Tahan lasak tapi 'outdated'? Pro, kontra pasang lantai jubin di kediaman baharu


  • Hias
  • Rabu, 14 Jan 2026

Pemilihan lantai jenis jubin seramik memiliki kelbihan dan kekurangan tersendiri. — Gambar hiasan/Agensi

PEMILIHAN lantai jubin seramik sering mencetuskan perdebatan dalam kalangan pemilik rumah, khususnya bagi kediaman baharu. 

Ada yang melihatnya sebagai pilihan praktikal dan tahan lama, namun tidak kurang juga yang menganggapnya sudah ketinggalan zaman. 

Bagi membantu membuat keputusan yang lebih tepat, berikut ialah kelebihan dan kekurangan lantai jubin seramik yang wajar dipertimbangkan.

BACA LAGI: [VIDEO] Sifatkan ibu hebat, anak hadiahkan Hazlina beg tangan mewah, trip percutian ke Jepun rai hari jadi ke-65

BACA LAGI:Rasa 'down' cita-cita nak jadi angkasawan diperlekeh, tapi kembali semangat lepas dapat poskad daripada Dr. Sheikh Muszaphar

 

Kelebihan

Antara tarikan utama jubin seramik ialah tahap ketahanannya yang tinggi kerana ia mampu menahan penggunaan harian dalam tempoh lama sehingga puluhan tahun. 

Ketahanannya menjadikan jubin seramik sesuai untuk di kawasan seperti ruang tamu, dapur dan bilik.

Selain itu, jubin seramik menawarkan kepelbagaian dari segi reka bentuk dalam pelbagai warna, corak dan tekstur, termasuk rekaan yang menyerupai kayu atau marmar. 

Ini memberikan kebebasan kepada pemilik rumah untuk menyesuaikan gaya lantai dengan konsep keseluruhan kediaman, sama ada moden, klasik atau minimalis.

Dari sudut fungsi, jubin seramik juga kalis air apabila dipasang dan ditutup dengan betul. 

Lantai jubin sesuai dipasang di kawasan ruang tamu dan dapur ekoran daya ketahanannya yang tinggi. — Gambar hiasan/Agensi

Justeru, ia sering menjadi pilihan di bilik mandi, dapur dan kawasan lembap.

Malah, permukaannya yang tidak berliang juga membantu mengurangkan pengumpulan habuk, debunga dan kulat sekali gus sesuai untuk individu yang mempunyai masalah alahan atau asma.

Dalam pada itu, kerja pembersihan harian hanya memerlukan penyapu dan mop, manakala tumpahan tidak mudah meresap ke dalam permukaan lantai. 

Faktor itu menjadikan jubin seramik praktikal untuk keluarga yang mengutamakan kemudahan penjagaan rumah.

Dari segi kos, jubin seramik lazimnya lebih mesra bajet berbanding lantai batu semula jadi atau kayu keras. Walaupun terdapat pilihan jubin premium yang mahal, secara umumnya ia menawarkan nilai yang baik untuk kegunaan jangka panjang.

Kontra

Walaupun mempunyai banyak kelebihan, jubin seramik turut mempunyai beberapa kelemahan. 

Isu utama yang sering dibangkitkan ialah penyelenggaraan grout di antara jubin. 

Garisan tersebut boleh menyerap kotoran dan kelembapan serta berisiko berkulat jika tidak ditutup dan diselenggara secara berkala. 

Dari segi keselesaan, jubin seramik terkenal dengan permukaannya yang keras namun, berdiri terlalu lama di atasnya boleh menyebabkan ketidakselesaan pada kaki selain turut meningkatkan risiko barangan kaca atau pinggan pecah jika terjatuh.

Dalam pada itu, ciri keselamatan turut menjadi pertimbangan terutamanya apabila jubin dalam keadaan licin dan basah kerana boleh mengundang risiko tergelincir di dapur atau bilik mandi. 

Walaupun jubin seramik tahan lasak, ia masih boleh retak atau pecah akibat hentaman kuat. 

Kesimpulannya, lantai jubin seramik menawarkan keseimbangan antara ketahanan, kos dan fungsi, namun ia bukanlah pilihan yang sempurna untuk semua individu.

Mengambil aspek pro dan kontra secara menyeluruh dapat membantu pemilik rumah membuat keputusan yang lebih sesuai dengan keperluan dan gaya hidup masing-masing. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram