KEBIMBANGAN ibu bapa terhadap tabiat anak-anak terlalu kerap menghadap skrin bukanlah sesuatu yang asing, khususnya dalam era digital hari ini.
Istilah screen time sering dikaitkan dengan kesan negatif seperti ketagihan gajet, kurang interaksi sosial dan kemerosotan tumpuan.
Namun, di sebalik persepsi itu, wujud satu sudut pandangan semakin mendapat perhatian apabila penggunaan skrin dipandu dengan betul mampu menjadi medium pembelajaran yang bagus.
BACA LAGI: Hargai isteri walau dah berpisah, Chef Wan terus jaga kebajikan arwah, bagi 'elaun' setiap bulan
Menurut perkongsian seorang ibu, @nursaleemah di laman Threads, kebimbangan terhadap anak yang kerap menggunakan gajet sebenarnya boleh diubah menjadi sesuatu lebih positif.
Baginya, masa di hadapan skrin tidak semestinya sia-sia, sebaliknya boleh menjadi ruang untuk anak membina kemahiran baharu dan berfikir secara kreatif.
Malah kaedah itu juga sesuai dijadikan sebahagian daripada modul parenting 2026 dengan penggunaan platform digital seperti ChatGPT.
"Parenting 2026, Salman tanya ChatGPT dulu baru tanya abah, kami dulu ingat dia nak main games je siap ada mission dalam Minecraft lagi, stres ibu dia balik sekolah nak main je.
"Rupa-rupanya sejak tahun lepas dia buat projek upgrade PC siap ada bajet, saving plan dan mission sampai cukup RM1,000.
"Dan di sini la husband dan saya tersedar cara pembelajaran anak-anak kita memang dah berubah, bila minat anak dipandu dengan betul, screen time boleh jadi skill time," katanya.
Melihat ia bukan sekadar proses membaik pulih komputer semata-mata, @nursaleemah menyifatkan ia sebagai inovasi serta perubahan kaedah pembelajaran si kecil yang kini semakin peka dengan peranti digital.
Malah, beliau turut mengagumi semangat dan kegigihan ditunjukkan anaknya sepanjang proses pembelajaran di internet.
"Bila saya tengok proses dia, saya nampak ini bukan semata-mata upgrade PC, ini pembelajaran bersepadu yang sebenar.
"Literasi digital, cari maklumat, pemikiran kritikal, pengurusan kewangan, komunikasi, tanggungjawab dan growth mindset.
"Dan sebagai mama, saya belajar satu benda iaitu kita tak perlu anak hafal banyak untuk nampak pandai," ujarnya.
Tambahnya lagi, nilai adab dan tanggungjawab juga tidak wajar diketepikan dalam proses membesarkan anak-anak.
"Kita perlukan anak yang boleh fikir, urus diri, boleh selesaikan masalah dengan adab," ujarnya.
Justeru, dalam dunia semakin kompleks dan mencabar, pendekatan keibubapaan yang seimbang antara teknologi dan nilai kemanusiaan dilihat semakin penting dalam membantu perkembangan si kecil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
