MBPP guna pakai dasar mesra haiwan peliharaan di premis makanan di Pulau Pinang


  • Bisnes
  • Selasa, 23 Dis 2025

Melihat minat pengunjung mencetuskan idea buat pengusaha kafe untuk menggabungkan elemen pendidikan dengan pengalaman menjamu selera. — The Star/ LIM BENG TATT

LEBIH 20 kafe dan restoran di Pulau Pinang yang membenarkan kehadiran haiwan peliharaan mendorong Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggubal dasar khas berkaitan premis makanan mesra haiwan.

Polisi itu tidak sama dengan peraturan kebersihan makanan Persekutuan yang melarang haiwan berada di restoran.

Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang yang juga Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam majlis itu berkata, pihak berkuasa tempatan berkenaan merupakan yang pertama di negara ini mengguna pakai dasar mesra haiwan bagi premis makanan.

BACA LAGI: 'Petak parkir bukan kawasan niaga', MBIP tegaskan Pasar Lambak Perling tidak diluluskan

BACA LAGI: Jualan carboot di Kota Damansara pikat 'collectors', penggemar barang 'preloved'

Pet-friendly cafe operators on Penang island, being allowed to house animals on their premises, are treading a fine line between drawing their fans and managing potential legal risks in Lebuh Campbell.( December 20, 2025 ) — LIM BENG TATT/The Star

Haiwan peliharaan daripada spesies reptilia eksotik dipamerkan di sebuah kafe di Lebuh Campbell. — LIM BENG TATT/The Star

Ketika ini, dasar tersebut hanya terpakai kepada premis makanan di Pulau Pinang, manakala tiada dasar seumpamanya bagi premis di Seberang Perai.

“Pengusaha kafe mesra haiwan perlu memaparkan notis yang memaklumkan bahawa haiwan dibenarkan, supaya individu yang mempunyai alahan atau takut kepada haiwan boleh mengelakkan premis tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Peraturan 8(1)(c) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang diwartakan di bawah Akta Makanan 1983 memperuntukkan bahawa, “pemunya, pemilik atau penghuni premis makanan hendaklah mempamerkan dengan jelas satu notis di pintu masuk premis makanan yang melarang mana-mana individu membawa sebarang haiwan ke dalam premis makanan.”

Kegagalan mematuhi peruntukan itu boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Tan berkata, MBPP telah meluluskan satu kertas kerja pada Mac lalu yang membenarkan haiwan dibawa masuk ke premis makanan, walaupun perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang masih diteruskan bagi menangani percanggahan dengan peruntukan di bawah Akta Makanan.

“Buat masa ini, premis makanan mesra haiwan beroperasi di bawah lesen kafe biasa, dengan pengusaha membuat pengisytiharan sendiri sebagai premis mesra haiwan.

“Dari sudut pihak majlis, tiada isu selagi keperluan kebersihan dan keselamatan dipatuhi. Kami masih berunding dengan Kementerian Kesihatan dan meneliti perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya.

Selain premis makanan, Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Pulau Pinang (SPCA) turut menyenaraikan kira-kira 10 penyedia penginapan di laman webnya yang membenarkan haiwan peliharaan.

Pusat beli-belah Gurney Paragon Mall pula membenarkan haiwan peliharaan pada hari Selasa dan Rabu, tertakluk kepada syarat termasuk haiwan perlu sentiasa didukung, memakai lampin haiwan dan menggunakan lif yang dikhaskan.

Awal bulan ini, sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang mengumumkan dasar mesra haiwan, namun kerajaan Selangor mengarahkan pelaksanaan dasar itu dihentikan susulan kritikan orang ramai.

Di Pulau Pinang, pemilik kafe, Jarren Tan, 38, yang mengendalikan dua cawangan di Lebuh Campbell berkata, pengenalan haiwan peliharaan di premisnya pada 2023 adalah sebahagian daripada perancangan mewujudkan mini zoo, sebelum berkembang menjadi satu konsep santapan.

“Sebahagian haiwan bermula sebagai haiwan peliharaan, tetapi apabila ia membesar, kami memerlukan ruang yang lebih besar.

“Melihat minat pengunjung mencetuskan idea untuk menggabungkan elemen pendidikan dengan pengalaman menjamu selera. Kami mahu membantu mengubah salah faham terhadap haiwan tertentu, termasuk reptilia eksotik,” katanya.

Menurut Tan, salah sebuah kafenya menempatkan reptilia, serangga dan mamalia kecil dalam kurungan di sebuah bangunan tiga tingkat, dengan kawasan menjamu selera diasingkan.

Di cawangan satu lagi, pengunjung boleh berinteraksi dengan lebih 20 ekor anjing dachshund berbulu panjang. Notis dipaparkan di pintu masuk dan pelanggan dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran haiwan.

“Kawasan penyediaan makanan diasingkan sepenuhnya dan kakitangan dapur tidak mengendalikan haiwan.

“Penjaga khas ditugaskan menjaga haiwan dan mereka juga tidak mengendalikan makanan,” katanya.

Sementara itu, pemilik restoran, WL Lim, 34, berkata kehadiran kucing di premisnya membantu mewujudkan suasana yang lebih santai kepada pelanggan.

“Ramai pelanggan datang khusus untuk meluangkan masa bersama kucing.

“Kami memastikan haiwan peliharaan dijauhkan daripada kawasan penyediaan makanan dan pelanggan dimaklumkan sebelum mereka masuk,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di internet mendapati konsep menjamu selera mesra haiwan adalah perkara biasa di negara seperti Jepun, Korea Selatan dan United Kingdom. — The Star/ LO TERN CHERN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram