SEBUAH kediaman Bina Ikut Tempahan (BTO) di Singapura empat bilik milik sepasang suami isteri mencuri perhatian selepas reka bentuk dalaman rumah yang sarat dengan warna terang dan koleksi permainan tular di media aplikasi TikTok.
Rumah yang diilhamkan seperti kedai permainan itu menerima pelbagai reaksi, dengan sebahagian pengguna media sosial mengkritik konsep berkenaan sebagai keterlaluan dan menyamakan ia dengan budaya 'penggunaan berlebihan'.
Namun, tidak kurang juga yang tampil mempertahankan kediaman itu, memuji reka bentuknya sebagai unik, ceria dan penuh karakter.
BACA LAGI: Demi pelajar rasa lebih selamat, guru ubah suai bilik kaunseling konsep 'feels like home'
BACA LAGI: Tahan lasak tapi 'outdated'? Pro, kontra pasang lantai jubin di kediaman baharu
Pemilik rumah tersebut, Jean Kuah dan suaminya Aiden Liow, merupakan pengasas jenama harta intelek (IP) Mochi Buddies, yang menghasilkan serta menjual barangan seperti rantai kunci, pelekat dan beg berasaskan watak rekaan Jean sendiri.
Seiring gaya lukisan doodle Jean, kediaman pasangan itu menampilkan gabungan warna yang eklektik, dengan perabot berwarna terang, dinding dicat ceria dan paparan pelbagai watak IP popular.
Antaranya termasuk watak daripada jenama Mochi Buddies, selain IP kegemaran Jean seperti Hello Kitty dan Toy Story.
Jean berkata, minat mengumpul permainan bermula sejak kecil dan berkembang secara berperingkat selama bertahun-tahun, sebelum akhirnya menjadi inspirasi untuk mencipta jenama IP sendiri.
Wanita berusia 31 tahun itu mengakui, beliau sememangnya tertarik dengan perkara berwarna-warni dan comel.
“Kami tidak mahu rumah sekadar menjadi tempat tinggal. Kami mahukan ruang untuk meneroka idea dan mengekspresikan personaliti sepenuhnya,” katanya.
Menurut Jean, suaminya banyak memberi sokongan ketika proses mereka bentuk rumah, malah menggalakkannya untuk berani merealisasikan konsep yang diimpikan.
“Kami benar-benar ‘all out’ dan menjadikannya satu dunia ceria serta menyeronokkan, yang mencerminkan diri kami,” tambahnya.

Rak pameran permainan di kediaman Jean dan suaminya. — Agensi
Fungsi
Pasangan itu yang menerima kunci rumah pada Januari tahun lalu berkata, sejak awal mereka berhasrat membina kediaman yang memberi rasa gembira dan positif.
Pangsapuri empat bilik itu dibahagikan mengikut fungsi, dengan ruang tamu dijadikan pameran permainan, satu bilik untuk berehat, satu lagi sebagai pejabat rumah.
Sementara itu, bilik ketiga pula dikhaskan sebagai ruang kreativiti kerana Jean bekerja dari rumah hampir sepenuh masa.
Bilik kreativiti itu menjadi ruang pelbagai guna untuk melukis, melakar, menghasilkan karya digital dan menyimpan sampel produk serta projek yang dijalankan.
Sebaliknya, pejabat rumah direka untuk tugasan yang memerlukan fokus, termasuk kerja pentadbiran dan pembungkusan pesanan.
Dari segi kos, pasangan tersebut berdepan kekangan bajet, dengan perbelanjaan sekitar S$10,000 (RM31,500) bagi pengubahsuaian dan kira-kira S$15,000 (RM47,200) untuk perabot serta peralatan elektrik.
Walaupun mereka mendapatkan khidmat pereka dalaman untuk dapur, selebihnya direka dan dirancang sendiri.

Jean dan Aiden mengubah pangsapuri mereka menjadi rumah impian yang dipenuhi perabot berwarna-warni dan permainan. — Agensi
Ujar Jean, suaminya memainkan peranan penting dalam memilih perabot unik dan menyesuaikan warna dinding selepas mencuba pelbagai sampel cat.
Pasangan itu juga melakukan beberapa projek 'do it yourself' (DIY), termasuk melapik dan mengecat pintu hadapan serta pintu pagar, selain menghasilkan mural di dinding rumah.
“Ia memang memerlukan usaha dan komitmen, tetapi hasilnya menjadikan rumah ini sangat peribadi serta benar-benar milik kami,” ceritanya.
Habuk
Kuah menjelaskan, beliau membersihkan rumah secara berkala dan menganggap aktiviti mengelap habuk sebagai sesuatu yang menenangkan.
Beliau juga berpendapat, penyelenggaraan rumah itu lebih mudah kerana banyak masa dihabiskan di rumah, selain kerap menyusun semula dan berinteraksi dengan koleksi permainan dimiliki.
“Hakikatnya, habuk akan ada di mana-mana rumah, termasuk rumah minimalis, jika tidak dibersihkan secara berkala,” katanya.
Walaupun berdepan kritikan, pasangan itu mengakui tidak terlalu terkesan dengan reaksi negatif.
“Ia berbaloi kerana kami dapat tinggal di rumah yang mencerminkan estetika impian kami dan ia membuatkan kami gembira setiap hari,” ujar mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
