Alami menopaus tapi masih ada darah keluar, waspada anda mungkin ada simptom kanser rahim


  • Sihat
  • Khamis, 22 Ogos 2024

Wanita kebiasaannya mengalami simptom yang mengganggu kehidupan harian seperti kemurungan menjelang menopaus.

MENOPAUS bukan satu penyakit tetapi merupakan proses semula jadi dalam kehidupan seorang wanita, kata pakar perubatan, Dr Malar Santhi Santherasegapan.

Menopaus berlaku apabila kitaran haid berhenti sepenuhnya yang menandakan berakhirnya tempoh kesuburan wanita.

"Tempoh itu adalah satu lumrah kejadian Tuhan pada wanita iaitu masa di mana tubuh wanita sudah habis kebolehan untuk mengandung," katanya.

BACA LAGI: Sudah diisytiharkan darurat, kanak-kanak berisiko tinggi terkena mpox

BACA LAGI: Risiko terbakar, lemas antara punca ada negara haramkan 'baby walker', ibu bapa ambil tahu saranan pakar

WhatsApp Image 2024-08-20 at 2.04.46 PM

Kemurungan merupakan satu perkara yang berkemungkinan dialami oleh individu yang hampir menopaus.

Biasanya, menopaus berlaku pada usia sekitar 45 hingga 55 tahun, walaupun ada juga wanita yang mengalaminya lebih awal atau lebih lambat daripada umur itu.

Dr Malar berkata, tanda terjadinya menopaus bagi wanita yang berusia 50-an dan ke atas adalah apabila sudah 12 bulan berturut-turut tidak mengalami haid.

Bagi wanita yang berusia kurang daripada 50 tahun, tidak dapat haid selama 12 bulan berturut-turut menandakan mereka sah sudah menopaus.

"Kebanyakan wanita sebelum menopaus, mereka akan melalui fasa perimenopause iaitu waktu sebelum masuk menopaus.

"Ketika fasa ini, wanita mengalami haid yang tidak teratur, haid terlampau heavy ataupun keadaan di mana dalam tempoh tiga hingga empat bulan tidak datang haid tetapi selepas itu ada bulan yang datang haid kembali," katanya menerusi sebuah rakaman video di laman Facebook.

Tidak hanya itu, Dr Malar berkata, dalam fasa perimopaues, seorang wanita akan mengalami beberapa simptom yang mengganggu aktiviti harian.

"Contohnya macam cepat penat, sakit kepala, susah tidur malam atau rasa panas terutama di bahagian muka.

Lebih teruk apabila seseorang wanita mengalami simptom seakan-akan memiliki tanda kemurungan dan juga anxiety.

"Boleh ada mood swing yang teruk sehingga rasa nak menangis. Ini semua adalah berkaitan dengan perubahan hormon yang berlaku dalam jangka waktu ini yang memberikan simptom ataupun gejala perimenopause," katanya.

Dr Malar berkata, masih ramai golongan wanita yang takut untuk berhadapan dengan tempoh menopaus sehinggakan ada yang bertindak mengambil jamu.

"Kalau anda makan jamu dan terlihat darah keluar, itu bukan darah haid," katanya.

Tampil menjelaskan lanjut, Dr Malar berkata, itu adalah darah yang menandakan seseorang memiliki penyakit lain seperti kanser.

"Itu adalah darah penyakit disebabkan oleh kanser rahim, kanser serviks, kanser ovari ataupun macam-macam penyakit yang lain.

"Jadi, kalau turun darah lepas makan jamu maksudnya jamu itu ada hormon. Maksudnya jamu itu berbahaya," katanya.

WhatsApp Image 2024-08-20 at 2.03.04 PM

Darah yang keluar selepas menopaus mungkin menandakan seseorang berisiko mengalami kanser ovari, rahim atau serviks.

Dalam pada itu, Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Dr Norshida Brahim berkata, para wanita perlulah lebih memberi perhatian kepada fasa menopaus apabila sudah hampir berada di sekitar usia 40-an.

"Kena tahu sama ada kita perlu ambil rawatan ataupun tidak. Mereka patut pergi berjumpa dengan doktor kerana tidak semua simptom yang simple seperti mengalami kesukaran untuk tidur semata.

"Pendapat saya jika masih terkawal, tidak perlu buat apa-apa tetapi uruskan simptom terlebih dahulu. Apa yang saya boleh rekomenkan adalah mengubah gaya hidup anda," katanya.

Dr Norshida berkata, terdapat empat perubahan gaya hidup fasa perimonopause yang boleh dilakukan iaitu tidak mengambil pemakanan atau minuman yang manis, kurangkan pengambilan karbohidrat, mengambil protein yang berkualiti tinggi dan juga mengambil suplemen seperti Omega-3.

"Semua ini adalah proses yang mendorong kepada perubahan dalam gaya hidup yang sihat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram