[VIDEO] Bukan untuk diri sendiri, 'rescuer' wanita sanggup beli rumah mewah lengkap taman untuk kegunaan pemulihan kucing terbiar


  • Maya
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Wendy sanggup membeli rumah mewah demi memberi kehidupan lebih selesa buat si bulus.

DEMI kasih sayang terhadap haiwan terbiar, seorang wanita berusia 63 tahun sanggup membeli sebuah rumah mewah dua tingkat seluas 5,000 kaki persegi khusus untuk menempatkan lebih 30 ekor kucing jalanan yang diselamatkannya.

Wanita itu, Wendy yang juga merupakan pengasas Holistic Adoption Service, Lingy Pet Adoption berkata, inisiatif itu diambil untuk memastikan haiwan-haiwan terbiar itu mendapat kehidupan yang lebih baik.

“Saya tak menyewa, saya membeli rumah ini. Tetapi bukan untuk saya tinggal kerana rumah ini milik kucing-kucing saya,” kata Wendy ketika ditanya oleh seorang pelawat mengenai rumah tersebut.

BACA LAGI: Dua beradik lemas main tepi kolam ikan, ibu leka masak di dapur terkilan hanya dapat pangku jasad anak di Sumatera Barat

BACA LAGI: 'Emak nazak di ruang tamu kerana tiada hospital terima', wanita di Johor buntu status warganegara ibu tak diiktiraf

Wendy berkata, rumah berkenaan telah didiami oleh kucing-kucing jalanan itu sejak lebih setahun lalu dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bilik kuarantin, bilik anak kucing, bilik khas untuk kucing tua serta ruang indoor dan outdoor yang ‘cat-proof’.

"Saya seorang penyelamat haiwan. Saya percaya setiap kucing yang diselamatkan perlu diberi ruang yang selamat untuk pulih sebelum mencari rumah kekal," jelasnya.

Wendy berkata, kucing-kucing di rumah itu bebas bergerak ke seluruh kawasan termasuk ke taman yang direka khas bagi keselamatan mereka. 

Rumah tersebut juga dipasang dengan jaring keselamatan pada setiap tingkap dan pintu untuk mengelakkan sebarang risiko.

"Mereka boleh bersantai di taman, berjemur pada waktu pagi atau sekadar memerhati burung. Semuanya selamat dan terkawal,” kata Wendy.

Selain menyediakan ruang tinggal yang selesa, Wendy turut menitikberatkan aspek pemakanan.

"Kucing-kucing ini pernah ditinggalkan, kelaparan dan sakit. Untuk bantu mereka pulih, saya beri makanan yang berkualiti tinggi iaitu yang lebih baik daripada makanan biasa,” katanya sambil menunjukkan seekor kucing bernama Elise yang ditemuinya dalam keadaan kurus dan lemah.

Walaupun komited dalam kerja-kerja penyelamatan, Wendy masih bekerja sepenuh masa untuk menampung semua penjagaan haiwan tersebut.

"Saya bukan pencen, saya masih bekerja. Tetapi ini jiwa saya. Menyelamatkan mereka, memberi mereka peluang kedua... itulah kepuasan sebenar," katanya.

Menurut Wendy, semua kucing yang berada di pusat itu suatu ketika dahulu berada dalam keadaan kritikal iaitu ditinggalkan di apartmen, dibuang di jalanan atau diselamatkan daripada keadaan menyayat hati.

"Saya tidak perlukan apa-apa balasan. Cukuplah mereka dapat hidup semula dengan tenang, sihat, dan bahagia," tambah Wendy.  Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di  TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel  dan  Telegram