Kenali sindrom 'anak perempuan dari California', jarang jaga, jenguk ibu bapa, tiba-tiba datang arah itu, ini


  • Bonda
  • Jumaat, 02 Jan 2026

Kesan sindrom itu bukan sahaja membebankan penjaga utama, malah ada yang berasa kena 'gaslight', seolah-olah gagal menjaga orang tua dengan baik. — Gambar janaan AI

 

 

PENGALAMAN bertugas di unit rawatan paliatif memperkenalkan seorang petugas kesihatan kepada istilah yang kerap berlaku dalam realiti penjagaan pesakit kronik iaitu Daughter From California Syndrome (DFC).

Istilah berasal dari Amerika Syarikat (AS) itu merujuk situasi anak yang tinggal jauh dan jarang pulang serta lazimnya dianggap paling berjaya dalam keluarga, tiba-tiba kembali melawat ibu atau bapa uzur, lalu mengambil alih keputusan perubatan secara agresif.

Menurut pemilik akaun Threads bernama hafiszularif, kepulangan adik-beradik yang tinggal jauh sering mencetuskan ketegangan.

BACA LAGI: Jangan mudah percaya mitos, penjagaan paliatif letus harapan, semangat buat pesakit tenat

BACA LAGI: 'Bukan mengalah, tapi ingin anak hidup sebaik mungkin', ibu-ibu di Sabah rayu khidmat penjagaan paliatif pediatrik diperluas

"Pernah tak kalian tengok situasi di hospital atau rumah pesakit sendiri?

"Ada seorang anak ini dah berbulan-bulan, malah bertahun jaga mak ayah yang sakit di kampung. Cuci berak, suap makan, bawa pergi dialisis, punyalah penat.

"​Tiba-tiba datang seorang lagi adik-beradik duduk jauh (selalunya 'yang paling berjaya') balik melawat," katanya.

Kongsinya, anak berkenaan mudah melenting selepas melihat keadaan ibu atau bapa yang semakin susut dan uzur.

"​Kenapa mak kurus sangat ni? Kenapa tak buat pembedahan sekian sekian? Doktor ni betul ke buat kerja? Saya nak pendapat kedua!" ceritanya.

Bagaimanapun jelas hafiszularif, walaupun digelar Daughter From California, sindrom itu tidak terhad kepada anak perempuan semata-mata, sebaliknya anak lelaki juga boleh menunjukkan tingkah laku sama.

Menurutnya, fenomena tersebut lazimnya berpunca daripada dua faktor utama.

"Pertama, rasa bersalah kerana lama tidak berada di sisi ibu atau bapa, mendorong mereka cuba ‘menebus’ kesalahan dengan memaksa rawatan yang mahal atau agresif.

"Kedua, penafian terhadap realiti kerana mereka tidak menyaksikan kemerosotan kesihatan pesakit secara berperingkat, sebaliknya terkejut melihat perubahan drastik apabila pulang," katanya.

Tambahnya lagi, kesan sindrom itu bukan sahaja membebankan penjaga utama yang letih dari segi fizikal dan emosi, malah ada yang berasa kena gaslight (satu bentuk penderaan mental yang menyebabkan seseorang itu mempersoalkan kewarasan, memori dan persepsi mereka terhadap realiti), seolah-olah gagal menjaga orang tua dengan baik.

Kata beliau, pesakit pula terpaksa melalui prosedur menyakitkan walaupun sebenarnya sudah tiba fasa rawatan paliatif yang lebih menekankan keselesaan dan kualiti hidup.

"Dalam banyak keadaan, pesakit yang uzur memilih untuk menurut kehendak anak yang baru pulang itu, sekali gus menambah penderitaan di penghujung usia," ujarnya.

Justeru beliau mencadangkan beberapa langkah bagi mengelakkan sindrom berkenaan:

Ahli keluarga yang tinggal jauh perlu memberi kepercayaan kepada adik-beradik yang menjaga pesakit setiap hari.

1) Kemas kini perkembangan kesihatan

Anak yang menjaga ibu atau bapa disaran berkongsi perkembangan kesihatan secara konsisten, termasuk menghantar gambar, video dan laporan doktor dalam grup WhatsApp keluarga.

Langkah itu membantu semua ahli memahami proses kemerosotan kesihatan yang berlaku secara perlahan.

2) Buat keputusan ketika tenang

Perbincangan berkaitan rawatan dan hala tuju penjagaan perlu dibuat lebih awal ketika semua ahli keluarga berada dalam keadaan emosi yang stabil.

Elak menangguhkan keputusan penting sehingga berlaku kecemasan kerana ia berisiko mencetuskan pertengkaran dan tekanan kepada pesakit.

3) Kepercayaan

Ahli keluarga yang tinggal jauh perlu memberi kepercayaan kepada adik-beradik yang menjaga pesakit setiap hari.

Penjaga utama lebih memahami selera makan, tahap kesakitan dan keperluan sebenar ibu atau bapa berdasarkan pemerhatian harian.

Penjagaan warga emas, khususnya di fasa akhir kehidupan, bukan sekadar soal ubat dan rawatan, tetapi tentang kasih sayang, empati serta ketenangan.

Ego dan rasa bersalah yang tidak diurus dengan baik hanya akan menambah derita insan paling disayangi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram