Anggap macam famili, pemilik kucing sanggup ubah suai rumah demi 11 ekor 'majikan'


  • Hobi
  • Isnin, 01 Sep 2025

Pengudaraan yang baik juga menjadi keutamaan Rashidi ketika mengubah suai rumah khas untuk 11 kucing peliharaannya.

 

 

WALAUPUN ramai yang cintakan haiwan bernama kucing, tapi tidak ramai yang sanggup berusaha lebih untuk membina sebuah rumah istimewa buat haiwan tersebut.

Namun, itulah yang dilakukan oleh Ahmad Rashidi Abdul Rashid, 30, yang telah membina sebuah "rumah purr-fect" untuk 11 ekor kucingnya.

Menurutnya, semuanya bermula ketika pandemik Covid-19. Ketika PKP beliau menyedari sesuatu yang menyayat hati iaitu kucing jalanan kelaparan. Tanpa gerai makan atau pasar, haiwan-haiwan ini tidak mempunyai tempat untuk mendapatkan makanan.

 

 

Bagi Rashidi kucing bukan sahaja haiwan peliharaan, mereka adalah keluarga.

Jadi Rashidi mula membeli makanan kering dan membawanya untuk memberi makan kepada kucing-kucing tersebut.

“Tak lama kemudian, semakin banyak kucing mula muncul. Saya memuat naik tentang perkara ini di media sosial dan sambutannya sangat menggalakkan.

“Ramai yang mula membantu di kawasan masing-masing. Ada juga yang menghantar sumbangan, dan saya salurkan kepada sukarelawan yang memberi makan kepada kucing jalanan di tempat lain,” katanya.

Ahmad Rashidi kemudian mula membawa sebahagian kucing tersebut pulang ke rumah, dan jumlah mereka semakin bertambah dan menjadikan kawasan belakang dapur rumahnya sebagai rumah khas haiwan comel itu.

Rashidi video di TikTok dan YouTube tentang susun atur bilik kucing dan rumah kucing DIY.

Perancangan Ruang

Usahawan dari Kuantan, Pahang itu mengambil masa berbulan-bulan untuk membuat penyelidikan dan menonton berpuluh-puluh video di TikTok dan YouTube tentang susun atur bilik kucing dan rumah kucing DIY.

“Saya mahukan sebuah rumah yang bersih, selesa, dan direka dengan teliti agar kucing-kucing saya boleh berehat, bermain dan hidup dengan selesa. Pengudaraan merupakan antara perkara utama yang diberi keutamaan.

“Ruang itu perlu sejuk, beraliran udara baik dan bebas bau. Saya merancang kawasan yang berasingan untuk makan dan membuang. Kawasan makan di bahagian lebih tinggi dan kotak pasir di bawah bertujuan untuk kebersihan.”

Seterusnya ialah ruang bermain dan bersenam, kucing sememangnya aktif dan penuh rasa ingin tahu. Jadi diciptanya sebuah struktur untuk dipanjat, rak dan pelantar untuk merangsang mereka.

“Ada juga ruang lantai yang luas untuk mereka bersantai serta sudut peribadi untuk mereka menyendiri bila perlu,”ujarnya.

Rumah kucing ini dibahagikan kepada dua zon utama. Zon pertama ialah ruang utiliti yang teratur, lengkap dengan semua keperluan rumah yang mempunyai banyak kucing seperti, stok makanan kering, pasir dan ubat-ubatan dan sebagainya.

Ia turut dilengkapi dengan bangku kerja kayu buatan khas dengan rak terbuka. Zon kedua pula adalah sebuah “kerajaan kucing”. Ruang tersebut adalah rekaan sepenuh oleh Rashidi untuk keluarga berbulunya tinggal, bermain dan berehat.

Setiap inci bilik dioptimumkan untuk memenuhi keperluan kucing daripada ruang tinggi untuk dipanjat hingga ke sudut selesa untuk tidur.

Selain itu, kucing secara semula jadi tertarik kepada tempat tinggi, jadi laluan dinding dan pelantar tinggi memberi kedudukan "wilayah menegak" untuk mereka teroka. Ia turut membantu memastikan mereka kekal aktif secara fizikal dan dirangsang secara mental.

“Tak ada lagi kucing bosan yang berjalan ke sana, ke mari tanpa arah. Di sini, mereka melompat, memanjat dan bersantai seperti raja,” kongsinya.

Untuk saat-saat apabila ada kucing yang kurang sihat atau perlukan privasi, terdapat sebuah kurungan pengasingan khas sebagai ruang perlindungan.

Pengudaraan dan kebolehpercayaan juga menjadi keutamaan. Dinding yang memisahkan dapur dengan rumah kucing mempunyai pintu besi berjeriji dan panel cermin dua hala.

Cermin itu berfungsi untuk dia memantau kucing tanpa perlu masuk ke ruang itu. Untuk memastikan persekitaran yang sihat, bilik tersebut dilengkapi dengan sistem aliran udara yang menyeluruh termasuk tingkap yang boleh dibuka, kipas, dan penapis udara.

Sistem tersebut menjadikan ruang itu bebas bau dan selesa, walaupun menempatkan 11 ekor kucing. Apa yang menjadikan inovasi ini luar biasa bukan sekadar estetik atau fungsi tetapi niat di sebaliknya.

“Saya cuma nak mereka gembira dan selesa. Mereka bukan sekadar haiwan peliharaan tapi sebahagian daripada keluarga,” katanya.

Dalam masa sama, dia turut mengupah seorang tukang kampung untuk menjalankan kerja pembinaan utama, termasuk meluaskan kawasan di belakang dapurnya.

Kemudian, beliau mendapatkan sendiri bahan-bahan untuk membina struktur dalaman rumah kucing itu.

Ruang pemisah antara dapur dan bilik kucing memudahkan Rashidi memantau Si Comel.

Kucing yang Membina Perniagaan

Apa yang ramai orang tidak tahu ialah, apabila salah seekor British Shorthair dan melahirkan empat anak kucing, Rashidi menggunakan anak-anak kucing tersebut sebagai bahan promosi perniagaan dalam talian yang menjual suplemen kesihatan kucing dan hasil jualan dijadikan sebagai modal menyara diri dan 11 ekor kucingnya.

“Saya mulakan secara kecil-kecilan kemudian saya sedar setiap kucing saya ada isu kesihatan yang berbeza. Jadi saya mula buat penyelidikan dan membangunkan campuran kibbles sendiri mengikut keperluan pemakanan mereka.”

“Saya kongsikan tentang perkara ini di media sosial dan ramai pencinta kucing lain berkata mereka juga mahu pilihan makanan yang lebih sihat untuk haiwan peliharaan mereka, tapi sukar atau mahal untuk campur makanan dalam pek besar secara sendiri. Dari situlah lahirnya Mix Kibble, yang kini saya jual secara dalam talian,” kongsinya.

Empat tahun berlalu dan perniagaan tersebut telah menyara diri dan kucing-kucingnya dan disebabkan itu, Rashidi mampu bina rumah mereka.

Malah merasakan satu kitaran yang lengkap. Kucing memberi inspirasi kepada perniagaan, dan perniagaan memberi kemampuan untuk memberi mereka kehidupan yang lebih baik.— The Star/MING TEOH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram