KEAZAMAN luar biasa membuahkan hasil apabila Jessikah Inaba mencipta sejarah sebagai peguam bela wanita kulit hitam buta pertama di United Kingdom selepas berjaya lulus Peperiksaan Peguam (Bar) pada usia hanya 23 tahun.
Dilahirkan dengan mikrofthalmia dua hala, iaitu keadaan perubatan jarang berlaku yang menyebabkan beliau buta sejak lahir, Jessikah menempuh perjalanan akademik yang mencabar.
Beliau terpaksa menterjemahkan sendiri buku teks undang-undang ke dalam tulisan Braille sepanjang pengajiannya di universiti.
BACA LAGI: Lebih 20 tahun jadi peguam syarie, ramai tak tahu Fadhlina pernah kendali kes balu Abam Bocey
Jessikah menghabiskan lima tahun mengikuti pengajian undang-undang di London, dengan keseluruhan tugasan dan bahan rujukan disiapkan menggunakan tulisan Braille.
Selepas bertahun-tahun berdepan pelbagai kekangan, khususnya berkaitan kebolehcapaian dalam sistem pendidikan dan latihan guaman, kejayaannya itu akhirnya dimuktamadkan secara rasmi pada November 2022.
Berkongsi pengalaman, Jessikah menegaskan, dirinya tidak pernah berputus asa meskipun berhadapan pelbagai cabaran.
Menurutnya, pencapaian tersebut diharap dapat membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada individu lain, sekali gus mengubah persepsi masyarakat tentang siapa yang layak dan mampu berjaya dalam profesion perundangan.
Beliau menyifatkan kejayaannya sebagai usaha memecahkan tembok halangan yang selama ini menghalang golongan terpinggir.
“Terdapat seakan-akan siling kaca berlapis tiga. Dengan menembusinya, saya sebenarnya meringankan beban untuk orang seterusnya yang senasib dengan saya,” katanya.
Menurut Jessikah lagi, latar belakang warisan Congo, pengalaman hidup sebagai individu kelainan upaya serta identitinya sebagai wanita memberinya kefahaman mendalam tentang cabaran dihadapi komuniti terpinggir.
Beliau percaya, undang-undang merupakan alat ampuh untuk membawa perubahan sosial dan bertekad menjadi sebahagian daripada perubahan tersebut, khususnya dalam memperjuangkan hak komuniti yang kurang diwakili.
Dalam perjalanan hidupnya, Jessikah turut dikelilingi wanita-wanita luar biasa yang menjadi tonggak kekuatannya, termasuk ibu yang tanpa jemu memperjuangkan hak dan potensinya.
“Kakak pula membantu saya menerima keunikan diri sendiri dan membina keyakinan, sama ada dalam kehidupan peribadi mahupun profesional,” kongsinya.
Menerusi kisahnya, Jessikah mahu memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengejar impian.
“Kepada diri saya yang lebih muda, saya akan katakana, percayalah pada kebolehan sendiri dan jangan biarkan keraguan menghalang langkah.
"Kepada mereka yang baru memulakan kerjaya dalam bidang undang-undang, carilah mentor, bina rangkaian sokongan dan jangan takut untuk mencipta laluan sendiri.
"Paling penting, jangan biarkan sesiapa memberitahu bahawa anda tidak layak berada di situ,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
