[VIDEO] 'Bonding' Putera William, Putera George, turun padang sediakan makan tengah hari untuk golongan gelandangan


  • Bonda
  • Rabu, 24 Dis 2025

Putera Wales dan Putera George di dapur The Passage bersama ketua cef, Claudette dan ketua pegawai eksekutif badan kebajikan tersebut, Mick Clarke. — Agensi

PUTERA George menyertai bapanya, pewaris takhta Britain, Putera William melawat badan kebajikan gelandangan di pusat bandar London bagi membantu persiapan makan tengah hari sempena Krismas, sekali gus meneruskan tradisi kebajikan keluarga diraja Britain.

Lawatan itu menyaksikan Putera William membawa anak sulungnya berusia 12 tahun ke The Passage Charity, lebih tiga dekad selepas beliau sendiri pertama kali mengunjungi badan kebajikan berkenaan bersama ibunya, mendiang Puteri Diana.

Dalam suasana santai, bapa dan anak tersebut mengenakan apron ketika membantu menyediakan hidangan, dengan William menuangkan kubis Brussels ke dalam bekas ketuhar, manakala Putera George pula menyusun puding Yorkshire di atas dulang sebelum dimasak.

BACA LAGI: Seawal usia 12 tahun Putera George sudah dimaklumkan bakal jadi Raja England, sifat kepimpinan semakin terserlah

BACA LAGI: Putera William hargai pengorbanan 'pahlawan' wanita, pelindung, pejuang hidupan liar menerusi dokumentari khas

Menerusi satu video yang dimuat naik ke akaun YouTube Putera dan Puteri Wales pada Sabtu, kedua-duanya dilihat berinteraksi mesra dengan tetamu, menghias pokok Krismas serta membantu menyusun meja makan.

Sementara itu, satu hantaran di akaun X rasmi Putera dan Puteri Wales menyatakan rasa bangga dapat bersama sukarelawan dan kakitangan The Passage dalam menyediakan makan tengah hari Krismas.

Rakaman sama turut memaparkan William, 43, mengusap bahu ketua cef The Passage, Claudette Hawkins, sementara Putera George ketawa ceria ketika membantu menyediakan sayur-sayuran lain untuk hidangan panggang.

Putera Wales (kiri) dan Putera George bersama Brian dan Sarah, pengguna perkhidmatan The Passage di pusat London.

Lawatan ke pusat perlindungan di Victoria pada musim perayaan Krismas telah menjadi tradisi buat Putera Wales, selepas beliau turut membantu di lokasi sama pada 2023 dan 2024.

Lawatan pertamanya ke The Passage dibuat pada 1993 ketika beliau baru berusia 11 tahun.

Sebagai penaung diraja badan kebajikan itu, Putera William turut melaksanakan projek Homewards yang bertujuan membanteras isu gelandangan dalam semua bentuknya.

Tahun lalu, beliau berkongsi dalam dokumentari ITV1 bertajuk Prince William: We Can End Homelessness mengenai kesan mendalam lawatan pertamanya ke The Passage terhadap pandangan hidupnya.

Menurut William, pengalaman itu membuka matanya tentang realiti kehidupan golongan gelandangan, yang disifatkan bukan sahaja mencabar, malah penuh dengan nilai kemanusiaan dan keceriaan yang tidak disangka. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram