KEHADIRAN tompokan kulat pada dinding dan siling rumah sering dianggap sebagai masalah kecil oleh segelintir pihak.
Namun ramai tidak tahu, sebenarnya ia berisiko menjadi punca ahli keluarga kerap batuk, sesak nafas atau mudah jatuh sakit jika dibiarkan berlarutan.
Perkara itu turut dikongsikan menerusi hantaran di akaun Threads milik ndhznrn pada Khamis.
BACA LAGI: Beri sinar baharu untuk kesihatan kulit wanita, vitamin B12 bantu masalah dermatitis
BACA LAGI: Pelaburan berbaloi, 5 jenis cat generasi baharu bukan sekadar hiasan malah menguntungkan tuan rumah
Menurutnya, kulat yang tumbuh akibat kelembapan berlebihan akan membebaskan spora halus ke udara.
"Spora ini boleh disedut masuk ke dalam paru-paru, sekali gus menyebabkan iritasi dan radang pada saluran pernafasan.
"Pendedahan berterusan kepada spora kulat boleh mencetuskan beberapa kesan jangka pendek seperti hidung berair, sesak nafas, batuk berpanjangan dan nafas berbunyi.
"Dalam tempoh panjang pula, keadaan ini berisiko meningkatkan masalah pernafasan kronik termasuk asma, terutamanya kepada individu yang mempunyai sistem imun lemah," ujarnya.
Langkah pencegahan
Bagi mengelakkan masalah kulat daripada menjadi lebih serius, orang ramai disarankan mengambil langkah segera sebaik sahaja tompokan dikesan.
Antara kaedah dicadangkan:
1) Menggunakan semburan khas antikulat (mold spray) yang terdapat di pasaran.
2) Memastikan sistem saliran air di bumbung tidak bocor bagi mengelakkan kelembapan berpanjangan.
3) Menggunakan cuka tanpa campuran air, disembur pada kawasan berkulat dan dibiarkan selama kira-kira satu jam sebelum dilap bersih.
4) Membersihkan kawasan terjejas dan mengecat semula dengan cat antikulat, khususnya pada dinding dan siling.
5) Menggunakan gel penanggal antikulat untuk permukaan lain selain dinding atau siling.
Orang ramai diingatkan agar tidak memandang ringan masalah kulat di kediaman, terutama jika melibatkan ruang tertutup dan kurang pengudaraan.
Tindakan awal bukan sahaja dapat mencegah kerosakan struktur rumah, malah lebih penting dapat melindungi kesihatan isi rumah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
