KEPUTUSAN untuk membina atau menambah ahli keluarga merupakan pilihan utama yang besar.
Bagi kebanyakan wanita apabila mencecah usia 40 tahun, persoalan utama yang sering muncul adalah, "Masihkah saya boleh hamil pada usia 40?"
Walaupun perkembangan teknologi reproduktif membolehkan lebih ramai wanita hamil pada usia ini, adalah penting untuk memahami cabaran dan risiko yang meningkat seiring pertambahan usia.
BACA LAGI: [VIDEO] Bakal jadi adik-beradik tiri seusia, Erra Fazira dan Mr E lega anak-anak perempuan serasi
BACA LAGI: 'Siapa ada nenek toksik?' Layanan berbeza antara cucu, bukan 'favorite' diminta bayar untuk makanan
Peluang hamil semakin menurun
Secara semula jadinya, kesuburan wanita akan merosot dengan ketara seiring peningkatan usia.
Meskipun kehamilan masih boleh berlaku tetapi peluangnya jauh lebih rendah berbanding ketika usia muda.
Satu kajian menunjukkan bahawa selepas enam bulan mencuba, hanya kira-kira 27.6 peratus wanita berusia 40–45 tahun berjaya hamil berbanding 62 peratus wanita berusia 28–30 tahun.
Selepas setahun mencuba, hanya 55.5 peratus bagi wanita 40–45 tahun, berbanding 79.3 peratus bagi wanita 25–27 tahun.
Ini bermakna, pada usia 40–45 tahun peluang untuk hamil hanya sekitar 40 peratus berbanding wanita di awal usia 20-an.
Kenapa kesuburan merosot?
Punca utama kemerosotan kesuburan selepas usia 40 tahun adalah disebabkan oleh dua faktor utama berkaitan telur:
1. Pengurangan kuantiti telur: Wanita dilahirkan dengan bilangan telur yang terhad. Bilangan ini mula menurun dengan pantas selepas kelahiran dengan penurunan yang lebih ketara sekitar usia 32 tahun dan semakin laju menjelang usia 37 tahun.
2. Penurunan kualiti telur: Bukan sahaja kuantiti berkurang, malah kualiti telur juga merosot. Pada usia 40-an telur lebih cenderung mempunyai isu kromosom, sekali gus menyukarkan proses persenyawaan embrio dan meningkatkan risiko keguguran.
Selain itu, perubahan hormon menjelang perimenopause (sekitar usia 47 tahun) boleh menyebabkan kitaran haid menjadi tidak menentu, sekali gus mengganggu ovulasi dan menyukarkan kehamilan.
Perubahan pada struktur dan fungsi lapisan rahim (endometrium) juga boleh menjadikannya kurang reseptif terhadap embrio yang disenyawakan.
Usia 40 tahun ke atas tingkatkan tiga kali ganda risiko keguguran. — Gambar hiasan
Kehamilan selepas usia 40 tahun datang dengan peningkatan risiko komplikasi yang ketara, baik kepada ibu mahupun bayi dalam kandungan.
Kesedaran terhadap risiko ini amat penting bagi wanita yang merancang untuk hamil:
1. Peningkatan risiko keguguran
Wanita yang hamil pada usia lebih 40 tahun mempunyai risiko keguguran lebih daripada tiga kali ganda berbanding wanita berusia 20-an dan awal 30-an.
Hal ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan kualiti telur yang membawa kepada masalah kromosom dan komplikasi kehamilan.
2. Kebarangkalian abnormaliti kromosom
Kualiti telur yang merosot seiring usia meningkatkan risiko abnormaliti kromosom pada bayi seperti Sindrom Down.
Apabila usia ibu meningkat, telur lebih terdedah kepada kesilapan semasa pembahagian sel.
3. Risiko kelahiran pramatang
Kajian mendapati bahawa wanita berusia 40 tahun ke atas mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk melahirkan bayi secara pramatang (sebelum 37 minggu kehamilan).
Komplikasi kesihatan seperti tekanan darah tinggi, penggunaan rawatan kesuburan atau masalah plasenta boleh menambah risiko ini.
4. Diabetes gestasi (kencing manis ketika hamil)
Wanita berusia lebih tua lebih cenderung menghidap diabetes gestasi (GDM).
Hal ini kerana keupayaan badan menguruskan glukosa akan menurun seiring usia.
GDM boleh membawa kepada komplikasi seperti kelahiran pramatang, janin stres dan bayi bersaiz besar.
5. Plasenta Previa
Risiko komplikasi seperti Plasenta Previa (kedudukan plasenta tidak normal, menghalang pintu rahim) juga meningkat bagi ibu berusia 40 tahun ke atas.
Keadaan ini sering kali memerlukan prosedur kelahiran secara pembedahan (Caesarean).
Kaedah menggandakan peluang hamil
Walaupun risikonya tinggi, banyak wanita berjaya hamil dan melahirkan anak yang sihat pada usia 40 tahun dengan penjagaan dan sokongan yang betul.
Beberapa langkah yang boleh diambil termasuk:
Pemeriksaan kesihatan reproduktif: Dapatkan pemeriksaan lengkap daripada doktor atau pakar kesuburan (terutamanya bagi wanita berusia lebih 40 tahun) untuk menilai simpanan telur, tahap hormon dan keadaan rahim.
Gaya hidup sihat: Amalkan diet sihat, seimbang, serta kekalkan berat badan yang ideal. Senaman secara sederhana juga disarankan.
Pengambilan suplemen: Suplemen seperti asid folik, melatonin dan myo-inositol terbukti membantu meningkatkan kesuburan. Sila dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang suplemen.
Rawatan bantuan reproduktif (ART): Bagi wanita yang menghadapi kesukaran, rawatan seperti Persenyawaan In-Vitro (IVF) atau Inseminasi Intrauterin (IUI) boleh menjadi pilihan. Pembekuan telur juga boleh dipertimbangkan.
Kehamilan pada usia 40 tahun adalah mungkin, namun ia memerlukan kesabaran, pemantauan kesihatan yang rapi dan kesediaan untuk mempertimbangkan bantuan perubatan jika perlu.
Penjagaan kesihatan yang lebih terperinci amat penting untuk memastikan kesejahteraan ibu dan bayi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
