bapa, malah ada juga yang cuba melarikan diri pada hari pertama persekolahan sehingga menghiburkan ramai.
Namun di sebalik memori manis itu, timbul satu isu yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa berkaitan penjualan makanan tidak berkhasiat di luar kawasan sekolah.
BACA LAGI: [VIDEO] Kemaruk nak jadi pramugari, tembelang wanita Palembang di awan biru terbongkar
Seorang pengguna Threads, Nadalrazak, meluahkan kebimbangannya selepas mendapati terdapat penjaja menjual makanan tidak sihat di luar pekarangan sebuah sekolah di Kajang, Selangor.
"Tergamak penjaja jual kepada budak sekolah rendah benda macam ini.
"Report kepada pihak sekolah tidak jalan, jadi boleh lapor kepada siapa lagi? Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)?” katanya.
Malah, Nadalrazak turut memuat naik sekeping gambar yang memaparkan seorang peniaga menjual mi segera yang diletakkan di dalam cawan plastik.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen, khususnya ibu bapa yang turut berkongsi pengalaman sama.
Seorang pengguna, Tasneemm, mendakwa situasi tersebut turut berlaku di sekolah anaknya.
"Sekolah anak saya pun sama, penjaja di luar jual mi segera dalam cawan dengan pelbagai perisa. Di rumah saya disiplinkan anak makan sihat, tapi semalam (Selasa) terus rasa cemas,” katanya.
Sementara itu, azrxzkwn meluahkan rasa kesal terhadap sikap peniaga yang disifatkan mementingkan keuntungan semata-mata.
"Memang peniaga dekat sekolah suka jual benda tidak berfaedah untuk kaut untung duit budak-budak. Kalau nak berniaga, juallah makanan yang lebih elok.
"Ini mi segera pun nak jual. Nasi lemak atau nasi berlauk masih boleh diterima, bukan makanan yang entah apa-apa,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, aayiiieeeee, berpandangan ibu bapa perlu memainkan peranan utama dengan mendidik anak-anak agar menjauhi makanan tidak berkhasiat.
"Daripada sibuk buat laporan sana sini, lebih baik kita educate anak-anak supaya jauhi makanan macam ini. Kalau tiada pembeli, insya-ALLAH tiada penjual," ujarnya.
Isu tersebut sekali lagi membuka perbincangan mengenai kepentingan kesedaran pemakanan sihat serta peranan bersama ibu bapa, pihak sekolah dan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan persekitaran sekolah lebih selamat dan sihat untuk murid.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak sekolah mahupun pihak berkuasa tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
