HUJAN lebat berterusan di Hatyai, Thailand sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air terus meningkat sehingga menenggelamkan kawasan bandar dan mengganggu operasi menyelamat.
Situasi itu turut menjejaskan 40 pelajar dan empat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas di bandar berkenaan sejak 22 November lalu.
Keadaan menjadi semakin kritikal apabila air banjir kini mencecah sehingga ke tingkat satu hotel penginapan mereka pada Selasa.
Terbaharu, menerusi perkongsian di Facebook rasmi UUM, warga tempatan di Hatyai menunjukkan keprihatinan luar biasa dengan segera tampil menghulurkan bantuan kepada pelajar dan pensyarah universiti yang terkandas akibat banjir.
"Terkini di Hotel Wangburapa Grand.
"Terima kasih buat warga Hatyai budiman yang sudi memasak bubur nasi untuk makan pagi pelajar dan pensyarah UUM di Wangburapa Grand Hotel, 25 November 2025. Jasamu tetap kami kenang seumur hidup," tulis pentadbir laman Facebook berkenaan.
Bantuan penduduk tempatan itu bukan sahaja meringankan beban fizikal, malah memberi semangat dan motivasi kepada para pelajar dan staf untuk terus tabah menghadapi cabaran banjir yang melanda bandar itu.
Terdahulu, media melaporkan wakil pelajar, Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi berkata arus deras setakat pukul 8.18 pagi (waktu Thailand) menyukarkan bot penyelamat untuk masuk ke kawasan hotel.
"Keadaan kami masih terkawal, namun kami kini bergantung sepenuhnya kepada air hujan untuk mandi dan keperluan harian.
"Kami hanya bergantung kepada bekalan makanan yang disalurkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
"Jumlahnya sangat terhad dan terpaksa dikongsi sesama kami. Kami sangat berharap ada bantuan lain terutama dari segi makanan," katanya dalam satu hantaran mesej WhatsApp kepada pihak UUM.
Jelas Mimi lagi, kekangan logistik akibat banjir menyukarkan sebarang penghantaran bantuan tambahan ke lokasi mereka, sekali gus menyebabkan kumpulan itu terpaksa menunggu keadaan pulih untuk proses pemindahan keluar dilakukan.
Dalam perkembangan lain, UUM dalam satu kenyataan media pasa Isnin memaklumkan operasi pemindahan 40 pelajar termasuk pensyarah ke tempat yang selamat ditangguhkan sementara berikutan hujan lebat melanda Hatyai.
Menurut UUM tindakan itu dibuat setelah mendapat makluman berhubung situasi semasa selain mengambil kira arahan dari pihak berkuasa.
"Koordinasi antara Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dengan pihak berkuasa tempatan di Hatyai hanya akan dilaksanakan secepat mungkin apabila hujan mulai reda.
"Seramai 40 pelajar serta empat pensyarah pengiring daripada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz yang mengikuti program Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 terkandas buat sementara waktu di Hatyai sejak 22 November lalu.
"Pihak universiti ingin menegaskan bahawa kebajikan dan keselamatan semua pelajar serta staf adalah keutamaan UUM dan kini sedang memantau keadaan ini secara berterusan," kata kenyataan itu.
Setakat ini, kesemua pelajar dan pensyarah pengiring dilaporkan dalam keadaan selamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
