Momen terindah, wanita 'cancer survivor' capai impian bergelar ibu lepas 11 tahun menanti


  • Bonda
  • Rabu, 24 Dis 2025

Ketabahan menempuh rawatan kanser yang panjang dan sokongan suami menjadi kekuatan utama sehingga Juliana selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 24 Julai lalu.

WALAUPUN berdepan dugaan besar apabila disahkan menghidap kanser payudara, Juliana Razid, 43, tidak pernah berputus asa mengejar impian untuk bergelar ibu sehingga akhirnya dikurniakan zuriat selepas hampir 11 tahun penantian.

Beliau berkata, ketabahan menempuh rawatan kanser yang panjang dan sokongan suami menjadi kekuatan utama sehingga beliau selamat melahirkan seorang bayi perempuan, Emma Emily Fariq Azwar, pada 24 Julai lalu.

Juliana disahkan menghidap karsinoma mukinus, sejenis kanser payudara yang jarang berlaku dan hanya melibatkan kira-kira satu hingga dua peratus kes, selepas mengesan ketulan pada payudara kanan pada Disember 2016.

BACA LAGI: 'Abah sayang kamu semua sampai syurga', status terakhir Cikgu E buat keluarga tersayang, masih tabah bertarung kanser

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami menangis siapa nak peluk?', solidariti terhadap pejuang kanser ajar besarnya erti persahabatan

“Ketika itu, usia saya baru 34 tahun dan tiada sejarah kanser dalam keluarga.

"Saya menerima ujian ini sebagai ketentuan ALLAH SWT,” katanya.

Beliau yang ketika itu bertugas sebagai penjawat awam di luar negara mengambil cuti perubatan dan menjalani pembedahan di Institut Kanser Negara pada Januari 2017.

Menurut Juliana, tindakan pantas itu menyebabkan kemoterapi tidak diwajibkan, namun beliau memilih untuk meneruskan rawatan sebagai langkah berjaga-jaga dan menjalani enam kitaran kemoterapi sehingga Julai 2017.

Selepas tamat rawatan dan menjalani pemeriksaan susulan termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT) yang menunjukkan keputusan positif, Juliana dan suaminya, Fariq Azwar Salehuddin, 44, meneruskan ikhtiar mendapatkan zuriat melalui rawatan kesuburan.

Pasangan itu menjalani empat kitaran inseminasi intrauterin di Hospital Putrajaya sebelum dirujuk ke HCTM untuk rawatan persenyawaan in vitro (IVF) bermula Mei 2020 di bawah seliaan pakar reproduktif dan onkofertiliti, Profesor Madya Dr Mohd Faizal Ahmad.

Beliau berkata, beberapa percubaan IVF terpaksa ditangguhkan atau gagal, termasuk kehamilan awal yang tidak berlanjutan, selain berdepan masalah folikel kosong serta pembedahan membuang polip sebanyak dua kali.

“Setiap kegagalan membuatkan saya tertanya-tanya apa lagi yang kurang, namun kami tidak pernah berputus asa,” katanya.

Selepas melalui tujuh kitaran IVF, Juliana akhirnya disahkan hamil pada Disember 2024 dan selamat melahirkan bayi perempuan pada usia kandungan 37 minggu lima hari melalui pembedahan elektif.

Mengimbas kejayaan itu, Juliana menyifatkannya sebagai The Magnificent Seven, merujuk pada percubaan ketujuh IVF yang berjaya walaupun proses pengambilan telur terpaksa dilanjutkan sehingga hari ke-32.

Sepanjang kehamilan, beliau memilih untuk merahsiakan khabar gembira itu dan mematuhi sepenuhnya pelan rawatan yang ditetapkan oleh doktor.

Juliana turut berpesan buat pasangan yang berdepan kesukaran mendapatkan zuriat agar mementingkan saringan awal, rawatan perubatan yang betul dan penjagaan kesihatan fizikal serta emosi.

“Jangan malu berjumpa doktor dan elakkan mendapatkan nasihat daripada individu tidak bertauliah. Ikhtiar serta doa perlu seiring,” kongsinya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram