[VIDEO] Gadis 11 tahun buat tarian Bharatanatyam di dasar laut demi kesedaran pencemaran plastik


  • Sukses
  • Rabu, 31 Dis 2025

Aarathana menampilkan tarian klasik itu di dasar laut dengan lengkap berpakaian tradisional, perhiasan dan solekan. — Agensi

SEORANG gadis berusia 11 tahun dari Puducherry, India menarik perhatian ramai di media sosial selepas memilih cara luar biasa untuk menyerlahkan bahaya pencemaran plastik.

Berbanding menggunakan pentas atau mikrofon, Thaaragai Aarathana menyampaikan mesejnya di bawah air, menyelam hampir 20 kaki di bawah permukaan bagi meningkatkan kesedaran tentang ancaman pencemaran plastik terhadap kehidupan marin.

Sebagai penari Bharatanatyam bertauliah yang juga penyelam berlesen, Aarathana menampilkan tarian klasik itu di dasar laut dengan lengkap berpakaian tradisional, perhiasan dan solekan.

BACA LAGI: Bukan sekadar untuk cantik, kesihatan mulut wanita juga dikaitkan dengan menopaus, Alzheimer — Perunding ortodontis

BACA LAGI: Alami menopaus tapi masih ada darah keluar, waspada anda mungkin ada simptom kanser rahim

 

 

Persembahan menakjubkan itu menggabungkan seni, keberanian dan aktivisme dalam cara yang jarang dilihat sebelum ini.

Video persembahan bawah air tersebut, yang dikongsi di Instagram oleh Shubham Bhardwaj, kini menjadi tular.

Rakaman itu menunjukkan Aarathana bergerak anggun di tengah arus laut, menjadikan lautan sendiri sebagai latar belakang persembahannya.

Tanpa menggunakan kata-kata atau muzik, Aarathana bergantung sepenuhnya pada ekspresi dan pergerakan tubuh.

Setiap gerakan disengajakan untuk menekankan kerosakan yang disebabkan oleh sisa plastik terhadap ekosistem laut.

Dalam video itu, Bhardwaj menjelaskan, ketika menyelam, gadis itu pernah menyaksikan penyu tersangkut dalam jaring ikan dan pengalaman tersebut memberi kesan mendalam kepadanya.

"Detik itu kemudian mendorongnya bertindak untuk melindungi lautan.

"Sejak itu, dia sendiri membantu mengumpul sekitar 3,000 kilogram (kg) sisa plastik dari laut, manakala bapanya yang terlibat dalam usaha serupa hampir 18 tahun, telah mengumpul lebih 37,000kg sisa marin," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram