Wanita China beri makan 120 kucing terbiar guna lebihan dari 100 majlis perkahwinan


  • Cinta
  • Rabu, 31 Dis 2025

Xuanxuan berharap tindakannya dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk menghargai makanan dan mengambil berat tentang haiwan terbiar. — Agensi

TINDAKAN seorang wanita dari Beijing, China yang mengumpul lebihan makanan daripada kira-kira 100 majlis perkahwinan untuk memberi makan lebih 120 ekor kucing terbiar meraih perhatian warga maya.

Dikenali sebagai Xuanxuan, wanita berasal dari Baoshan, wilayah Yunnan itu sebelum ini bekerja secara sambilan sebagai penyunting video.

Namun, kehidupannya berubah sejak musim sejuk 2022 selepas beliau mula menyelamatkan kucing terbiar yang ditemuinya dalam keadaan menggigil di luar rumah.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan untuk diri sendiri, 'rescuer' wanita sanggup beli rumah mewah lengkap taman untuk kegunaan pemulihan kucing terbiar

BACA LAGI: Sediakan ruang terapi, pasangan suami isteri ubah operasi butik jadi 'hotel mewah' kucing jalanan

Sejak itu, kediamannya secara beransur-ansur bertukar menjadi tempat perlindungan, menempatkan lebih 120 ekor kucing terbiar yang diselamatkan daripada kelaparan dan kesejukan.

Menurut Xuanxuan, kos memberi makan seekor kucing kecil mencecah sekitar tiga yuan (RM1.70) sehari, menyebabkan perbelanjaan hariannya boleh melebihi 300 yuan (RM174).

Tekanan kewangan itu mendorongnya mencari jalan alternatif untuk meneruskan misi menyelamatkan haiwan.

 

 

Detik perubahan berlaku ketika dirinya menghadiri sebuah majlis perkahwinan dan menyedari banyak makanan yang masih bersih serta tidak disentuh dibuang begitu sahaja.

Dari situ, tercetus idea untuk memulakan 'Pelan Menyelamatkan Lebihan Makanan'.

Inisiatif itu melibatkan kehadirannya ke majlis perkahwinan orang tidak dikenali bagi mengumpul lebihan makanan untuk diberikan kepada kucing-kucing di tempat perlindungannya.

Bagaimanapun, langkah tersebut bukan mudah. Xuanxuan mengakui mendekati orang tidak dikenali menjadi cabaran besar disebabkan gangguan kebimbangan sosial yang dialaminya.

“Saya memang mengalami gangguan kebimbangan sosial. Setiap kali mahu membuka mulut, ia memerlukan keberanian yang besar.

"Namun memikirkan semua kucing yang menunggu di rumah memberi saya kekuatan untuk melangkah keluar dan berdepan dengan orang ramai,” katanya.

Detik perubahan berlaku ketika Xuanxuan menghadiri sebuah majlis perkahwinan dan menyedari banyak makanan yang masih bersih dibuang begitu sahaja. — Agensi

Usaha Xuanxuan bagaimanapun menerima sambutan positif.

Kebanyakan pasangan pengantin memahami dan menyokong tindakannya, malah ada yang dengan sukarela menjemputnya hadir ke jamuan.

Sebagai tanda penghargaan, Xuanxuan lazimnya memberikan 100 yuan (RM58) kepada pasangan pengantin, sambil berseloroh menyebutnya sebagai 'tiket makan daripada anak kucing atau anak anjing'.

Sepanjang tempoh tiga tahun lalu, beliau menghadiri majlis perkahwinan kira-kira setiap 10 hari.

Adakalanya beliau mampu membawa pulang sehingga 30 kilogram (kg) lebihan makanan yang masih bersih, termasuk ayam, ikan dan udang.

Setibanya di rumah, makanan tersebut akan dikukus semula bagi mengurangkan kandungan minyak dan garam sebelum diberikan kepada haiwan-haiwan itu.

Kebanyakan pasangan pengantin memahami dan menyokong tindakan Xuanxuan (kiri), malah ada yang dengan sukarela menjemputnya hadir ke jamuan. — Agensi

Usaha berkenaan membolehkannya menjimatkan antara 1,000 hingga 2,000 yuan (RM580 hingga RM1,160) sebulan, selain menyumbang kepada pengurangan pembaziran makanan.

Kisah Xuanxuan turut dikongsi di media sosial menerusi video yang memaparkan dirinya membungkus lebihan makanan di majlis perkahwinan.

Perkongsian itu mendapat perhatian besar sehingga beliau kini mempunyai lebih 1.5 juta pengikut.

“Usaha yang saya lakukan ini mengurangkan pembaziran dan membantu haiwan terbiar.

"Saya harap ia dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk menghargai makanan dan mengambil berat tentang haiwan terbiar,” katanya.

Tambahnya, misi tersebut bukan sahaja membantu kucing-kucing berkenaan, malah menjadi sebahagian daripada proses penyembuhan dirinya sendiri.

“Merekalah yang memberi saya keberanian untuk keluar daripada kepompong dan melakukan perkara yang tidak pernah saya berani lakukan sebelum ini,” ceritanya lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram