WALAUPUN berdepan pengalaman mencabar pada hari pertama persekolahan, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang menghidap sindrom Werewolf atau 'manusia serigala', Missclyen Roland kini semakin menyesuaikan diri dengan persekitaran prasekolahnya.
Missclyen menerima reaksi bercampur daripada 24 rakan sekelas apabila menghadiri prasekolah buat kali pertama pada Isnin di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tisang, Bintulu Sarawak apabila sebahagian murid menunjukkan rasa takut, terkejut dan kurang memahami keadaannya.
Bapanya, Roland Jimbai berkata, keadaan bertambah baik pada hari kedua persekolahan selepas beberapa rakan sekelas anaknya mula bergaul dan berkawan dengannya.
BACA LAGI: Sultan Pahang, Tunku Azizah lepas rindu jumpa anak angkat hidap sindrom Werewolf di Sarawak
“Hari pertamanya memang berbeza. Ada rakan sekelas yang lari keluar dari bilik darjah, takut dan ada juga yang mentertawakannya.
"Keadaan tersebut membuatkan anak saya tertekan,” katanya.
Menurut Roland, Missclyen memerlukan lebih banyak masa agar dirinya dapat diterima sepenuhnya oleh rakan sekelas, memandangkan setiap kanak-kanak mempunyai tahap penerimaan dan kefahaman berbeza.
Beliau menambah, pihak sekolah dan yang berkaitan menasihatkan mereka agar membenarkan Missclyen menghadiri sekolah selama beberapa hari terlebih dahulu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan melawat Missclyen di Kuching sempena lawatan rasmi ke Sarawak pada November 2025. — Facebook/Kesultanan Pahang
"Ia bagi menilai tahap keselesaan dan keupayaannya menyesuaikan diri sebelum sebarang keputusan jangka panjang dibuat.
“Kebiasaannya, seorang kanak-kanak memerlukan kira-kira seminggu untuk membiasakan diri dengan persekitaran baharu sebelum mula berinteraksi dengan rakan sebaya.
“Setiap kanak-kanak adalah berbeza dan kami memahami perkara itu,” ujarnya.
Walaupun berdepan cabaran sosial, jelas Roland, anaknya menunjukkan minat untuk ke sekolah.
“Apabila ditanya sama ada suka sekolah atau tidak, dia menjawab ya.
“Missclyen melihat adik-beradiknya pergi ke sekolah dan itu membuatkan dia turut ingin bersekolah,” katanya.
Dua daripada adik-beradik Missclyen bersekolah di sekolah rendah yang sama, dengan abangnya di Tahun Satu dan kakaknya di Tahun Empat, manakala kakak sulungnya berada di Tingkatan Satu.
Menurut Roland, kehadiran adik-beradik di sekolah yang sama membantu Missclyen berasa lebih selamat dan memudahkan proses penyesuaiannya.
“Buat masa ini, kami memantau perkembangannya dan melengkapkan dokumen yang diperlukan sebelum memuktamadkan pengaturan persekolahannya,” maklum beliau.
Dari sudut perubatan, sindrom Werewolf atau 'manusia serigala' dikenali sebagai Congenital Generalised Hypertrichosis (CGH), iaitu satu keadaan yang amat jarang berlaku dan dicirikan oleh pertumbuhan rambut berlebihan pada tubuh.
Kanak-kanak yang menghidap keadaan ini sering berdepan cabaran sosial akibat kurangnya kesedaran dan kefahaman masyarakat.
Untuk rekod, Missclyen juga dilahirkan tanpa lubang hidung menyebabkan kawasan wajah dan badannya berbulu lebat.
Missclyen pada 2023 pernah disantuni Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semasa persinggahan konvoi Kembara Kenali Borneo di Masjid Al-Falah, Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu, tiga tahun lalu ketika dia berusia dua tahun.
Susulan itu, Tunku Azizah berkenan menawarkan diri untuk menjadi penaung kepada Missclyen dengan memberi sokongan terhadap pendidikan dan rawatan perubatannya. — The Star/ANDY CHUA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
