[VIDEO] Dilamar ketika pertunjukan haiwan, pasangan pilih daftar perkahwinan di Zoo Negara


  • Cinta
  • Rabu, 14 Jan 2026

Pasangan berkenaan ketika mengadakan acara pendaftaran perkahwinan di Zoo Negara baru-baru ini.

PERNAH tular gara-gara video lamaran di Zoo Negara, pasangan ini kembali menjadi perbualan ramai selepas memutuskan untuk melangsungkan acara pendaftaran perkahwinan di lokasi sama pada Ahad.

Berita gembira itu dikongsikan pihak Zoo Negara menerusi satu hantaran di Instagram rasminya pada Isnin.

Zoo Negara turut merakamkan penghargaan kepada pasangan itu, dikenali sebagai Fuji Chong dan Teresa kerana memilih lokasi berkenaan sebagai sebahagian daripada perjalanan cinta mereka, selain membenarkan haiwan-haiwan di situ menjadi saksi kepada detik tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Aksi lamaran di Zoo Negara, lelaki kejutkan kekasih, burung kakak tua hantar nota istimewa

BACA LAGI: Suri rumah didiagnosis autisme, mudah 'burnout', terlalu jujur, antara 7 simptom ramai terlepas pandang

"Kami amat berbesar hati dapat menyaksikan perjalanan cinta yang begitu istimewa.

"Semoga pasangan ini dikurniakan perkahwinan yang diberkati dan kebahagiaan hingga ke akhir hayat," tulisnya.

Dalam pada itu, Teresa turut meluahkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Zoo Negara dan seluruh pasukan terlibat kerana membantu merealisasikan pendaftaran perkahwinan mereka.

Menurutnya, mereka sendiri pada awalnya tidak pasti sama ada majlis tersebut dapat diadakan di pusat pelancongan itu.

Bagaimanapun ujar beliau, bimbingan dan sokongan berterusan daripada pihak pengurusan telah menukar keraguan tersebut.

“Ia sangat bermakna buat kami kerana dapat meraikan salah satu detik paling bahagia dalam hidup di tempat yang telah menjadi saksi perjalanan kisah kami berdua sejak sekian lama.

"Kegembiraan ini memang tidak disangka, hasil usaha yang besar. Detik ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa bantuan Zoo Negara,” katanya menerusi ruangan komen.

Pada Julai lalu, Fuji mencipta kejutan luar biasa apabila melamar kekasih hatinya, Teresa ketika satu pertunjukkan haiwan berlangsung di Zoo Negara.

Menggunakan seekor burung kakak tua sebagai perantara, Fuji meninggalkan nota ‘will you marry me’ untuk diserahkan kepada kekasih hatinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram