PROSEDUR Operasi Standard (SOP) baharu diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pesakit yang mahu mendapatkan rawatan di klinik kesihatan bermula 1 Januari atau pada Khamis lalu.
Ini kerana pengguna perlu membuat janji temu menerusi aplikasi MySejahtera untuk menetapkan tarikh atau lokasi sesuai bagi tujuan rawatan.
Penetapan itu sekali gus menghalang pesakit tidak boleh lagi walk in ke mana-mana klinik kesihatan sekiranya tidak membuat janji temu.
BACA LAGI: Aplikasi MySejahtera masih miliki 5 kelebihan selain tawar vaksin influenza percuma
BACA LAGI: Kontroversi pemilikan MySejahtera, 'uninstall' pun tak guna tetap kena 'scan' juga

Orang ramai kini perlu membuat janji temu terlebih dahulu bagi mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.
Sistem berkenaan merupakan inisiatif baik daripada KKM sendiri kerana ia membantu dalam proses merekodkan sejarah rawatan pesakit.
Bagaimanapun, usaha kementerian itu tidak menerima sokongan pengguna yang berpandangan aplikasi itu tidak memudahkan, sebaliknya menyukarkan orang ramai.
Isu utama diketengahkan adalah apabila ramai menekankan penyakit datang tanpa amaran dengan kerja-kerja membuat janji temu akan menyulitkan lagi proses menerima rawatan.
"Sakit ini datang tiba tiba. Orang sesak nafas atau batuk perlu buat janji temu ke? Ini bukan cara layan pesakit. Mungkin kalau kes terdesak pergi kecemasan, tetapi sana perlu tunggu berjam jam.
"Sistem ini hanya untuk orang yang sakit biasa-biasa, tetapi yang serius itu mesti beri keutamaan untuk dilayan. Berapa ramai warga emas boleh guna telefon untuk guna MySejahtera," kata Krishna Devi.

Aplikasi MySejahtera sebelum ini diperkenalkan untuk menjejaki pergerakan orang ramai.
"Slot MySejahtera pun penuh sahaja. Sakit bukan boleh pilih tarikh. Bila pegi kecemasan zon hijau, nanti kena halau pulak suruh pergi klinik kesihatan, tetapi ditetapkan tidak boleh walk in," kata Roszalina MJ.
"Ingat orang sakit boleh dirancang? Kalau anak demam nak buat janji temu pula? Pelik sistem sekarang ini. Sebelum ini yang klinik gigi buat begini pun lama tunggu, tahan sakit sehingga tarikh janji temu," kata Liyana Nadhirah.
Isu tersebut sudah dijawab KKM pada Khamis yang mengeluarkan kenyataan bahawa setiap pesakit, termasuk yang tiba secara walk in akan diberi rawatan, namun keutamaan diberikan kepada mereka yang sudah membuat janji temu.
Tetapi, penjelasan itu sahaja tidak cukup kerana kementerian itu perlu mencari solusi dalam memastikan SOP baharu itu dapat berjalan lancar kerana jelas aplikasi itu belum dimanfaatkan sepenuhnya kerana masih baru diguna pakai secara menyeluruh.
Jadi, sekiranya mahu memastikan kelancaran, kementerian tersebut perlu mencari cara mendidik orang ramai, terutamanya golongan warga emas akan penggunaannya.
Untuk rekod, aplikasi MySejahtera sebelum ini diperkenalkan pada 2021 dalam usaha KKM menjejaki pergerakan ketika penularan wabak Covid-19. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
