SEBUAH sekolah di Korea Selatan mencipta kelainan dengan menghasilkan buku tahunan tiga dimensi (3D) bagi membolehkan pelajar buta dan cacat penglihatan mengingati rakan sekelas melalui sentuhan.
Inisiatif itu dilaksanakan Sekolah Daegu Kwangmyung, iaitu institusi pendidikan khusus untuk pelajar cacat penglihatan di bandar Daegu.
Pada 8 Januari lalu, graduan sekolah tersebut menerima album graduasi khas yang memaparkan potret rakan sekelas masing-masing dalam bentuk timbul.
BACA LAGI: Pemuda buta tak kekok 'goreng' gitar di TikTok, siap ajar followers cara guna telefon pintar
Album unik itu dihasilkan menggunakan teknologi pencetak dan pengimbas 3D, sekali gus membolehkan potret wajah para graduan direka dalam bentuk tiga dimensi.
Melalui sentuhan, graduan dapat mengenali dan mengingati ciri wajah rakan-rakan mereka, berbeza dengan buku tahunan konvensional yang bergantung sepenuhnya pada visual.
Ditubuhkan pada 1946, Sekolah Daegu Kwangmyung merupakan satu-satunya institusi pendidikan di wilayah Daegu dan Wilayah Gyeongsang Utara yang memberi tumpuan khusus kepada pelajar cacat penglihatan.

Album unik itu dihasilkan menggunakan teknologi pencetak dan pengimbas 3D. — Agensi
Sekolah itu menawarkan pendidikan menyeluruh bermula dari peringkat tadika hingga sekolah menengah, selain menyediakan latihan vokasional pasca menengah.
Album graduasi 3D tahunan tersebut merupakan hasil kerjasama antara sektor industri, akademia dan institusi penyelidikan, bertujuan membantu pelajar cacat penglihatan mengekalkan kenangan bersama rakan sekolah dengan cara yang lebih inklusif.
Inisiatif berkenaan mula diperkenalkan pada 2020 dan terus menjadi simbol inovasi pendidikan berteraskan empati dan teknologi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
