Putus haid sebelum usia 40? Ramai masih tak tahu punca menopaus pramatang


  • Sihat
  • Sabtu, 17 Mei 2025

Kebiasaannya, wanita akan mengalami menopaus antara usia 45 hingga 55 tahun, bergantung kepada faktor genetik, kesihatan dan gaya hidup.— Gambar Hiasan/Janaan Ai

MENOPAUS atau putus haid merupakan satu fasa semula jadi dalam kehidupan wanita apabila kitaran haid berhenti sepenuhnya. 

Ia berlaku apabila ovari tidak lagi menghasilkan hormon estrogen dan progesteron yang diperlukan untuk proses reproduktif. 

Kebiasaannya, wanita akan mengalami menopaus antara usia 45 hingga 55 tahun, bergantung kepada faktor genetik, kesihatan dan gaya hidup.

BACA LAGI : Mitos dan info palsu vaksin antara cabaran lindungi warga emas, golongan dewasa

BACA LAGI : Jaga ibu bapa uzur, hidup lebih lama antara faktor wanita kurang 'saving' berbanding lelaki — Penasihat kewangan

Walaupun menopaus adalah tanda berakhirnya tempoh kesuburan, ia juga membawa risiko kesihatan lain seperti osteoporosis dan penyakit jantung jika tidak ditangani dengan betul.

Namun begitu, terdapat segelintir wanita yang mengalami menopaus lebih awal daripada jangkaan, iaitu sebelum usia 40 tahun. 

Keadaan ini dikenali sebagai menopaus pramatang, dan ia boleh berlaku akibat pelbagai faktor termasuk gaya hidup tidak sihat, rawatan perubatan tertentu, atau masalah kesihatan yang menjejaskan fungsi ovari. 

Beberapa faktor dikenal pasti memainkan peranan dalam mempercepatkan proses tersebut, sekali gus menjejaskan kesihatan fizikal dan emosi golongan wanita.

1. Faktor Genetik atau keturunan

Walaupun tiada gen tunggal yang dikenal pasti sebagai punca utama menopaus awal, gabungan faktor genetik yang kompleks boleh menyumbang kepada tempoh kesuburan. — Agensi/Gambar Hiasan

Faktor genetik memainkan peranan penting dalam menentukan bila seseorang wanita akan mengalami menopaus. Kajian menunjukkan bahawa sejarah keluarga boleh menjadi petunjuk kepada corak perubahan hormon dan fungsi reproduktif seseorang individu.

Sekiranya ibu atau saudara perempuan terdekat mengalami menopaus pada usia yang lebih awal daripada kebiasaan, risiko untuk wanita lain dalam keluarga itu turut mengalami situasi yang sama akan meningkat.

Kecenderungan ini berlaku kerana ciri-ciri genetik tertentu boleh diwarisi, termasuk yang mempengaruhi kadar penuaan ovari dan kestabilan hormon dalam badan.

Walaupun tiada gen tunggal yang dikenal pasti sebagai punca utama menopaus awal, gabungan faktor genetik yang kompleks boleh menyumbang kepada tempoh kesuburan yang lebih pendek bagi sesetengah wanita.

Dalam kes sebegini, walaupun gaya hidup sihat diamalkan, wanita tersebut mungkin tetap mengalami menopaus lebih awal berbanding purata usia biasa.

Namun begitu, pengetahuan tentang sejarah kesihatan keluarga ini boleh dimanfaatkan sebagai langkah pencegahan. Dengan menyedari risiko yang ada, wanita boleh menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala serta mengambil langkah-langkah proaktif untuk menjaga kesihatan reproduktif mereka.

Ini termasuk mengamalkan gaya hidup sihat, mengelakkan faktor risiko tambahan, dan berbincang dengan pakar sakit puan sekiranya terdapat sebarang perubahan awal pada kitaran haid.

2. Tabiat merokok

Nikotin yang terkandung dalam rokok  mengganggu penghasilan hormon estrogen yang penting dalam mengawal kitaran haid dan mengekalkan fungsi sistem reproduktif. — Gambar Hiasan/ Agensi 

Merokok telah lama dikaitkan dengan pelbagai kesan buruk terhadap kesihatan, termasuk kesuburan dan keseimbangan hormon wanita. 

Kajian menunjukkan bahawa bahan kimia berbahaya dalam rokok, khususnya nikotin, mampu mempercepatkan kerosakan pada tisu ovari. Kesan ini secara langsung mengganggu penghasilan hormon estrogen yang penting dalam mengawal kitaran haid dan mengekalkan fungsi sistem reproduktif.

Apabila penghasilan estrogen terganggu, fungsi ovari akan merosot dengan lebih cepat daripada biasa. Ini menyebabkan ovari berhenti berfungsi lebih awal, lalu mendorong berlakunya menopaus sebelum usia yang dijangkakan. 

Proses ini tidak berlaku secara tiba-tiba, tetapi berlaku secara beransur-ansur apabila tubuh gagal mengekalkan keseimbangan hormon akibat pendedahan berterusan terhadap bahan kimia dalam rokok.

Sebagai akibatnya, wanita yang merokok didapati cenderung mengalami menopaus satu hingga dua tahun lebih awal berbanding mereka yang tidak merokok.

3. Rawatan perubatan dan pembedahan

Pembedahan membuang ovari secara keseluruhan yang dilakukan atas sebab perubatan boleh mencetuskan menopaus dengan serta-merta. — Gambar Hiasan/ Agensi

Rawatan perubatan tertentu, khususnya kemoterapi dan radioterapi, sering kali digunakan dalam merawat penyakit seperti kanser. 

Namun, apabila rawatan ini melibatkan bahagian pelvis, ia boleh memberi kesan langsung terhadap fungsi ovari. 

Terapi radiasi yang disasarkan ke kawasan berdekatan organ reproduktif berpotensi merosakkan tisu ovari, sekali gus mengganggu penghasilan hormon estrogen dan progesteron yang penting untuk kesuburan.

Lebih drastik lagi, terdapat situasi di mana pembedahan membuang ovari secara keseluruhan, dikenali sebagai oophorectomy, perlu dilakukan atas sebab perubatan. 

Pembuangan kedua-dua ovari menyebabkan penghasilan hormon wanita terhenti serta-merta, sekali gus mencetuskan menopaus dengan serta-merta tanpa melalui proses semula jadi yang berperingkat. Ini dikenali sebagai menopaus akibat pembedahan dan sering kali disertai dengan gejala yang lebih ketara berbanding menopaus biasa.

4. Gaya Hidup dan penyakit tertentu

Wanita yang mengalami mempunyai berat badan yang terlalu rendah dan kadar lemak badan yang tidak mencukupi berisiko  haid terhenti lebih awal daripada usia yang sepatutnya. — Gambar Hiasan/Agensi

Wanita yang mengalami gangguan pemakanan seperti anoreksia atau bulimia lazimnya mempunyai berat badan yang terlalu rendah dan kadar lemak badan yang tidak mencukupi untuk menyokong penghasilan hormon estrogen. 

Kekurangan hormon ini mengganggu fungsi normal ovari dan boleh menyebabkan haid terhenti lebih awal daripada usia yang sepatutnya. Selain pemakanan, tekanan emosi yang berpanjangan, kurang tidur, dan gaya hidup yang tidak aktif turut memberi kesan terhadap kestabilan hormon dalam badan.

Keletihan mental dan fizikal yang berterusan menjadikan sistem reproduktif kurang efisien, lalu mengakibatkan putus haid berlaku sebelum waktunya.

Di samping itu, penyakit tertentu seperti gangguan autoimun turut dikenalpasti sebagai faktor penyumbang kepada menopaus pramatang. Penyakit seperti lupus atau tiroiditis autoimun menyebabkan sistem imun menyerang tisu sihat dalam badan, termasuk tisu ovari, yang mengakibatkan kerosakan dan kehilangan fungsi. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram