[VIDEO] Hanya guna seterika, inovasi sisa plastik jadi beg tangan mewah


  • Sukses
  • Jumaat, 09 Jan 2026

Sabrina (kiri) dan pasukannya berjaya menukar sisa plastik menjadi beg tangan mewah. — Agensi

BERBEKALKAN kreativiti dan keprihatinan terhadap alam sekitar, sekumpulan individu dari Indonesia berjaya menukar sisa beg plastik terpakai menjadi beg fesyen bernilai tinggi hanya dengan menggunakan peralatan asas seperti seterika.

Masalah sisa plastik terus menjadi cabaran besar apabila Agensi Statistik Pusat (BPS) merekodkan kira-kira 12 peratus atau 7.68 juta tan sisa negara berkenaan terdiri daripada plastik.

Lebih membimbangkan, sisa plastik mengambil masa puluhan tahun untuk terurai di dalam tanah, sekali gus memberi kesan serius kepada alam sekitar.

BACA LAGI: 'Mereka tetamu ALLAH, saya ikhlas menyantuni semua', Wan Sharmila kongsi momen bergelar mutawiffah

BACA LAGI: Lebih 200 graduan perubatan rai majlis graduasi di tengah runtuhan perang Gaza, 'bangkit' capai cita-cita

Namun, pendekatan kitar semula dilihat sebagai antara solusi berkesan, seperti yang dilaksanakan oleh komuniti di Jakarta yang berjaya menjadikan sisa plastik sebagai sumber pendapatan.

Melalui kaedah mudah, beg plastik dikumpulkan, dibersihkan, disusun dan dicantumkan menggunakan haba seterika sebelum dibentuk menjadi produk fesyen eksklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Kampung Kitar Semula, Sabrina Naula Allisha berkata, inisiatif memproses sisa plastik itu bermula pada 2022 di Kampung Air Naningan, Lampung, sebelum dipindahkan ke Jakarta setahun kemudian.

Menurut Sabrina, masalah sisa plastik sebenarnya lebih kritikal di kawasan luar bandar berbanding bandar besar, disebabkan kekurangan kemudahan pengurusan sisa serta ketiadaan peraturan khusus berkaitan penggunaan plastik.

“Di kampung-kampung, masih tiada peraturan jelas mengenai penggunaan sisa plastik.

"Ia banyak digunakan dan akhirnya dibuang atau dibakar begitu sahaja,” jelasnya.

Berpaksikan realiti itu, Sabrina terdorong menubuhkan Kampung Kitar Semula sebagai platform penyelesaian berasaskan komuniti.

Selain mengurangkan pencemaran, inisiatif berkenaan turut memberi peluang ekonomi apabila wanita tempatan dilatih menghasilkan produk fesyen daripada sisa plastik.

“Sejak awal, fokus kami adalah pada aksesori fesyen,” katanya, sambil menegaskan bahawa inovasi tersebut bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah memperkasa wanita melalui kemahiran dan pendapatan baharu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram