Pernah sering jadi mangsa ejekan di sekolah, pelajar cemerlang SPM OKU kini kejar cita-cita jadi pakar psikologi


Arif Zulkarnain (kiri) dan Nur Dayini Iwani bergambar bersama selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar OKU Penglihatan SPM Tahun 2022 di Kompleks MAB, Kuala Lumpur pada Selasa. — Bernama

PELAJAR cemerlang orang kurang upaya (OKU) penglihatan Nur Dayini Iwani Ahmad Khairul tidak mahu mengaku kalah walaupun terpaksa melepaskan cita-citanya untuk bergelar pakar psikiatri.

Demi minat yang mendalam, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh keputusan 7A itu tetap mahu meneruskan pengajian dan memilih untuk mendalami bidang psikologi.

"Sebenarnya saya sasarkan untuk jadi doktor psikiatri, jadi saya ambil Asasi Sains. Selepas tahu kelayakan bagi golongan kurang upaya tidak banyak dalam bidang perubatan, mak sarankan saya untuk jadi pakar psikologi sahaja.

"...ada juga doktor tidak menyarankan untuk saya jadi doktor,” katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Kurang Upaya Penglihatan anjuran Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Kuala Lumpur pada Selasa.

Pelajar berusia 18 tahun itu mengakui menangis dan kecewa selepas mengetahui perkara berkenaan dan ada doktor mencadangkan agar dia menjalani pembedahan mata apabila mencapai usia 20 tahun jika mahu meneruskan cita-citanya sebagai doktor psikiatri.

Berkongsi cabaran berikutan masalah penglihatan dialaminya, Nur Dayini yang buta mata kanan sejak lahir berkata, ketika melangkah ke Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Sains Rembau, dia sering menangis kerana diejek oleh pelajar lain.

file7qfsz7zezid1ecadcji

Nur Dayini berkata, dirinya yang buta mata kanan sejak lahir sering menangis kerana diejek oleh pelajar lain ketika ketika melangkah ke Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Sains Rembau. — Gambar hiasan

"Apabila memikirkan kesusahan dan kesungguhan ibu bapa yang banyak berhabis duit untuk kos pembelajaran, saya tetapkan hati untuk terus mencuba," katanya.

Menceritakan keputusan 1A, 6A- dan 2B+ dalam SPM yang diumumkan baru-baru ini, Nur Dayini berkata, ini adalah berkat menjaga hubungan dengan ALLAH serta banyak bertanya kepada guru jika tidak faham dalam sesuatu mata pelajaran.

Sementara itu, seorang remaja albino yang juga mengalami masalah penglihatan Arif Zulkarnain Azriman, 18, berkata, selain usaha bersungguh-sungguh, dukungan guru-guru dan bantuan rakan-rakan ketika membuat ulang kaji secara berkumpulan menjadi kunci kejayaannya memperoleh keputusan 9A.

"Saya amat meminati subjek berkaitan agama dan sains. Paling tidak sangka saya memperoleh A- dalam mata pelajaran Sejarah kerana sewaktu percubaan dahulu gagal," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Wilayah Persekutuan itu.

Arif Zulkarnain berharap dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu dan meneruskan pembelajaran dalam bidang Kejuruteraan Komputer kerana sangat meminati bidang berkenaan.

Seramai 28 pelajar OKU penglihatan menerima Anugerah Kecemerlangan SPM 2022 oleh MAB dengan mereka yang memperoleh 6A hingga 8A membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 manakala keputusan 9A dan ke atas sebanyak RM2,000. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram