PERANCIS secara rasmi menguatkuasakan larangan terhadap pengeluaran dan penjualan produk kosmetik serta sebahagian besar barangan pakaian yang mengandungi bahan kimia berbahaya, dikenali sebagai perfluorinated serta polyfluorinated (PFAS) bermula 1 Januari 2026.
PFAS atau 'bahan kimia kekal' merupakan bahan buatan manusia yang digunakan sejak akhir 1940-an untuk menghasilkan lapisan kalis air, kalis lekat dan kalis kotoran pada pelbagai produk harian seperti payung, permaidani serta flos gigi.
Digelar 'bahan kimia kekal' kerana sifatnya yang amat sukar terurai, sisa kimia ini telah meresap ke dalam tanah dan air bawah tanah, seterusnya mencemari rantaian makanan serta sumber air minuman manusia.
BACA LAGI: Bukan sekadar hasil kek, biskut, 'baking' kini jadi terapi 'rawat' emosi melalui adunan tepung, gula
BACA LAGI: Sangka gadis umur 20-an, anggota tentera pucat kekasih rupanya murid darjah 6
Kajian mendedahkan bahan kimia ini dikesan di hampir seluruh pelosok bumi, termasuk di puncak Gunung Everest selain ditemui dalam aliran darah dan otak manusia.
Pendedahan kronik terhadap PFAS walaupun pada tahap rendah dikaitkan dengan risiko kerosakan hati, kolesterol tinggi, penurunan tindak balas imun, berat bayi lahir rendah serta beberapa jenis kanser.
Undang-undang yang diluluskan Parlimen Perancis pada Februari 2025 itu melarang sebarang pengeluaran, import atau jualan produk yang mempunyai alternatif kepada PFAS.
Larangan tersebut merangkumi produk kosmetik, lilin papan luncur salji serta pakaian, namun mengecualikan beberapa tekstil industri tertentu yang dikategorikan sebagai 'penting'.
Bagaimanapun, larangan terhadap kuali tidak melekat digugurkan daripada draf undang-undang tersebut selepas menerima bantahan hebat daripada pemilik jenama pengeluar terkemuka, Tefal.
Menerusi peraturan baharu ini juga, pihak berkuasa Perancis diwajibkan melakukan ujian berkala terhadap kualiti air minuman bagi mengesan sebarang kandungan PFAS.
Sehingga kini, terdapat ribuan jenis PFAS dan sebahagian daripadanya telah diharamkan di bawah Konvensyen Stockholm mengenai Bahan Pencemar Organik Berterusan sejak 2019.
Ia termasuk asid perfluorooctanoic (PFOA) yang digunakan sejak 1950-an oleh syarikat DuPont untuk lapisan tidak melekat Teflon, serta perfluorooctane sulphonic acid (PFOS) keluaran 3M yang disekat sejak 2009.
Walau bagaimanapun, kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat masih belum menyertai lebih 150 negara yang menandatangani konvensyen antarabangsa tersebut.
Selain Perancis, beberapa negeri di Amerika Syarikat seperti California telah mula mengharamkan penggunaan PFAS dalam kosmetik sejak tahun lalu.
Denmark pula dijadualkan melarang penggunaan PFAS dalam pakaian dan kasut bermula 1 Julai 2026, selepas mengharamkan penggunaannya dalam pembungkusan makanan sejak 2020.
Kesatuan Eropah (EU) kini sedang mengkaji kemungkinan pelaksanaan larangan penggunaan PFAS secara menyeluruh bagi produk pengguna, namun masih belum membentangkan sebarang regulasi rasmi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
