'Selamba hisap vape di tempat dilarang', Farahdhiya lega vape bakal diharamkan tahun depan


  • Sihat
  • Selasa, 23 Dis 2025

Farahdhiya menyeru masyarakat supaya lebih peka dan menghormati ruang awam serta kesihatan orang lain.

PELAKON dan penyanyi Farahdhiya menyuarakan sokongan penuh terhadap cadangan pengharaman penggunaan rokok elektronik atau vape di negara ini, yang disasarkan untuk dilaksanakan sepenuhnya pada tahun depan.

Menerusi hantaran di aplikasi Threads miliknya, pemilik nama sebenar Farah Dhiya Mohamed Amin, 41, itu meluahkan rasa gembira selepas mendengar perancangan kerajaan untuk mengharamkan vape.

Beliau turut menyifatkan tabiat menghisap vape di tempat awam sebagai tidak beradab dan tidak menghormati orang sekeliling.

BACA LAGI: Kerajaan pertimbang haram jual, guna 'vape' di seluruh negara

BACA LAGI: Singapura pertahan keputusan 'haramkan' vape, jauh lebih awal berbanding Malaysia

"Walaupun vape tidak busuk macam rokok, kebanyakan orang selamba saja hisap vape sembunyi-sembunyi walaupun tempat dilarang.

"Ia sangat tidak menghormati orang lain, terutamanya apabila dilakukan di hadapan orang ramai kerana ada individu yang tidak boleh terdedah pada asap vape atau mempunyai alahan,” katanya.

Farahdhiya turut menegaskan, perkara sama juga terpakai kepada perokok rokok biasa, selain mengingatkan bahawa kesan asap rokok terhadap orang sekeliling tidak boleh dipandang ringan.

“Anda mahu sakit itu urusan anda, tetapi tolong ada empati terhadap kesannya kepada orang lain.

"Asap rokok termasuk asap terpakai, boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya lebih peka dan menghormati ruang awam serta kesihatan orang lain.

Pelantun lagu popular Bertakhta Di Hati itu turut menggesa orang ramai mendapatkan maklumat mengenai bahaya asap rokok dan vape terhadap individu di sekeliling.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan larangan penuh penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negara selewat-lewatnya pada 2026.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan untuk mengharamkan vape bukan lagi persoalan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya melibatkan penentuan masa paling sesuai bagi pelaksanaannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram