Selepas diabetes, sindrom Down kini Barbie lancar 'doll' autisme pertama, rai kanak-kanak autistik di AS


  • Maya
  • Rabu, 14 Jan 2026

Patung Barbie versi autisme dilancarkan bagi meraikan golongan spektrum tersebut di seluruh dunia.

INDUSTRI mainan global terus melangkah ke hadapan dalam meraikan kepelbagaian masyarakat dunia apabila Mattel melancarkan patung Barbie autistik pertama baru-baru ini.

Patung baharu itu dibangunkan hasil kerjasama rapat bersama Rangkaian Advokasi Kendiri Autistik (Autistic Self Advocacy Network, ASAN), sebuah organisasi hak asasi orang kelainan upaya (OKU) yang dikendalikan oleh komuniti autistik.

Menurut Mattel, penghasilan patung itu bertujuan mewakili kanak-kanak dalam spektrum autisme dan mencerminkan bagaimana mereka berinteraksi dengan cara yang unik.

BACA LAGI: Rasa 'down' cita-cita nak jadi angkasawan diperlekeh, tapi kembali semangat lepas dapat poskad daripada Dr. Sheikh Muszaphar

BACA LAGI: 'Screen time jadi skill time', ibu tak sangka anak baiki PC ikut panduan ChatGPT, siap ada misi kumpul RM1,000

Patung tersebut menyertai rangkaian Barbie Fashionistas yang kini menampilkan lebih 175 variasi penampilan, merangkumi pelbagai tona kulit, jenis badan serta keperluan khas.

Sebelum ini, rangkaian sama telah memperkenalkan Barbie dengan diabetes Jenis 1, sindrom Down, buta serta patung yang menggunakan kerusi roda, selari dengan usaha Mattel untuk menjadikan patung mainan lebih realistik.

Barbie kini mempunyai beberapa versi dengan ciri serta komponen daripada golongan OKU.

Pembangunan Barbie autistik tersebut mengambil masa lebih 18 bulan dengan ASAN memainkan peranan penting dalam memberi panduan terperinci agar reka bentuk patung tersebut benar-benar mencerminkan kepelbagaian pengalaman individu dalam spektrum autisme.

Antara ciri khas patung itu ialah sendi siku dan pergelangan tangan yang boleh digerakkan, membolehkan pergerakan rangsangan atau gestur tertentu.

Reka bentuk mata yang dialihkan ke sisi pula dibuat bagi mengurangkan fokus sentuhan mata, selari dengan kepekaan sesetengah individu autistik.

Patung berkenaan turut dilengkapi alat pemutar gelabah, sebuah tablet, fon kepala serta gaun longgar yang direka untuk mengurangkan ketidakselesaan akibat sentuhan fabrik pada kulit.

Bagi meraikan pelancaran tersebut, Mattel turut mendermakan lebih 1,000 unit Barbie autistik kepada hospital pediatrik di seluruh Amerika Syarikat (AS) yang menyediakan perkhidmatan khusus untuk kanak-kanak autisme.

Menurut data Autism Speaks, kira-kira satu daripada 31 kanak-kanak dan satu daripada 45 orang dewasa di AS dikenal pasti menghidap autisme.

Ketua syarikat Anak Patung Global Mattel, Jamie Cygielman berkata, Barbie sentiasa berusaha mencerminkan dunia sebenar yang dilihat oleh kanak-kanak.

"Barbie sentiasa berusaha untuk mencerminkan dunia yang dilihat oleh kanak-kanak dan kami berbangga untuk memperkenalkan Barbie autistik pertama kami sebagai sebahagian daripada usaha berterusan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa patung tersebut membantu meluaskan pasaran industri mainan, selain memastikan setiap kanak-kanak berpeluang melihat diri mereka diwakili melalui Barbie.

Dalam pada itu, usaha Mattel dalam mempromosikan kepelbagaian ternyata membuahkan hasil daripada sudut komersial.

Terdahulu, rangkaian Barbie Fashionistas yang dilancarkan pada 2009 terus mendapat sambutan dengan patung Barbie buta dan sindrom down antara yang paling laris di peringkat global pada 2024.

Patung yang menggunakan kerusi roda pula kekal sebagai antara produk terlaris sejak diperkenalkan pada 2019.

Ditubuhkan pada 1945 dan bermula dari sebuah garaj di Los Angeles, Mattel kini berkembang menjadi syarikat mainan bernilai berbilion dolar yang berpangkalan di El Segundo, California dengan jenama terkenal seperti Fisher-Price, Hot Wheels dan American Girl di bawah naungannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram