Nenek usia 81 tahun jadi YouTuber main 'Minecraft', kumpul lebih RM140,000 rawatan kanser cucu


  • Bonda
  • Rabu, 14 Jan 2026

Sue Jacquot mengambil langkah berani bergelar You Tuber permainan video Minecraft demi menari dana rawatan kanser cucunya. — Agensi

PENGORBANAN seorang nenek warga emas demi kesihatan cucunya mencuri perhatian ramai apabila wanita berusia 81 tahun itu sanggup mempelajari permainan video popular, Minecraft.

Mencuba nasib bergelar pencipta kandungan menerusi akaun Gramma Crackers di You Tube pada 2024, Sue Jacquot menjadikan platform tersebut sebagai usaha mengumpul dana rawatan cucunya, Jack Self yang didiagnosis kanser jenis Sarcoma.

Meskipun sekadar mencuba nasib pada mulanya, akaun tersebut akhirnya berkembang menjadi satu fenomena dengan jumlah lebih 150,000 pengikut setakat ini.

BACA LAGI: Selepas diabetes, sindrom Down kini Barbie lancar 'doll' autisme pertama, rai kanak-kanak autistik di AS

BACA LAGI: Rasa 'down' cita-cita nak jadi angkasawan diperlekeh, tapi kembali semangat lepas dapat poskad daripada Dr. Sheikh Muszaphar

Setiap video yang dimuat naik turut disertakan pautan ke kempen GoFundMe untuk Jack, sekali gus membuka ruang kepada orang ramai menghulurkan sumbangan.

Dalam pada itu, hubungan antara Jacquot dan Jack semakin erat apabila mereka bermain Minecraft bersama-sama ketika Jack menjalani rawatan di hospital. 

Keupayaan nenek itu memahami dan bermain permainan tersebut bukan sahaja mengagumkan cucunya, malah mengejutkan seluruh ahli keluarga.

"Saya sebenarnya tidak pernah benar-benar berminat dengan permainan ini, tetapi apabila cucu mahu berinteraksi dengan saya, saya akan melakukannya," kata Jacquot.

Jack Self memerlukan kos rawatan tinggi bagi merawat kanser dihadapainya. — Agensi

Selang beberapa bulan kemudian, jumlah pengikutnya melonjak secara mendadak, mencecah 100,000 dalam tempoh hanya sebulan. 

Seorang lagi cucunya, Austin berkata, hasil daripada video Minecraft neneknya, sumbangan kepada GoFundMe Jack meningkat dengan ketara. 

Menurutnya, jumlah derma yang diterima berbeza-beza bermula daripada hanya satu dolar sehinggalah sumbangan besar bernilai AS$5,000 (RM20,000).

Terbaharu, kempen GoFundMe itu telah berjaya mengumpul sekitar AS$35,000 (RM141,925) tidak termasuk pendapatan daripada saluran YouTube Jacquot yang digunakan bagi menampung kos rawatan Jack.

Lebih menggembirakan, usaha murni Jacquot membuahkan hasil apabila Jack kini disahkan bebas daripada kanser. 

Sokongan padu daripada komuniti dalam talian, khususnya peminat permainan video yang membanjiri ruangan komen dengan kata-kata semangat, turut menjadi sumber kekuatan buat nenek itu.

"Ia adalah perkara paling luar biasa," kata Jacquot sambil tersenyum, menggambarkan rasa syukur dan gembira atas sokongan yang diterimanya serta kesembuhan cucu tersayang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram