Apa terjadi bila 'stop' ambil gula tambahan selama 14 hari? Ini perubahan tak disangka


  • Sihat
  • Rabu, 07 Jan 2026

Mengamalkan pemakanan seimbang dengan buah-buahan segar membantu mengurangkan pengambilan gula tambahan. — Gambar Hiasan

GULA secara amnya tidak memudaratkan jika diambil secara sederhana. Namun, pengambilan gula tambahan berlebihan dalam jangka masa panjang boleh meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik.

Menurut pakar gastroenterologi, Dr. Saurabh Sethi, kandungan gula terutamanya dalam minuman manis boleh menambah kalori tanpa sebarang manfaat nutrisi.

Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan berat badan dan obesiti dalam semua peringkat umur.

BACA LAGI: Obses pembedahan plastik hingga sanggup suntik minyak masak, akhirnya begini wajah penyanyi, model Korea

BACA LAGI: Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak

Berat badan yang berlebihan pula meningkatkan risiko penyakit seperti diabetes tahap 2, penyakit jantung, malah beberapa jenis kanser.

Selain itu, pengambilan gula berlebihan juga dikaitkan dengan masalah kesihatan gigi, perubahan mood, serta menjejaskan kejernihan pemikiran.

Beberapa kajian turut menunjukkan hubungan antara pengambilan gula tinggi dengan risiko depresi dan kebimbangan.

"Kebanyakan orang tidak menyedari bahawa gula bukan sekadar menambah kalori. Gula secara diam-diam mempengaruhi selera makan, keinginan untuk makan, hormon insulin, dan lemak di hati.

"Oleh itu, saya menggalakkan pesakit mencuba puasa gula tambahan selama 14 hari," kata Dr. Sethi, dipetik daripada NDTV pada Isnin.

Aktiviti fizikal seperti berjoging bantu tubuh membakar kalori tambahan dan mengekalkan tenaga lebih stabil selepas mengurangkan gula tambahan. — Gambar hiasan

Menurut Dr. Sethi, puasa gula selama 14 hari mampu memberi beberapa kesan positif kepada tubuh, termasuk perut lebih rata, tidur lebih nyenyak, serta isyarat lapar yang lebih jelas.

Selain itu, ia membantu mengurangkan dorongan untuk mengemil dan memperbaiki kadar gula dalam darah ketika berpuasa.

"Mengelak gula tambahan selama 14 hari bukan sekadar trend untuk menurunkan berat badan, tetapi sebenarnya merupakan reset metabolik," jelasnya.

Selain itu, puasa gula tambahan juga boleh memberi beberapa manfaat lain, antaranya memperbaiki lonjakan insulin, mengurangkan beban gula di hati, menurunkan penahanan air dalam badan, mengatur semula sensitiviti rasa, serta mengurangkan lemak visceral.

Dr. Sethi menegaskan bahawa tidak semua gula perlu dielakkan kerana gula semula jadi daripada buah-buahan masih diperlukan oleh tubuh untuk nutrisi.

Bagaimanapun, tubuh akan melalui proses penyesuaian semasa puasa gula tambahan.

Bagi sesetengah individu, tempoh awal puasa mungkin agak mencabar dengan simptom seperti keinginan makan berlebihan (cravings), sakit kepala, keletihan, mudah marah, serta kabut otak (brain fog).

"Gejala ini bukanlah tanda ketagihan gula yang putus, tetapi proses otak menyesuaikan semula isyarat rasa senang.

"Secara perlahan, simptom ini akan berkurangan, tenaga menjadi lebih stabil, dan rasa lesu akan berkurang," tambah Dr. Sethi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram