[VIDEO] Hamil 7 bulan tak halang polis wanita sertai pertandingan, raih gangsa angkat berat 145kg


  • Sukses
  • Jumaat, 31 Okt 2025

Sonika bersama anak lelakinya (gambar kiri) bersama pingat gangsa yang dimenangi dalam All India Police Weightlifting Cluster 2025-26. — Agensi

 

 

SEORANG anggota polis dari Delhi, India yang sedang hamil tujuh bulan, mencuri perhatian masyarakat selepas memenangi pingat gangsa di All India Police Weightlifting Cluster 2025-26 di Andhra Pradesh pada 17 Oktober lalu.

Bersaing dengan atlet terkemuka, Sonika Yadav, 30, berjaya mengangkat jumlah keseluruhan 145 kilogram (kg), termasuk 125kg dalam squats, 80kg (bench press) dan 145kg (deadlift).

Kejayaannya bukan sahaja mencatat rekod peribadi, tetapi juga menginspirasikan ramai wanita dan atlet di seluruh negara.

BACA LAGI: Senam angkat berat boleh bantu kuatkan tulang wanita hampiri fasa menopaus

BACA LAGI: [VIDEO] Atlet angkat berat remaja perempuan India maut patah tengkuk dihempap barbel 270kg

Apabila mengetahui dirinya hamil pada Mei lalu, ramai menjangkakan beliau akan menangguhkan latihan.

Meski pada awalnya ragu-ragu, Sonika tetap memilih untuk meneruskan rutin angkat beratnya dengan pemantauan rapi, bertekad untuk mengekalkan kecergasan dan minat terhadap sukan itu.

“Ini bukan sekadar angkatan biasa. Saya sedang bersiap untuk kejohanan dan apabila dapat tahu hamil, tertanya-tanya sama ada masih boleh bertanding, tetapi kemudian saya rasa ini memang takdir,” katanya.

Beliau kembali ke gimnasium dan meneruskan latihan dengan teknik yang diperbaharui serta memakai tali pinggang khas, sebelum akhirnya bertanding dalam kategori 84+kg kerana tidak lagi layak dalam kategori 69kg.

Pun begitu, Sonika menegaskan, keselamatan bayinya masih menjadi keutamaan.

“Saya tidak akan meletakkan bayi dalam sebarang bahaya. Hanya apabila pakar ginekologi mengesahkan kami sihat untuk bertanding, barulah saya mengambil bahagian,” ujarnya.

Penyertaannya dalam kejohanan pada awalnya tidak disedari ramai kerana beliau mengenakan pakaian longgar bagi menyembunyikan kehamilan.

Malah ketika suaminya membantu selepas bench press, tiada seorang pun yang menyedari sesuatu yang luar biasa.

Kebenaran terbongkar hanya selepas percubaan deadlift terakhirnya, sehingga menimbulkan sorakan kagum daripada penonton.

Dalam persiapan menghadapi kejohanan, Sonika membuat kajian secara dalam talian dan mendapat inspirasi daripada seorang atlet angkat berat antarabangsa yang terkenal kerana bersaing semasa hamil, Lucy Martins.

Beliau turut menghubungi Lucy melalui Instagram untuk mendapatkan nasihat dan motivasi.

Sonika yang kini berkhidmat di Community Policing Cell pernah bertugas sebagai pegawai rondaan di kawasan Majnu Ka Tila, selain memainkan peranan penting dalam kempen kesedaran antidadah.

Komitmen dan pencapaiannya turut mendapat pengiktirafan sebelum ini.

Beliau pernah diraikan oleh Pesuruhjaya Polis Delhi pada 2022, manakala Menteri Persekutuan Smriti Irani memuji dedikasi dan keberaniannya sempena Hari Wanita.

Dalam acara Andhra Pradesh, penonton pada awalnya menyangka Sonika bertanding dalam kategori berat lain.

Namun, apabila deadlift 145kg membolehkan beliau menempatkan diri di podium, pendedahan tentang kehamilannya mengejutkan ramai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram