[VIDEO] Sifatkan ibu hebat, anak hadiahkan Hazlina beg tangan mewah, trip percutian ke Jepun rai hari jadi ke-65


  • Bonda
  • Isnin, 12 Jan 2026

Anak perempuan penyanyi era 80-an, Hazlina Kamsan diraikan dengan cukup meriah sempena ulang tahun kelahirannya baru-baru ini.

KASIH seorang anak terhadap ibu bapa tidak pernah terhad pada kata-kata, sebaliknya dizahirkan melalui penghargaan dan pengorbanan yang ikhlas.

Sempena ulang tahun kelahiran ke-65 ibunya, seorang wanita menghadiahkan barangan dan beg jenama mewah sebagai tanda terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang dicurahkan selama ini.

Perkongsian menyentuh hati itu dimuat naik oleh anak kepada penyanyi popular era 90-an, Hazlina Kamsan menerusi akaun TikTok _qishii.

BACA LAGI: 'Screen time jadi skill time', ibu tak sangka anak baiki PC ikut panduan ChatGPT, siap ada misi kumpul RM1,000

BACA LAGI: Rasa 'down' cita-cita nak jadi angkasawan diperlekeh, tapi kembali semangat lepas dapat poskad daripada Dr. Sheikh Muszaphar

Dalam video dan kapsyen yang dikongsikan, beliau meluahkan rasa syukur serta penghargaan tidak terhingga buat ibu yang disifatkan sebagai wanita hebat dan tidak pernah mengenal erti penat.

Menurutnya, ibunya bekerja tanpa henti dari pagi hingga malam demi membesarkan anak-anak, dalam masa sama menjaga suaminya yang uzur.

Walaupun mengakui ibunya suatu ketika dahulu jarang berada di rumah sehingga ada masanya seminggu sekali pun sukar bertemu, beliau memahami semua itu dilakukan demi memastikan kehidupan keluarga terjamin.

"Terima kasih sebab jadi mak yang terbaik buat anak anak semua, you deserve so much more than this and I promise you selagi anak mak masih bernafas dan bernyawa, she'll try her best to make you happy.

"Terima kasih sebab kerja non stop pagi sampai malam, sambil jaga abah sakit even dulu mak jarang dekat rumah, seminggu belum tentu sekali nampak muka tapi I know you did that for us, I love you so much," ujarnya.

Luahan penuh emosi itu turut disertakan dengan ucapan terima kasih kepada abang dan kakak yang tinggal berhampiran kampung kerana sentiasa meluangkan masa menjaga ibu mereka.

Daripada menemani membeli barangan keperluan, bersarapan, menghadiri kenduri sehinggalah memasak, setiap pengorbanan adik-beradik lain amat dihargainya.

Akui tidak mampu memberikan sepenuh masa buat ibunya kerana tinggal berjauhan dan sudah mendirikan rumah tangga, namun sokongan dan kerjasama adik-beradik lain menjadi penguat semangat untuk terus membahagikan peranan demi ibu tercinta.

Dalam pada itu, tahun lalu beliau mengambil keputusan untuk merealisasikan impian ibunya dengan menempah percutian khas ke Jepun.

Menurutnya, ibunya pernah menyatakan hasrat untuk melancong ke Jepun bersama ahli keluarga terdekat termasuk mak cik, pak cik dan nenek, lalu beliau berusaha mengumpul wang demi memastikan impian itu menjadi kenyataan.

Beliau dalam masa sama turut berkongsi perancangan jangka panjang untuk 2026 dengan hasrat membawa ibunya menunaikan umrah.

"Untuk 2026, saya rancang nak pergi umrah dengan mak and more mother daughter trip sebab saya hilang masa empat tahun dengan mak when I moved out dari rumah then kahwin pula.

"Happy birthday wanita hebat saya, moga ALLAH kurniakan mak syurga," tambahnya.

Untuk rekod, sepanjang karier seninya Lina pernah menghasilkan album sulung Jangan Memilih Jalan Sendiri pada 1981, Pujuk Pujuk Dia (1982) dan Curahan Hati (1983).

Selain dunia nyanyian, Lina turut dikenali sebagai pelakon versatil berikutan bakat lakonannya seperti drama Pisang Udang (1983).

Sementara itu, drama Inang Bersanggul Dua pula pernah membawa namanya ke peringkat akhir Anugerah TV3 bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik (1993). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram