‘ALLAH tahu’, pensyarah bidas semula sikap pelajar riak dibantu ‘ChatGPT’, tunggulah ketika temuduga kerja nanti


  • Massa
  • Ahad, 04 Mei 2025

Penggunaan ChatGPT dalam kalangan pelajar universiti semakin menjadi kebimbangan pensyarah. — Gambar hiasan/Agensi

TINDAKAN pelajar universiti yang menggunakan kemudahan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT ketika menyiapkan tugasan dilihat semakin membimbangkan. 

Berdasarkan luahan seorang pensyarah dikongsikan pengguna akaun Facebook Fara Hamidi, terdapat sesetengah pelajar yang mengambil kesempatan terhadap kemudahan itu. 

Menurutnya, tindakan tersebut ternyata dapat dikesan dengan mudah oleh para pendidik. 

BACA LAGI: Wanita maut digilis lori tangki, tercampak keluar pintu kereta tiba-tiba terbuka di selekoh Port Dickson

BACA LAGI: Famili isteri taikun bisnes Sarawak buntu, akui tiada tuntutan wang tebusan

"Jujur daripada hati, kesian dengan pelajar yang ingat pensyarah dia tak tahu apa kaedah dia lengkapkan tugas dan laporan.

"Awak guna ChatGPT Premium, DeepSeek semua tahu tak citation yang dibagi tidak wujud pun.

"Tak tahu kan, sebab buat kerja sehari, tak semak pun semua. Nama pengarang, tajuk artikel tak pernah wujud," tulisnya. 

Katanya, ada juga sikap pelajar yang hanya tahu meniru secara terus tanpa memeriksa semula sehingga diketahui pensyarah. 

Ia lebih jelas dapat dilihat apabila pelajar dikehendaki menulis laporan dalam bahasa Inggeris.

"Ayat Inggeris bukan main bombastic ke langit, tetapi, masa ujian tulis campur tunggang langgang.

"Masa pembentangan lagilah, jenuh  saya nak betulkan sebutan.

"Pembentangan patut 10 minit jadi 20 minit sebab tergagap dan ulang-ulang

"Masa itu jangan pula tulis 'tak gunalah belajar sampai dapat 4.0 flat, temuduga 10 kali, 10 kali ditolak. Ini semua salah pensyarah tak tahu ajar'. 

"Jangan riak, jangan menipu. Pensyarah tak tahu tapi ALLAH tahu," tambahnya. 

Baginya, ia satu tindakan kurang bijak dan tanpa sedar akan menjadi kebiasaan sekiranya sudah melangkah ke alam pekerjaan. 

Sementara itu, ada juga yang memberi saranan kepada para pelajar untuk memahami fungsi AI dalam membantu memudahkan tugas.

"Nak guna boleh sekadar nak dapatkan maklumat dan butiran. Fahamkan dahulu, cari rujukan lain dan olah ayat sendiri," komen Masdzurina Bakar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram