Tak tahan laman jadi ‘tandas’ kucing jiran, rumah didiami 20 tahun akhirnya dijual


  • Hias
  • Selasa, 30 Dis 2025

Kawasan laman rumah tersebut dijadikan 'tandas awam' oleh kucing-kucing jiran sejak lima tahun lalu. — Gambar hiasan

HASRAT sepasang suami isteri untuk menghabiskan hari tua di rumah impian musnah selepas terpaksa menjual kediaman yang didiami selama 20 tahun akibat gangguan najis dan air kencing kucing jiran berpanjangan.

Pemilik rumah di Taman Pulai Indah, Johor Bahru, Johor yang tidak mendedahkan namanya itu meluahkan kesedihan apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada kediaman yang dibina hasil titik peluh mereka selama dua dekad.

Menurutnya, rumah unit penjuru itu telah melalui pelbagai pengubahsuaian bernilai puluhan ribu ringgit, termasuk mencantikkan laman sisi dengan niat menjadikannya rumah persaraan.

BACA LAGI: Anggap macam famili, pemilik kucing sanggup ubah suai rumah demi 11 ekor 'majikan'

BACA LAGI: Dua tahun tahan derita bau najis kucing jiran di Bandar Tun Razak

Namun, segalanya berubah apabila kawasan laman tersebut dijadikan ‘tandas awam’ oleh kucing-kucing jiran sejak lima tahun lalu.

“Kami sudah tidak mampu lagi menanggung 'seksaan' kencing dan tahi kucing jiran yang berlarutan tanpa henti,” katanya menerusi hantaran yang dikongsikan semula oleh ESz Sabri pada Isnin.

Pemilik rumah itu turut memberitahu, pelbagai usaha dilakukan demi menjaga hubungan kejiranan, termasuk menegur secara berhemah, menyediakan kotak pasir, memindahkan kucing ke kawasan lain dan memasang pagar tambahan.

Namun ujarnya, semua usaha tersebut gagal kerana punca utama, iaitu pemberian makanan kepada kucing tanpa tanggungjawab, masih berterusan.

Keadaan itu memberi kesan besar kepada kehidupan seharian mereka, termasuk terpaksa mengupah pembersih hampir setiap bulan dan menanggung kos mengecat semula dinding akibat kesan marking air kencing.

"Barang juga terpaksa dibuang. Sudah tidak terhitung berapa banyak selipar, kasut, pasu bunga, pakaian yang dijemur, karpet dan perabot laman terpaksa kami buang terus kerana baunya sudah meresap dan tidak boleh hilang walaupun dibasuh.

"Ibadah jadi waswas. Ini yang paling saya terkilan. Berapa banyak kali kami terpijak kencing kucing di laman, kemudian masuk ke dalam rumah baru sedar yang dipijak tadi bukan air tapi kencing.

"Terpaksa deep clean dan mop satu rumah semula. Hati jadi tak tenang dan waswas setiap kali nak beribadah," jelasnya.

Pasangan itu menegaskan, memberi makan haiwan adalah perbuatan mulia, namun tanpa penyediaan tempat najis dan kawalan yang betul, ia boleh menganiaya jiran lain.

“Anda dapat pahala beri makan, kami yang menanggung tahi dan kencingnya,” katanya, sambil mengingatkan bahawa menjaga hak jiran adalah satu kewajipan.

Susulan kejadian itu, mereka memaklumkan akan membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) berkaitan gangguan awam, selain menyerahkan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan gambar bagi tindakan lanjut.

Mereka turut mengingatkan orang ramai, bermula 1 Januari 2026, garis panduan baharu Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkaitan pengurusan haiwan peliharaan akan dikuatkuasakan dengan lebih ketat.

"Kami berpindah dengan hati yang sangat berat. Terima kasih kepada jiran-jiran baik sepanjang 20 tahun ini.

"Semoga hantaran ini menjadi pengajaran dan kesedaran agar tiada lagi jiran lain yang terpaksa 'terusir' dari rumah sendiri akibat sikap pentingkan diri orang lain," pesannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram