Bapa tiri hidap kanser dorong Scott buat bisnes topi untuk pesakit jalani kemoterapi, kini sumbang lebih RM300 juta bantu wanita


  • Sukses
  • Sabtu, 01 Nov 2025

Bagi Scott, kegagalan menjadi titik tolak pada perjalanan luar biasa sebagai usahawan wanita berjaya di AS.

KETIKA kebanyakan mahasiswa sibuk menyesuaikan diri dengan kehidupan kolej, Kendra Scott berdepan ujian hidup yang jauh lebih besar.

Pada tahun pertama pengajian di kolej pada 1993, wanita kelahiran Wisconsin, Amerika Syarikat (AS) itu menerima khabar bapa tirinya, Robert Ricks menghidap kanser otak.

Tanpa berfikir panjang, Scott yang ketika itu berusia 19 tahun menangguhkan pengajiannya untuk menjaga bapa tiri dan ibunya di Austin, Texas.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya doa jadi muslimah yang baik, minta ALLAH buat saya takut', mimpi syurga dan neraka dorong Kilafairy berubah

BACA LAGI: Senam angkat berat boleh bantu kuatkan tulang wanita hampiri fasa menopaus

Scott (kanan) bersama mendiang bapa tirinya yang mati akibat kanser. kendrascott

Dalam tempoh itu, beliau menyalurkan minatnya terhadap fesyen ke arah sesuatu bermakna, yakni menghasilkan topi untuk pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi.

Hasilnya lahirlah The Hat Box, perniagaan kecil yang menjual topi bergaya untuk pesakit kanser.

Meskipun mendapat sambutan awal, perniagaan itu tidak bertahan lama.

Bagi Scott, kegagalan tersebut bukan pengakhiran, sebaliknya menjadi titik tolak pada perjalanan luar biasa sebagai usahawan wanita berjaya di AS.

“Bapa tiri saya disahkan menghidap kanser selepas berpindah ke Austin untuk bekerja di Dell, jadi saya membuat keputusan berhenti belajar dan bantu beliau serta ibu.

"Pada asalnya cadang nak sambung pelajaran di Universiti Texas, tetapi akhirnya saya menubuhkan The Hat Box hasil inspirasi daripada pengalaman beliau,” katanya.

Walaupun The Hat Box tidak mencapai kejayaan besar, ia membuka laluan baharu pada minat sebenar Scott.

Di kedai kecilnya di Highland Mall, beliau turut menjual beberapa barang kemas rekaannya dan itulah yang sebenarnya menarik perhatian pelanggan.

“Saya tidak sedar ketika itu, tetapi jawapan kepada masa depan saya sudah pun berada di depan mata,” ujarnya.

Scott turut memberi kembali kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan. — Instagram/kendrascottfoundation

Scott mengakui minatnya terhadap fesyen turut dipengaruhi oleh ibu saudaranya, pengarah fesyen di sebuah gedung terkenal dekat Milwaukee yang sering menghadiri pertunjukan fesyen di Milan dan Paris.

“Mak cik saya beritahu, walaupun datang dari bandar kecil di Wisconsin, fesyen mempunyai kuasa untuk mengubah diri kita.

"Ia boleh memberi keyakinan yang kita tidak tahu kita miliki,” katanya.

Selepas The Hat Box ditutup, pelanggan masih terus mencari barang kemas rekaannya.

Ketika hamil anak pertama pada umur 40 tahun, Scott mereka koleksi kecil di bilik tidur rumahnya dan pada Februari 2002, beliau secara rasmi menubuhkan jenama Kendra Scott.

Dengan anak kecil di sisi dan borang pesanan di tangan, beliau menjual hasil rekaannya dari satu butik ke butik lain di sekitar Austin.

“Saya tidak akan lupa pesanan pertama bernilai AS$2,500 (RM10,000) daripada sebuah butik di 35th Street.

"Saya pulang dan beritahu suami kita secara rasmi mempunyai perniagaan sendiri,” ceritanya lagi.

 

Scott menggayakan antara barangan kemas milik jenama Kendra Scott. — Instagram/kendrascott

Dua dekad kemudian, Kendra Scott berkembang menjadi empayar gaya hidup bernilai bilion dolar yang merangkumi barang kemas, hiasan rumah dan produk kecantikan, dijual di gedung-gedung ternama seperti Neiman Marcus, Nordstrom dan Selfridges London.

Tidak hanya berfokus pada keuntungan, Scott turut memberi kembali kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan antaranya penubuhan Kendra Scott Women’s Entrepreneurial Leadership Institute di Universiti Texas.

“Saya mahu membina program yang bukan sekadar mengajar tentang perniagaan, tetapi kepimpinan dan cara membentuk minda keusahawanan, bagaimana seseorang boleh mengawal hidup, impian serta matlamatnya sendiri,” jelas Scott.

Menurutnya lagi, institusi itu bukan hanya untuk wanita, tetapi juga terbuka buat semua yang ingin belajar dan berkongsi idea dalam ruang selamat serta inklusif.

“Matlamat kami adalah mewujudkan persekitaran digerakkan wanita dan selesa untuk semua orang mengejar impian,” tuturnya.

"Kini, Kendra Scott mempunyai lebih 150 butik runcit dan menyumbang lebih A$70 juta (RM300 juta) kepada usaha membantu wanita dan belia," kata beliau. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram