[VIDEO] Suami isteri guna semula kelopak bunga ros, 'marigold' majlis kahwin, hasil busana teknik cetakan ekologi


  • Gaya
  • Jumaat, 16 Jan 2026

Teknik 'eco-printing' yang dilakukan Chanchal turut mencerminkan gaya hidup lestari dan mesra alam.

 

 

SAMBUTAN perkahwinan masyarakat India lazimnya dihiasi dengan bunga segar, sama ada dalam bentuk untaian kalungan mahupun dekorasi bunga bagi mencipta suasana penuh kemegahan.

Namun, keindahan itu biasanya bersifat sementara apabila bunga-bunga tersebut layu dan akhirnya dibuang sebaik majlis berakhir.

Situasi itu mendorong segelintir individu mencari cara kreatif untuk memanfaatkan semula bunga perkahwinan agar tidak terbuang begitu sahaja.

BACA LAGI: 'Quiet luxury' dijangka kembali dominasi fesyen 2026, pereka utamakan nilai berbanding trend

BACA LAGI: Eksperimen gaya trend mikro untuk elak 'fashion burnout'

Pencipta kandungan, Chanchal Purbia mencuri perhatian selepas berkongsi inisiatif memanfaatkan kelopak bunga perkahwinannya.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya pada 7 Januari lalu, Chanchal berjaya menukar kelopak bunga ros dan marigold (bunga tahi ayam) menjadi pakaian yang cantik dan boleh dipakai oleh dirinya serta suami.

Menggunakan teknik cetakan ekologi atau eco-printing, Chanchal memindahkan warna semula jadi kelopak bunga ke atas kain putih bagi menghasilkan sehelai sari dan jaket bercorak bunga yang lembut.

Berikut ialah langkah-langkah yang dikongsikan Chanchal untuk menghasilkan pakaian bercorak bunga menggunakan kelopak bunga segar:

 

 

1. Sediakan kain

Langkah pertama ialah menyediakan kain dengan merendam sari kapas muslin (kain yang nipis dan jarang) dalam air yang dicampur ketulan tawas (garam galian berwarna putih) selama kira-kira 30 minit.

Proses itu penting bagi membantu kain menyerap dan mengekalkan warna semula jadi daripada bunga.

2. Pastikan kain kekal lembap

Selepas direndam, kain perlu dibiarkan dalam keadaan lembap sebelum proses seterusnya dimulakan bagi memastikan warna kelopak dapat dipindahkan dengan baik.

3. Susun kelopak bunga mengikut kreativiti

Kelopak bunga kemudian disusun di seluruh permukaan kain.

Menurut Chanchal, ini ialah bahagian paling menyeronokkan kerana susunan boleh dibuat mengikut cita rasa sendiri.

Kelopak bunga disusun di seluruh permukaan kain.

4. Lipat dan gulung kain dengan kemas

Apabila berpuas hati dengan susunan kelopak, kain dilipat dan digulung dalam bentuk spiral sebelum diikat dengan ketat menggunakan benang supaya kelopak tidak bergerak.

5. Kukus dengan api perlahan

Gulungan kain itu dikukus menggunakan api perlahan selama sekurang-kurangnya 45 minit.

Proses itu membolehkan cetakan kelopak bunga dipindahkan ke kain secara lembut tanpa merosakkannya.

6. Rendam dengan bahan pengunci warna

Selepas proses kukusan, kain dibuka dengan berhati-hati dan direndam dalam bahan pengunci warna selama satu jam bagi memastikan hasil cetakan kekal tahan lama.

7. Keringkan secara semula jadi

Langkah terakhir ialah membiarkan kain kering secara semula jadi tanpa menggunakan haba tambahan.

Teknik eco-printing bukan sahaja menjadikan bunga perkahwinan sebagai pakaian kenangan, malah mencerminkan gaya hidup lestari dan mesra alam, sekali gus memberi inspirasi kepada pasangan pengantin untuk memanfaatkan semula elemen perkahwinan dengan cara lebih bermakna. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram