[VIDEO] 'Maryam sebak tengok video kompilasi dari kecil', Fizo rai ulang tahun kelahiran anak sulung


  • Bonda
  • Selasa, 30 Dis 2025

Fizo menzahirkan rasa cinta tidak berbelah bahagi dan berjanji untuk sentiasa menjadi pelindung dalam hidup Maryam.

PELAKON terkenal Fizo Omar, 40, meraikan ulang tahun kelapan anak sulungnya, Wan Maryam yang disambut pada Isnin.

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Fizo berkongsi momen sambutan sederhana bersama keluarga dan video kompilasi perjalanan hidup Maryam sejak dilahirkan.

Menurut pemilik nama lengkap Wan Hafizol Wan Omar itu, Maryam tidak dapat menahan sebak ketika menonton video tersebut kerana dia mudah tersentuh, terutamanya apabila melibatkan momen bersama keluarga.

BACA LAGI: Daripada pentas lakonan ke sukan lasak, Fizo Omar ceburi perniagaan ATV

BACA LAGI: Raih '1st class degree', Fizo Omar saksi perjuangan isteri berpantang sambil belajar sejak timang anak sulung

“Awak sangat beruntung, Maryam ada dua keluarga yang sangat sayang akan Maryam.

"Maryam akan sentiasa menjadi anak pertama dan puteri sulung dalam hidup daddy,” luahnya.

Pengacara dan usahawan itu turut berkongsi rasa syukur dan bahagia kerana dikurniakan Maryam selepas empat tahun menanti kehadiran cahaya mata.

“Lapan tahun lalu, saya adalah bapa yang paling bahagia selepas empat tahun menunggu untuk dapatkan cinta hati daddy ini.

"Senyuman, kebahagiaan dan kenangan itu kekal hingga hari ini," katanya.

Fizo turut menzahirkan rasa cinta tidak berbelah bahagi buat puteri sulungnya itu dan berjanji untuk sentiasa menjadi pelindung dalam hidup Maryam.

Daddy, umi dan adik-adik sangat sayang akan Maryam dan sentiasa menanti saat dapat meraikan masa bersama setiap kali Maryam datang bertemu kami.

"Selamat hari jadi puteriku, semoga menjadi anak yang baik dan sentiasa memberi manfaat kepada semua orang,” pesannya.

Untuk rekod, Maryam adalah hasil perkahwinan Fizo bersama bekas isterinya, usahawan Mawar Karim yang mendirikan rumah tangga pada November 2013 sebelum berpisah pada 2019.

Fizo kemudian bertemu jodoh dengan Fazeera Nazri pada 21 Oktober 2021 dan kini dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Wan Khaleeda, 3, Wan Umaira, 2, serta Wan Maliki yang dilahirkan pada 17 Jun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram