Bukan sekadar untuk cantik, kesihatan mulut wanita juga dikaitkan dengan menopaus, Alzheimer — Perunding ortodontis 


  • Sihat
  • Rabu, 31 Dis 2025

Flos gigi bukan hanya untuk nampak cantik, tetapi juga demi menjaga ingatan seseorang. — Gambar hiasan

KESIHATAN mulut wanita bukan sekadar soal gigi dan senyuman, sebaliknya berpotensi menjadi petunjuk penting kepada dua fasa besar dalam kehidupan wanita iaitu menopaus dan risiko penyakit Alzheimer.

Perunding Ortodontis, Dr. Mumtaj Nisah Abd Rahim berkata, walaupun mata sering diibaratkan sebagai jendela jiwa, pakar kesihatan kini menekankan bahawa mulut sebenarnya mencerminkan keadaan kesihatan keseluruhan seseorang wanita. 

Menurutnya, kajian terkini menunjukkan perubahan pada gusi dan gigi mempunyai kaitan rapat dengan perubahan hormon menopaus serta kesihatan otak, khususnya penyakit Alzheimer yang lebih banyak menjejaskan wanita.

BACA LAGI: Alami menopaus tapi masih ada darah keluar, waspada anda mungkin ada simptom kanser rahim

BACA LAGI: Putus haid sebelum usia 40? Ramai masih tak tahu punca menopaus pramatang

"Bagi wanita Malaysia, keadaan kesihatan mulut boleh mempengaruhi cara mereka menua, menikmati makanan dan mengekalkan daya ingatan pada usia lanjut.

"Kebanyakan wanita maklum mengenai simptom menopaus seperti rasa panas melampau, perubahan emosi dan penurunan ketumpatan tulang," katanya.

Pemeriksaan pergigian secara berkala membantu mengenal pasti isu kesihatan pada bahagian lain dalam tubuh.

Tambah beliau, perubahan hormon estrogen dan progesteron juga memberi kesan ketara terhadap kesihatan mulut.

Jelasnya, penurunan hormon itu boleh menyebabkan mulut kering akibat pengurangan aliran air liur, sindrom mulut terbakar yang menimbulkan rasa pedih berpanjangan, penyakit gusi akibat kelemahan tisu gusi dan tulang rahang serta perubahan deria rasa yang menjejaskan selera makan.

"Masalah ini bukan sekadar ketidakselesaan, malah membawa implikasi kesihatan serius. 

"Dianggarkan kira-kira 94 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami sejenis penyakit gusi, yang turut dikaitkan dengan penyakit jantung, osteoporosis dan beberapa jenis kanser.

"Keadaan ini lebih teruk dalam kalangan wanita pascamenopaus, ditambah pula dengan statistik membimbangkan apabila hanya 15.6 peratus kes kanser mulut di Malaysia dikesan pada peringkat awal," katanya lagi.

Photo shoot with dentist and philanthropist Colonel [R] Dr Datin Muntaj Nisah at Omnia Dental Care on February 26.-AZMAN GHANI / The Star

Dr. Mumtaj Nisah berkata, walaupun mata diibaratkan sebagai jendela jiwa, mulut sebenarnya mencerminkan keadaan kesihatan keseluruhan seseorang wanita. 

Penyakit gusi dan kesihatan otak

Menurut Dr. Mumtaj Nisah, penyakit Alzheimer, penyebab utama demensia, menjejaskan hampir dua pertiga wanita di seluruh dunia. 

Kongsinya, selain faktor usia dan genetik, penyelidik kini mengenal pasti kesihatan mulut sebagai satu faktor yang tidak boleh dipandang ringan dalam kesihatan otak.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf kesihatan mulut sebagai asas kesejahteraan umum.

"Mereka memberi amaran penyakit gusi yang tidak dirawat boleh menyumbang kepada penyakit tidak berjangkit, termasuk demensia.

"Analisis meta pada 2023 dalam jurnal Frontiers in Neurology mendapati individu yang mengalami kehilangan gigi ketara berisiko 15 hingga 20 peratus lebih tinggi untuk menghidap demensia. 

"Antara faktor yang dikenal pasti ialah keradangan kronik, kekurangan rangsangan mengunyah dan bakteria mulut yang boleh bergerak ke otak," maklumnya.

Dr. Mumtaj Nisah menambah, kajian terdahulu turut mengesan bakteria penyebab penyakit gusi seperti Porphyromonas gingivalis dan Fusobacterium nucleatum dalam tisu otak pesakit Alzheimer, sekali gus menguatkan bukti hubungan antara mulut dan otak.

Selepas menopaus ujarnya, kesan antiradang semula jadi estrogen berkurangan, menjadikan wanita lebih terdedah pada keradangan sistemik. 

"Apabila digabungkan dengan penyakit gusi kronik, beban keradangan terhadap otak menjadi lebih berat dan berpotensi mempercepat kemerosotan kognitif," kata beliau.

Penyakit Alzheimer menjejaskan hampir dua pertiga wanita di seluruh dunia. 

Langkah pencegahan 

Walaupun belum dibuktikan penyakit gusi secara langsung menyebabkan Alzheimer, pakar menegaskan, bukti sedia ada cukup kukuh untuk langkah pencegahan diambil lebih awal.

Antara langkah disarankan termasuk menjalani pemeriksaan gigi secara berkala dan mengamalkan penjagaan mulut harian yang konsisten.

Selain itu, individu juga perlu mengamalkan pemakanan sihat kaya kalsium, vitamin D dan omega-3 serta mendapatkan rawatan bagi simptom menopaus seperti mulut kering.

Wanita juga digalakkan kekal aktif secara fizikal dan sosial, selain mengelakkan tabiat merokok serta pengambilan alkohol berlebihan yang meningkatkan risiko penyakit gusi dan demensia.

Penjagaan kesihatan bersepadu

Dr. Mumtaj Nisah turut menggesa pendekatan penjagaan kesihatan wanita yang lebih menyeluruh, melibatkan kerjasama antara doktor gigi, pakar sakit puan dan pakar neurologi.

Ujar beliau, menopaus dan masalah ingatan sering dilihat sebagai isu berasingan, sedangkan kedua-duanya berkait rapat dengan kesihatan mulut. 

"Di Malaysia, usaha ini memerlukan kempen kesedaran awam, akses saringan yang lebih mudah dan latihan khusus untuk profesional pergigian mengenal pasti perubahan mulut berkaitan menopaus serta tanda awal kemerosotan kognitif.

"Pelan Kesihatan Mulut Kebangsaan Malaysia (2022–2030) turut mengiktiraf wanita berusia sebagai kumpulan rentan yang memerlukan strategi pencegahan dan penjagaan khusus," maklumnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram