Tawaran insentif ke gim, subsidi minuman protein tarik minat ahli bina badan Gen Z jadi penjaga warga emas


  • Bonda
  • Rabu, 24 Dis 2025

Sepanjang dua tahun menjaga, Usui (kiri) dan Yamaguchi membina persahabatan istimewa. — Agensi

KRISIS kekurangan tenaga kerja dalam sektor penjagaan di Jepun mendorong pendekatan luar biasa apabila golongan ahli bina badan muda kini tampil membantu mengisi kekosongan dalam industri itu.

Inisiatif itu muncul ketika Jepun berdepan cabaran besar akibat populasi menua, antara yang tertua di dunia.

Selama bertahun-tahun, stereotaip jantina dan gaji rendah menyebabkan ramai lelaki muda Jepun menjauhkan diri daripada kerjaya sebagai penjaga, walaupun permintaan terus meningkat.

BACA LAGI: Menantu ajar cara menaip, nenek 90 tahun berjaya genggam ijazah bidang sastera Inggeris

BACA LAGI: Wanita warga emas Jepun digalakkan bersolek, jaga kulit, terapi jiwa positif lawan penyakit

Namun sebuah syarikat tempatan, Visionary menemukan formula berbeza dengan menawarkan insentif unik termasuk masa ke gimnasium berbayar dan subsidi minuman protein bagi menarik minat ahli bina badan menyertai industri tersebut.

Ahli bina badan bernama Takuya Usui mengakui, beliau sebelum ini tidak berminat langsung untuk menceburi bidang tersebut.

"Namun apabila diberitahu kekuatan fizikal saya boleh dimanfaatkan dalam kerja ini, saya fikir tidak salah untuk mencubanya," kata bekas jurulatih kecergasan itu.

Memakai baju tanpa lengan yang menampakkan otot bisepnya, Usui dengan mudah mengangkat Madoka Yamaguchi, 65, dari katil ke kerusi roda, selain membantu dalam urusan makan, kebersihan diri dan rawatan harian.

Yamaguchi yang tidak dapat menggerakkan anggota badannya berkata, kehadiran penjaga bertubuh sasa memberinya rasa selamat.

"Dia sangat berotot, jadi tidak perlu risau dia akan terlepas atau menjatuhkan saya dan rasanya lebih tenang sekarang," katanya.

Industri penjagaan Jepun kini berdepan kekurangan tenaga kerja yang kritikal, dengan hampir empat kekosongan jawatan bagi setiap pencari kerja.

Kementerian Buruh Jepun menganggarkan negara itu akan kekurangan sekitar 570,000 penjaga menjelang 2040, didorong oleh gaji rendah yang tidak setimpal dengan tuntutan fizikal pekerjaan tersebut.

Data kementerian menunjukkan lebih 70 peratus jawatan penjagaan diisi wanita, kebanyakannya berusia 40 tahun ke atas, manakala penyertaan lelaki masih rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Visionary, Yusuke Niwa, 40, berkata, pengalaman awalnya sebagai penjaga hampir dua dekad lalu membuka mata tentang keperluan menjadikan profesion itu lebih menarik kepada lelaki muda.

“Ketika itu saya sangat menonjol kerana lelaki dan masih muda,” kongsinya.

Menurut Niwa, elemen ‘kelihatan hebat’ menjadi kunci untuk menarik minat golongan muda, sebelum akhirnya memilih ahli bina badan sebagai sasaran utama pengambilan pekerja.

Usui dengan mudah mengangkat Madoka Yamaguchi, 65, dari katil ke kerusi roda. — Agensi

Kempen

Pada 2018, Visionary melancarkan kempen 'Macho Caregivers' bagi menghapuskan stigma terhadap industri penjagaan.

Hasilnya, permohonan kerja meningkat mendadak, termasuk daripada lelaki muda.

Kini, Visionary menjangkakan jualan tahunan mencecah 2.2 bilion yen (RM57 juta) bagi tahun fiskal berakhir Mac 2026, hampir 10 kali ganda berbanding tempoh sebelum 2018.

Walaupun kebanyakan rekrut baharu hanyalah peminat kecergasan biasa, faedah paling menarik seperti dua jam latihan angkat berat berbayar setiap hari dikhaskan kepada kumpulan kecil ahli bina badan kompetitif.

Antaranya ialah bekas anggota Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun, Hokuto Tatsumi, 27.

“Ini persekitaran kerja paling mesra otot yang boleh dibayangkan.

"Disiplin latihan dan diet ketat membantu membentuk ketahanan mental yang berguna dalam kerja penjagaan harian," jelas beliau.

Di Jepun, keperluan menjaga ahli keluarga uzur memaksa kira-kira 100,000 orang berhenti kerja setiap tahun, manakala 300,000 lagi dijangka terpaksa mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab penjagaan menjelang 2030.

Niwa menyifatkan keadaan itu sebagai satu kerugian besar kepada tenaga kerja negara, sambil menegaskan industri penjagaan perlu memainkan peranan lebih aktif.

Sepanjang dua tahun lalu, Usui dan Yamaguchi membina persahabatan istimewa.

Bagi Usui, walaupun motivasi awalnya menyertai sektor itu adalah untuk membina otot, pengalaman menjaga insan lain membuka perspektif baharu.

“Saya sedar kerja penjagaan jauh lebih mendalam daripada apa yang kelihatan pada zahirnya,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram