LAZIMNYA, ia bermula dengan simptom ringan seperti batuk, ruam atau demam biasa.
Namun tanpa disedari, anak terpaksa berehat di rumah, ibu bapa pula perlu menguruskan kerja, kebimbangan dan penjagaan si kecil secara serentak.
Penyakit seperti Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD), campak dan influenza seolah-olah berulang setiap beberapa bulan, sekali gus menjejaskan rutin harian, kehadiran ke sekolah, selera makan dan tahap tenaga kanak-kanak.
BACA LAGI: [VIDEO] Anak kerap mengadu sakit kepala? Awas! Mungkin ia petanda migrain

Dr. Tong Wei
Pakar Pediatrik dan Penyakit Berjangkit Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Ch’ng Tong Wei berkata, kebimbangan itu sering disuarakan ibu bapa, namun hakikatnya ia adalah perkara biasa dalam fasa awal tumbesaran kanak-kanak.
“Anak-anak kecil terutamanya yang baru mula ke prasekolah, boleh jatuh sakit antara lapan hingga 12 kali setahun dan ia dianggap normal.
"Sistem imun mereka ibarat sehelai kertas kosong. Lama-kelamaan, imuniti mereka semakin kuat kerana setiap jangkitan membantu dalam penghasilan antibodi.
"Pendedahan bertahun-tahun mematangkan sistem imun, justeru kanak-kanak yang lebih berusia dan dewasa kurang dijangkiti," katanya.

Penyakit seperti HFMD seolah-olah berulang setiap beberapa bulan, sekali gus menjejaskan rutin harian kanak-kanak.
Penyakit lazim kanak-kanak di Malaysia
Menurutnya, iklim tropika Malaysia menyumbang pada penularan beberapa penyakit berjangkit yang sering menyerang kanak-kanak.
Ujar beliau, antaranya influenza A dan B yang lazim meningkat pada hujung tahun serta selepas pembukaan semula sekolah, virus pernafasan seperti virus sinsitium pernafasan (RSV) dan adenovirus yang menyebabkan batuk dan selsema berpanjangan, selain HFMD yang mudah merebak di pusat jagaan harian.
"Jangkitan lain ialah selesema perut atau gastroenteritis yang menyebabkan muntah dan cirit-birit serta denggi yang berisiko sepanjang tahun.
"Selain itu, terdapat juga cacar air dan campak masih dilaporkan berlaku, terutamanya apabila kadar vaksinasi rendah," jelasnya.
Bila perlu bimbang?
Dr. Tong Wei juga menjelaskan, kebanyakan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak sihat adalah ringan dan akan sembuh dengan sendiri.
Ujarnya lagi, jika demam kurang daripada tiga hari, anak masih aktif dan mampu makan serta minum walaupun selera berkurangan, ia selalunya jangkitan ringan.
Beliau bagaimanapun menasihatkan ibu bapa agar segera mendapatkan pemeriksaan perubatan sekiranya anak mengalami beberapa gejala.
"Ia termasuk demam berlarutan lebih tiga hari, kesukaran bernafas, mengantuk luar biasa, muntah atau cirit-birit berterusan dan ruam yang merebak dengan cepat.
"Gejala ini mungkin menandakan jangkitan yang lebih serius. Bawa mereka untuk pemeriksaan yang sewajarnya.
"Tindakan awal boleh membawa perubahan besar,” tegas beliau.

Keupayaan kanak-kanak melawan jangkitan dipengaruhi pelbagai faktor termasuk genetik, persekitaran dan gaya hidup.
Adakah ia gangguan imun?
Walaupun jarang, masalah imun tersembunyi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk atau berulang.
Menurut Dr. Tong Wei, kanak-kanak dengan imunodefisiensi biasanya kerap jatuh sakit, memerlukan kemasukan ke hospital berulang kali atau mengalami jangkitan virus dan kulat yang serius.
Jelasnya, pertumbuhan terbantut dan kenaikan berat badan yang lemah juga boleh menjadi petunjuk.
"Sekiranya disyaki, pakar pediatrik akan menjalankan ujian darah atau merujuk kepada pakar imunologi.
"Namun, ujian sebegini bukan prosedur rutin, ia hanya dicadangkan apabila tanda-tanda yang jelas muncul," maklumnya.
Faktor mempengaruhi imuniti kanak-kanak
Dr. Tong Wei berkata, keupayaan kanak-kanak melawan jangkitan dipengaruhi pelbagai faktor termasuk genetik, persekitaran dan gaya hidup.
Menurutnya, kanak-kanak dengan asma, ekzema atau alahan misalnya, lebih cenderung untuk kerap jatuh sakit.
Pendedahan kepada asap rokok, pencemaran udara dan persekitaran sesak turut meningkatkan risiko jangkitan berulang.
"Walaupun faktor genetik tidak boleh diubah, ibu bapa boleh membantu menguatkan imuniti anak melalui amalan sihat seperti memastikan tidur mencukupi, aktiviti fizikal dan bermain di luar, pemakanan seimbang rendah gula, pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran, selain mencukupi keperluan vitamin D.
“Tidak perlu bergantung pada suplemen mahal. Kebanyakan kanak-kanak memperoleh nutrien mencukupi melalui diet seimbang, tidur yang baik dan rutin sihat,” jelas beliau.

Ibu bapa boleh membantu menguatkan imuniti anak melalui amalan sihat seperti bermain di luar.
Pencegahan
Penjagaan kesihatan memainkan peranan penting dalam memastikan kanak-kanak kekal sihat.
Pengalaman pandemik Covid-19 membuktikan amalan mencuci tangan, memakai pelitup muka dan mengelakkan tempat sesak mampu mengurangkan jangkitan.
Mengulas lanjut, Dr. Tong Wei berkata, vaksinasi pula kekal sebagai langkah paling berkesan mencegah penyakit serius.
Tambahnya, vaksin rutin telah mengurangkan dengan ketara penyakit seperti campak dan batuk kokol, manakala vaksin tambahan seperti rotavirus, hepatitis A dan cacar air memberikan perlindungan tambahan.
“Vaksin membantu mencegah komplikasi serius. Apabila kadar perlindungan menurun, wabak mudah berlaku. Pastikan anak menerima vaksin lengkap untuk imuniti jangka panjang,” katanya.
Selain itu, pemeriksaan kesihatan berkala juga penting bagi memantau tumbesaran, perkembangan dan kesejahteraan menyeluruh kanak-kanak.
Dr. Tong Wei turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak menyalahkan diri sendiri apabila anak jatuh sakit.
“Ia sebahagian daripada proses membesar. Kenali tanda amaran, kekalkan gaya hidup sihat dan percayai naluri anda sebagai ibu bapa.
"Jika sesuatu dirasakan tidak kena, dapatkan rawatan segera. Dengan pengetahuan dan sokongan yang betul, ibu bapa boleh melalui fasa ini dengan lebih yakin serta tenang,” pesannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
