Pensyarah permudah urusan mahasiswa, tawar jaga anak demi pelajar jalani ujian


  • Cinta
  • Jumaat, 09 Jan 2026

Tangkap layar memaparkan perbualan antara pensyarah berkenaan dengan pelajarnya yang dikongsikan di aplikasi Threads pada Khamis.

DUNIA akademik lazimnya sinonim dengan peraturan ketat, jadual padat dan tekanan untuk meraih penilaian terbaik daripada tenaga pengajar.

Bagaimanapun tindakan seorang pensyarah wanita yang memilih untuk memahami situasi pelajarnya, bukannya menghukum, membuktikan bahawa nilai kemanusiaan masih subur dalam sistem pendidikan.

Menerusi perkongsian di Threads milik amafuraadhuha pada Khamis, beliau menceritakan situasi yang berlaku terhadap salah seorang mahasiswanya yang tidak dapat hadir ke kelas kerana perlu menjaga anak.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jasamu kami kenang seumur hidup', pelajar, pensyarah UUM tabah hadapi dugaan, syukur terima bubur dimasak penduduk Hatyai

BACA LAGI: ‘ALLAH tahu’, pensyarah bidas semula sikap pelajar riak dibantu ‘ChatGPT’, tunggulah ketika temuduga kerja nanti

 

 

Berdasarkan tangkap layar perbualan yang dimuat naik, difahamkan isteri kepada mahasiswa tersebut perlu menghadiri kelas sepanjang hari dan tiada pihak lain dapat bantu menjaga anak mereka.

Situasi menjadi lebih genting apabila hari berkenaan turut melibatkan ujian yang membawa markah penilaian.

Namun, reaksi pensyarah yang memilih pendekatan berbeza mencuri perhatian ramai warga maya.

Daripada menolak alasan atau mengenakan penalti, pensyarah tersebut menawarkan penyelesaian ringkas, dengan meminta pelajar membawa anak ke kelas dan beliau sendiri bersedia menjaganya sepanjang ujian berlangsung.

Tindakan itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang tersentuh dengan sikap empati ditunjukkan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata memuji keikhlasan dan nilai kemanusiaan pensyarah yang mengajar di sebuah universiti awam berlokasi di Sarawak itu.

"Ini membuktikan bahawa masih ramai orang baik di luar sana," tulis notjjsmine_.

"Semoga dipermudah segala urusan madam. Pelajar tersebut sangat bertuah kerana mempunyai pensyarah yang memahami. Anak pelajar itu pun nampak berkelakuan baik," kata nickie_nur83.

"Mulia sungguh hati puan. Semoga ALLAH lorongkan jalan yang baik-baik untuk puan dari dunia sampai ke akhirat kelak,” ujar aswana_alias. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram