
SETIAP senyuman kini menjadi ruang ekspresi baharu bagi golongan belia di China.
Sarung gigi atau sinonim dengan teeth crown sebelum ini hanya dilihat sebagai rawatan pergigian.
Namun, ia kini dipenuhi ukiran simbol, perkataan dan corak unik, menjadikannya trend fesyen yang menjadi bualan ramai di media social.
BACA LAGI: Nina, suami timang bayi lelaki, selamat bersalin secara czer
Sarung gigi asalnya menutupi gigi rosak atau lemah. — Gambar hiasan/Freepik
Fenomena itu mula tular di platform media sosial negeri tersebut sejak awal tahun apabila semakin ramai anak muda berkongsi gambar dan video mempamerkan 'tatu gigi' mereka.
Perkhidmatan tersebut ditawarkan oleh pelbagai institusi pergigian di seluruh negara. Ada juga antaranya memberikan ukiran percuma sebagai promosi menarik pelanggan baharu.
Sarung gigi pada asalnya berfungsi menutupi gigi rosak atau lemah bagi mengembalikan bentuk, kekuatan, fungsi dan penampilan.
Namun, di tangan belia China, ia kini menjadi medium gaya hidup, seolah-olah aksesori boleh dipamerkan.
Di Guangdong, selatan China, sebuah hospital swasta besar memperkenalkan sarung gigi cetakan tiga dimensi (3D) diperbuat daripada bahan khas digunakan dalam industri aeroangkasa.
Menurut iklannya, produk itu bukan sahaja mampu membaiki gigi bermasalah, malah boleh diukir dengan kata-kata atau corak pilihan pelanggan.
Anak muda di China menjadikan sarung gigi sebagai medium fesyen dengan mengukir nama pasangan atau frasa bertuah. — Gambar hiasan/Agensi
Harga untuk satu sarung gigi mencecah sekitar 2,000 yuan bersamaan kira-kira RM1,200.
"Teknologi tatu gigi ini diperkenalkan pada awal tahun dan sejak itu, ramai pelanggan membanjiri pusat kami.
"Ada yang memilih nama pasangan, nombor bertuah atau mesej ringkas seperti kaya dan berjaya. Setakat ini teknologi ini stabil dan semakin dipercayai," kata seorang kakitangan hospital berkenaan.
Seorang wanita dari Jinan, wilayah Shandong, misalnya, memilih huruf Cina shen yang bermaksud berhati-hati untuk diukir pada crown giginya.
"Saya rasa sangat menarik apabila gigi boleh memaparkan watak atau simbol tertentu.
"Pada awalnya agak janggal, seolah-olah ada benda asing dalam mulut. Tetapi selepas setahun, saya sudah terbiasa," katanya kepada agensi.
Namun, tidak semua pihak menyokong trend berkenaan. Seorang pakar pergigian di Shanghai memberi amaran bahawa sarung gigi boleh melemah jika diukir.
Pelekat pelbagai motif turut dianggap cara mempamerkan gaya peribadi. — Gambar hiasan/Agensi
"Struktur crown akan terjejas sedikit sebanyak. Saya tidak mengesyorkan pesakit menambah ukiran kerana ia boleh menjejaskan kekuatan jangka panjang," jelasnya.
Selain tatu kekal, terdapat juga alternatif berbentuk pelekat gigi sementara yang semakin mendapat perhatian.
Pelekat berwarna-warni dengan corak hati, bintang atau bulatan hanya bertahan sehari, tetapi cukup untuk mencuri perhatian.
Reaksi warga maya terhadap trend itu bercampur-baur.
Sesetengah menganggapnya sebagai bentuk kreativiti baharu dan cara menyerlahkan gaya peribadi, manakala yang lain melabelnya keterlaluan.
Biarpun dikritik, trend tatu gigi ini membuktikan bagaimana belia di China sanggup bereksperimen dengan fesyen luar biasa, menjadikan senyuman bukan sekadar lambang keramahan, tetapi juga pentas untuk gaya yang berani dan unik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram