Hijab sebagai identiti, kenali gaya tudung muslimah 6 negara


  • Gaya
  • Ahad, 21 Sep 2025

Stail hijab Feyza Basar dari Tukiye (kiri), Fazura dan bintang Indonesia, Syahrini. — Instagram

GAYA hijab hari ini ada beraneka ragam, menjadi 'mahkota' muslimah di pelbagai negara.

Cara pemakaiannya berbeza mengikut budaya, tradisi dan suasana setempat, menjadikan hijab atau tudung bukan sahaja penutup aurat, tetapi juga cerminan identiti serta kreativiti wanita.

Kepelbagaian gaya ini menunjukkan bagaimana hijab mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran tanpa menghilangkan makna asalnya.

BACA LAGI: Hos TV tak kisah belanja lebih RM328,000 sambut kelahiran anak sulung, nyawa isteri, bayi pramatang lebih penting

BACA LAGI: Sakit sendi, berpeluh malam antara 20 simptom fasa menopaus dialami wanita Malaysia, anda kategori mana?

Berikut enam gaya tudung di beberapa negara yang menjadi identiti:

Awning bagi gaya hijab Malaysia lebih kecil berbanding Indonesia. — Instagram/@missfazura

1. Malaysia

DI Malaysia, tudung bawal semakin mendapat tempat selepas lama masyarakat menggemari shawl kerana variasi gaya yang boleh dihasilkan.

Kini, bawal menjadi pilihan kerana lebih mudah dipakai dan memberi keselesaan sepanjang hari selain memberi peluang kepada penggemar fesyen untuk bereksperimen.

Pemakaiannya biasanya dililit kemas di kepala, disilangkan di leher dan diikat di belakang, menjadikan wajah tampak lebih terletak.

Selain itu, pilihan warna neutral seperti krim, kelabu dan coklat muda sering digemari kerana mudah dipadankan dengan apa jua pakaian.

Gaya hijab Indonesia kekal anggun dengan awning muncung yang luas. — Instagram/@dianpelangi

2. Indonesia

Di Indonesia, tudung awning pernah sinonim dengan struktur keras yang membentuk bulatan di kepala.

Sebaliknya, gaya terkini lebih lembut tetapi tetap mengekalkan muncung yang luas memperlihatkan sedikit anak tudung di dalam.

Tudung segi empat biasanya dipadankan dengan inner, dilipat kemas di dahi dan dipin di bawah dagu untuk menghasilkan penampilan rapi dan sopan.

 Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah antara kerabat diraja Brunei yang sinonim dengan gaya tudung di negara itu. — Gambar hiasan/Agensi

3. Brunei

Wanita di brunei banyak memilih tudung bawal untuk penampilan harian dan juga majlis rasmi.

Tudung biasanya dilipat sehingga menutup sebahagian dahi, kemudian dipinkan kemas di bawah dagu.

Potongan labuh ke hadapan menutupi dada, manakala bahagian hujung kain dijatuhkan di bahu.

Hiasan tambahan seperti brooch di tengah dada dan perincian sulam di keliling tudung menambah ciri elegan serta sesuai digayakan pada majlis rasmi atau acara tradisional.

Gaya hijab Turkiye lebih relaks dengan gaya lilitan bersahaja. — Gambar hiasan/Agensi

4. Turkiye

Di Turkiye, shawl dilipat terlebih dahulu bagi mendapatkan awning yang sedikit tajam dan kecil.

emudian dililit rapi, disilangkan ke leher dan diikat kemas di belakang.

Gaya ini sering dipadankan dengan trench coat atau busana bergaya Barat, menjadikannya sesuai untuk suasana bandar moden seperti Istanbul.

Wanita di Kyrgyzstan sering dilihat menggayakan tudung dengan anak tudung menutup sebahagian dahi mereka. — Gambar hiasan/Agensi

5. Kyrgyzstan

Gaya tudung wanita di Kyrgyzstan sering menekankan kesederhanaan dan praktikaliti.

Selendang panjang biasanya dipadankan dengan anak tudung putih atau hitam yang menutup penuh bahagian dahi, sekali gus membentuk rupa bulat dan kemas di bahagian kepala.

Ada juga anak tudung yang berbentuk silang. Helaian tudung dililit atas kepala atau keliling tengkuk dan lebihan tudung dibawa ke hadapan. 

6. Somalia

Wanita Somalia cenderung memilih gaya drape yang sederhana dan mudah digayakan.

Tudung biasanya dililit secara asimetri, dengan satu sisi dibawa ke depan menutupi dada manakala sisi lain dibiarkan longgar di bahu.

Cara ini tidak memerlukan banyak pin dan memberi ruang pergerakan yang lebih bebas.

Setiap negara mempunyai gaya tudung tersendiri, dipengaruhi oleh budaya, iklim dan cita rasa fesyen semasa.

Dari gaya ringkas Somalia hingga lilitan mewah Brunei, kepelbagaian ini menunjukkan bahawa tudung hijab bukan sekadar simbol agama, tetapi juga medium kreativiti dan keyakinan diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram