Pemuda buta tak kekok 'goreng' gitar di TikTok, siap ajar followers cara guna telefon pintar


Walaupun hilang penglihatan seawal usia 25 tahun, Danish tidak patah semangat untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

KELAINAN upaya penglihatan atau buta tidak menyekat individu menggunakan peranti elektronik seperti telefon pintar.

Namun bagaimanakah caranya? Mungkin ramai yang tertanya-tanya memandangkan golongan ini mempunyai daya penglihatan yang terhad.

Seorang OKU penglihatan, Muhammad Danish Aiman, 25, atau mesra dipanggil Danish berkongsi soalan yang sering diajukan netizen berkaitan cara individu buta menggunakan telefon bimbit.

Menurutnya, orang buta boleh menggunakan kedua-dua telefon bimbit sama ada menggunakan sistem operasi iOS mahupun Android.

Danish dikategorikan sebagai OKU penglihatan tahap B1 kerana kedua-dua belah mata gelap dan tidak dapat melihat langsung.

Apabila ditanya apakah jenis telefon pintar yang digunakannya? Jawab Danish salah satunya adalah daripada jenis One Plus namun ia bukanlah peranti yang dikhaskan untuk golongan cacat penglihatan.

"Ada tak handphone khas buat orang buta? Ramai yang komen macam tu. Ini telefon saya, jenama One Plus tapi ia bukanlah telefon khas untuk orang buta," ujarnya.

Danish berkata, menerusi aplikasi TalkBack, dia berupaya membalas komen-komen dan chat menerusi peranti itu dengan menuturkan apa yang ingin diperkatakan.

Dia yang merupakan OKU buta B1 iaitu kedua-dua belah mata gelap dan tidak dapat melihat langsung memaklumkan bahawa iPhone juga boleh digunakan melalui tetapan VoiceOver.

Danish menunjukkan cara-cara bagaimana untuk menggunakan aplikasi yang digunakannya.

TalkBack adalah aplikasi yang membaca skrin dengan ia direka serta dibangunkan untuk membantu pengguna OKU penglihatan menggunakan telefon.

Manakala VoiceOver pula menerangkan dengan tepat apa yang ada pada skrin telefon walaupun dalam tulisan Braille.

Menjengah ke ruangan komen, netizen yang turut mencuba tetapan TalkBack dan VoiceOver mengakui agak keliru pada mulanya.

Malah tidak kurang yang mengatakan ia tidak begitu mesra pengguna dan memerlukan daya konsentrasi tinggi untuk menggunakannya.

“Saya sudah cuba. Menggelabah cari semula untuk tutup fungsi TalkBack, dua jam baru berjaya. Terima kasih kerana berkongsi ilmu baharu.” tulis Azlin Arlina.

Danish menunjukkan telefon pintar yang digunakannya dengan bergambar di samping selebriti terkenal, Sharifah Rose.

Danish tampil berkongsi info berkenaan sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa terdapat telefon pintar khas untuk orang-orang buta.

Menerusi panggilan video bersama Majoriti, dia terdahulu menjawab persoalan warga maya berkaitan punca kehilangan penglihatan adalah disebabkan oleh penggunaan ubat bagi rawatan ekzema, glaukoma dan demam denggi.

Kongsi Danish, daya penglihatannya hilang sedikit demi sedikit dari tahun 2018 hingga 2020 sebelum buta sepenuhnya.

Apabila ditanya soal perasaan ketika hilang nikmat untuk melihat dunia, Danish tidak melatah, sebaliknya meluahkan rasa syukur kepada ALLAH.

Ini kerana buat dirinya, dia masih dikurniakan nikmat mendengar sekali gus membolehkan dia meneruskan minatnya dalam bidang muzik.

"Saya suka bermain gitar dan menjadikan bakat bermain alat muzik ini sebagai pendapatan sampingan. Kalau di TikTok, saya akan buat live sambil main gitar dengan memainkan lagu-lagu pilihan.

"Dari situ saya akan dapat gift daripada followers dan bermain gitar juga memberikan keyakinan diri," katanya yang memiliki lebih 200,000 pengikut.

Dilihat hebat 'menggoreng' gitar di TikTok, Danish juga berkongsi rahsia yang mana dia mempelajari 'chord' gitar hanya dengan mendengarnya.

Tambahnya, dia mengambil masa enam bulan sahaja untuk belajar chord pelbagai jenis lagu termasuk genre rock.

Bagaimanapun, dia mengakui tidak mahir menggunakan braille kerana sudah lama meninggalkannya.

Braille ialah sejenis sistem tulisan sentuh yang digunakan oleh orang buta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram