Sabida Thaiseth wanita Islam pertama galas jawatan Menteri Kebudayaan Thailand, beza agama, etnik bukan halangan


  • Sukses
  • Jumaat, 02 Jan 2026

Sabida berhasrat mengangkat budaya Thailand bukan sahaja sebagai warisan yang perlu dipelihara, malah sebagai pemacu ekonomi global. — Instagram/sabeedathaised

DI tengah landskap politik Thailand yang sering didominasi wajah lama, pelantikan Sabida Thaiseth sebagai Menteri Kebudayaan disifatkan sebagai nafas baharu.

Langkah itu melangkaui sekadar pertukaran jawatan, sebaliknya mencerminkan perubahan paradigma dalam tadbir urus budaya negara itu.

Dilahirkan pada 1984, Sabida mencipta sejarah sebagai wanita beragama Islam pertama dilantik ke jawatan Menteri Kebudayaan Thailand.

BACA LAGI: PM wanita paling muda Thailand seru rakyat bertenang kemungkinan gegaran susulan gempa bumi kuat di Myanmar

BACA LAGI: Selain Hannah Yeoh, 4 menteri wanita milik kelebihan dan berdepan tugas besar

Pelantikan tersebut sekali gus menjadi simbol keterangkuman, membuktikan identiti agama dan latar belakang etnik bukan penghalang untuk memelihara serta memajukan warisan kebangsaan negara yang majoritinya beragama Buddha.

“Thailand mempunyai banyak identiti. Tugas saya bukan hanya memelihara satu warna, tetapi memastikan keseluruhan spektrum budaya kita, dari kuil hingga masjid, dari gunung hingga pantai menjadi satu kekuatan bersatu yang diiktiraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sabida mencipta sejarah sebagai wanita beragama Islam pertama dilantik ke jawatan Menteri Kebudayaan Thailand. — Instagram/sabeedathaised

Sabida bukan figura politik yang muncul secara mendadak.

Meski memegang status sebagai anak kepada tokoh politik berpengaruh, Chada Thaiseth dari wilayah Uthai Thani, beliau membina reputasinya sendiri melalui pendidikan dan pengalaman pentadbiran.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-undang (LLM) daripada Universiti Assumption, Sabida pernah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri sebelum diamanahkan menerajui kementerian yang sering digambarkan sebagai penjaga ‘jiwa’ Thailand.

Pelantikannya dilihat sebagai langkah strategik Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra dalam memperkukuh perpaduan nasional menerusi perwakilan kumpulan minoriti, selain menyokong agenda pembangunan negara yang lebih inklusif.

Dalam barisan kabinet Thailand yang terdiri daripada 35 menteri dan seorang Perdana Menteri, Sabida memegang portfolio penting ketika negara itu giat memacu strategi kuasa lembut bagi memulihkan ekonomi pasca pandemik.

Sabida merupakan anak kepada tokoh politik berpengaruh Thailand, Chada Thaiseth (kiri). — Instagram/sabeedathaised

Gabungan tenaga kontemporari dan kefahaman mendalam terhadap akar tradisi menjadikan beliau dilihat sebagai jambatan antara warisan budaya dan ekonomi kreatif moden.

Sebagai seorang Muslim berketurunan Pathan, Sabida membawa perspektif baharu bahawa kepelbagaian budaya bukan sekadar identiti sosial, tetapi aset bernilai tinggi yang boleh diketengahkan di peringkat global.

Menerusi visinya yang dikenali sebagai semangat 'Thai Thai', Sabida berhasrat mengangkat budaya Thailand bukan sahaja sebagai warisan yang perlu dipelihara, malah sebagai pemacu ekonomi global.

Di bawah kepimpinannya, Kementerian Kebudayaan dijangka berperanan lebih aktif sebagai penggerak industri kreatif yang inklusif, melibatkan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Antara fokus utama beliau ialah memperkukuh kedudukan Thailand sebagai hab festival antarabangsa.

Perayaan tradisional seperti Songkran dan Loy Krathong dipromosikan secara agresif sebagai tarikan global, bukan sekadar ritual tempatan.

Sabida membawa perspektif bahawa kepelbagaian budaya bukan sekadar identiti sosial, tetapi aset bernilai tinggi yang boleh diketengahkan di peringkat global. — Instagram/sabeedathaised

Pada masa sama, Sabida turut menonjolkan potensi budaya Islam Thailand di peringkat antarabangsa, termasuk kraftangan tradisional dari wilayah selatan serta festival makanan asli halal, sekali gus mempamerkan kepelbagaian sebenar budaya negara Gajah Putih itu.

Dalam era digital, beliau menggalakkan kerjasama antara kerajaan dan pencipta kandungan untuk mempromosikan aset negara melalui media sosial dan platform penstriman.

Bagi Sabida, kuasa lembut berkesan ialah yang memberi impak organik terhadap kehidupan seharian masyarakat global, daripada rekaan sutera Thai moden hingga diplomasi kulinari di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan budaya bukan sekadar diukur melalui jumlah pengunjung, tetapi sejauh mana gaya hidup Thai mempengaruhi trend global,” katanya.

Menurut Sabida, kekuatan sebenar budaya terletak pada keberanian untuk membawanya ke masa depan tanpa menafikan nilai rohaninya.

“Budaya ialah aset hidup. Manfaat ekonominya perlu dirasai masyarakat, tanpa mengorbankan identiti dan jiwa bangsa,” tegasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram